SALSATION menggabungkan senaman dan muzikal untuk menguatkan otot dan membetulkan postur tubuh. FOTO NSTP
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Postur badan yang baik penting untuk kesihatan dan kesejahteraan kita. Namun, masih ramai tidak menyedari mereka mempunyai postur badan yang lemah dan mengabaikan penjagaan postur badan yang boleh menyebabkan pelbagai kesakitan.

Postur badan yang lemah adalah wabak kesihatan moden yang jauh lebih buruk daripada sangkaan orang ramai.

Ini berikutan gaya hidup masyarakat kini yang semakin tidak aktif atau sedentari.

Apabila postur badan tidak seimbang ia menyebabkan tulang belakang menjadi tidak seimbang dan ini meletakkan beban berlebihan ke atas semua struktur badan termasuk sistem saraf dan corak pernafasan.

Tulang belakang berkait rapat dengan otak, saraf tunjang dan keseluruhan fungsi organ.

Kaitan itu menunjukkan postur badan yang lemah dan kesihatan tulang belakang mempunyai kesan sangat buruk membabitkan seluruh badan.

Perubahan struktur postur boleh mengakibatkan ketegangan otot, keletihan, lenguh badan, kecederaan belakang badan, masalah sendi, pergerakan terhad, sakit kepala, perubahan mood, tekanan perasaan dan penghadaman yang lemah.

Memperbaiki postur badan bukan sekadar mengubah cara duduk atau berdiri. Perkara penting perlu dibuat adalah menguatkan otot teras dengan cara yang terbaik untuk kesihatan dan keselesaan.

Selain otot perut, otot teras yang terdiri daripada otot di bahagian belakang dan pinggul bekerja untuk menstabilkan tulang belakang dan mengekalkan jajarannya.

Apabila otot teras lemah, tulang belakang tidak mempunyai sokongan mencukupi untuk mengekalkan postur yang sempurna secara semula jadi.


RENTAK tarian memastikan tubuh bergerak semula jadi. FOTO NSTP

Jurulatih kecergasan di Fitspace 66, Nuraizah Soad berkata, otot tengah di bahagian depan, belakang dan sisi berfungsi sebagai penstabil untuk seluruh badan.

Senaman khusus boleh dilakukan menguatkan otot penstabil berkenaan.

Sekiranya mana-mana otot teras lemah, ia boleh mengakibatkan kesakitan belakang atau pinggang yang ketara. Mengekalkan otot teras supaya terus kuat membantu postur badan dan memberi lebih banyak kekuatan dalam senaman lain seperti berjalan atau berlari.

“Postur yang lemah lazimnya berlaku selepas sekian lama akibat tabiat buruk ketika duduk atau berdiri dan jika tidak diperbetulkan ia boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan negatif yang serius.

“Lama-kelamaan ia juga boleh mengubah bentuk tulang belakang seseorang.

“Apabila ini berlaku, tulang belakang yang tercipta untuk menyerap kejutan secara semula jadi dan mengekalkan keseimbangan yang betul akan terjejas dan tidak dapat menjalankan fungsinya.

“Senaman ‘salsation’ antara pergerakan yang membantu menguatkan otot teras kerana ia adalah program kecergasan tarian berasaskan senaman fungsi dengan tumpuan kepada muzik dan ekspresi lirik.

“Salsation berasal daripada perkataan ‘salsa’ dan ‘sensation’ diinspirasikan daripada pelbagai jenis budaya, tarian dan program kecergasan.

“Ia menukar protokol latihan berfungsi kepada rentak tarian bagi memastikan tubuh bergerak secara semula jadi dan cara yang sihat,” katanya pada acara kecergasan Beby Dollz Salsation anjuran pengeluar pakaian pembentukan badan, Slimdollz Trading Sdn Bhd, baru-baru ini.


PENGGUNAAN pakaian pembentuk badan dalam aktiviti kecergasan melatih semula otot. FOTO NSTP

Nuraizah berkata, penggunaan pakaian pembentuk badan yang lazim digunakan dalam senaman kecergasan mampu membantu membetulkan postur badan.

Ini kerana, katanya, pakaian sedemikian dapat melatih semula otot mengekalkan kedudukan tegak tanpa banyak usaha dan menguatkan bahagian atas dan bawah belakang badan serta bahu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 6:32 AM