Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


Kajian Kebangsaan Penggunaan Ubat oleh Konsumer Malaysia (NSUM I) pada 2008 mendapati tahap kefahaman masyarakat negara ini terhadap penggunaan ubat yang betul adalah rendah iaitu sekitar 44.4 peratus.

Namun, pada 2012 dan 2015 kajian sama dilakukan menunjukkan peningkatan tahap kefahaman masyarakat berkenaan ubat-ubatan ialah 56.6 peratus (NSUM II) dan terus meningkat kepada 81.4 peratus bagi NSUMIII.

Perkembangan positif itu hasil pelaksanaan program Duta Kenali Ubat Anda oleh Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak 2012.

Ia program khas bagi memperkasakan masyarakat sebagai ejen perubahan tingkah laku dan menyampaikan maklumat betul dalam penggunaan ubat secara berkualiti.

Sejak program dilancarkan dan sehingga kini seramai 1,186 Duta Kenali Ubat Anda sudah dilatih di seluruh negara.

Duta terbabit adalah individu berpengaruh terdiri daripada ketua komuniti (penghulu dan ketua kampung), pesara, golongan profesional, selebriti, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan belia yang berkhidmat secara sukarela.

Pengarah Kanan Program Perkhidmatan Farmasi KKM, Dr Ramli Zainal berkata, program itu diperkenalkan rentetan daripada dua isu atau cabaran utama dihadapi di negara ini.

Beliau berkata, isu utama adalah lambakan produk kesihatan yang tidak didaftarkan dan produk kosmetik yang tidak dinotifikasi.

“Masyarakat terlalu mempercayai produk sebegini kerana ghairah untuk kelihatan cantik dan kurus dalam tempoh singkat terutama wanita.

“Manakala golongan lelaki pula ingin menguatkan tenaga batin tanpa memikirkan kesan serta akibat di kemudian hari.

“Produk ini banyak dalam pasaran kerana mendapat permintaan tinggi dan iklan yang mengelirukan.

“Oleh itu, pengguna diminta agar bijak membuat pilihan dan tidak mudah terpedaya dengan iklan produk sebegini.

“Pastikan ambil produk yang berdaftar dengan KKM. Produk yang berdaftar mempunyai Nombor Pendaftaran MAL dan pelekat hologram pada bungkusan ubat berkenaan,” katanya.

Menurutnya, isu kedua berkaitan kepatuhan penggunaan ubat yang mana KKM memberi peruntukan besar untuk membekalkan ubat-ubatan kepada rakyat.

“Namun begitu, persoalan yang timbul, adakah bekalan ubat diberikan kepada pesakit digunakan dan dimanfaatkan sepenuhnya?

“Ini kerana memang ada segelintir masyarakat mengabaikan pengambilan ubat-ubatan apabila mereka mengambil suplemen kesihatan serta produk yang dibeli melalui dalam talian,” katanya.

Program Duta Kenali Ubat Anda diperkenalkan oleh KKM sebagai satu usaha menangani isu ini.

Secara tidak langsung, Duta Kenali Ubat Anda berperanan sebagai pemudahcara bagi menyebarkan informasi dan mendidik masyarakat tentang cara asas pengambilan ubat.


ORANG ramai menunjukkan buku Kenali Ubat Anda. FOTO Koleksi Program Perkhidmatan Farmasi KKM

“Usaha ini juga dapat memastikan masyarakat menggunakan ubat secara bertanggungjawab dan mengelakkan pembaziran ubat-ubatan,” katanya.

Dr Ramli berkata, ramai masyarakat tidak mengetahui penggunaan ubat secara tidak rasional boleh menimbulkan masalah kesihatan dan memudaratkan pengguna.

“Sementara itu, penggunaan ubat-ubatan tanpa pengetahuan yang mencukupi hanya akan memberi kemudaratan kepada pengguna dan mereka terdedah kepada risiko kesan sampingan dan interaksi ubat,” katanya.

Sebagai persediaan bertemu dengan masyarakat menurutnya, semua duta yang dilantik akan diberi latihan secara berstruktur dan komprehensif dengan modul yang standard.

“Duta Kenali Ubat Anda akan dibimbing oleh pegawai farmasi dalam kawasan mereka dengan mengaplikasi konsep mentor-mentee.

“Pertemuan di antara duta dengan masyarakat berlangsung dalam suasana santai dan penerangan boleh disampaikan di mana-mana saja termasuk ketika menjalankan aktiviti harian yang tidak formal,” katanya.

Antara kesilapan biasa ditemui semasa menjalankan aktiviti itu adalah pengguna sering menyimpan ubat-ubatan di tempat yang tidak betul seperti dalam peti sejuk, berhampiran tempat memasak, di atas peti sejuk dan meja makan, malahan di bilik air.


SELEBRITI Amar Asyraf menjadi Duta Kenali Ubat Anda. FOTO Koleksi Program Perkhidmatan Farmasi KKM

Beliau menjelaskan, tempat penyimpanan itu kurang sesuai kerana mungkin merosakkan ubat atau mempunyai risiko keselamatan terutama kepada kanak-kanak.

“Menyimpan ubat dalam peti sejuk sudah menjadi amalan pengguna kerana beranggapan ia dapat memanjangkan jangka masa hayat ubat. Hakikatnya bukan semua ubat perlu disimpan dalam peti sejuk.

“Ubat yang biasa perlu disimpan dalam peti sejuk adalah insulin, antibiotik cecair untuk kanak-kanak dan beberapa jenis lain apabila diarahkan.

“Ubat yang lain seperti tablet, kapsul dan sirap biasanya cukup sekadar disimpan pada suhu bilik selain memastikan tidak dapat dicapai oleh kanak-kanak,” katanya.

Mengenai waktu pengambilan ubat, katanya, ramai tidak mengetahui waktu pengambilan yang betul. Cara paling mudah untuk mengetahui waktu itu adalah dengan membahagikan 24 jam dengan kekerapan pengambilan ubat.

“Sebagai contoh bagi dos ubat tiga kali sehari, jarak waktu pengambilan ubat ialah setiap lapan jam, contohnya pada jam 6 pagi, 2 petang dan 10 malam,” katanya.

Beliau berkata, satu lagi perkara yang perlu diberikan perhatian ialah cara pengambilan ubat sebelum atau selepas makan.

Menurutnya, ubat selepas makan diambil selepas pengambilan menu utama seperti nasi. Ini kerana terdapat setengah ubat memberi iritasi (keadaan atau rasa tidak selesa) pada perut jika diambil tanpa makan terlebih dahulu.


WAKTU pengambilan ubat yang betul. FOTO Koleksi Program Perkhidmatan Farmasi KKM

“Tetapi yang selalu menjadi isu ialah jenis ubat yang diambil sebelum makan. Ramai beranggapan pengambilan ubat sebelum makan bermaksud makan ubat sejurus sebelum mengambil menu utama.

“Sebenarnya pesakit perlu menjarakkan masa pengambilan ubat sekurang-kurangnya satu jam sebelum makan nasi atau setengah jam sebelum makan bagi ubat diabetes dan ubat tahan muntah.

“Ini kerana ada sesetengah ubat kurang berkesan dengan kehadiran makanan. Bagi mengoptimumkan kesan ubat terhadap pesakit, maka perlu ada jarak waktu sebelum mengambil sebarang makanan.

“Semua maklumat mengenai pengambilan dan penyimpanan ubat ada tercatat pada label. Pengguna perlu baca dan fahami label ubat sebelum mengambilnya demi memastikan pengambilan ubat diambil secara berkesan dan selamat,” katanya.


DR Ramli (tiga dari kanan) bersama Duta Kenali Ubat Anda. FOTO Supian Ahmad

Info

Duta Kenali Ubat Anda dilatih untuk menyampaikan maklumat penting dan asas berkaitan ubat-ubat kepada masyarakat seperti:

1. Kenali ubat anda

2. Ubat berdaftar dan kosmetik bernotifikasi

3. Cara pengambilan ubat

4. Cara penyimpanan ubat

5. Kenali ubat generik dan inovator

6. Perjalanan jauh dengan ubat-ubatan

7. Tip pengambilan ubat untuk kanak-kanak

8. Tip pengambilan ubat untuk warga emas

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 9:03 AM