MUHAMAD Noor Alfarizal menjadi konduktor Alam Shah Wind Orchestra di Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Amat jarang menemui penghidap kanser yang berlapang dada menerima takdir Ilahi. Sebaliknya ramai yang putus harapan dan berasakan dunia gelap-gelita apabila mengetahui mereka menghidap kanser.

Lazim kekecewaan mereka berganda apabila diberitahu penyakit yang dihidapi sudah pada tahap empat. Maka bermulalah babak air mata dan meratapi kedukaan itu.

Namun, berbeza pula dengan lelaki ini yang sangat tenang menerima keputusan pemeriksaan kesihatannya. Tidak pernah menganggap penyakit itu sebagai ujian sebaliknya adalah ‘rezeki’ daripada Allah SWT kepada dirinya.

Dia disahkan menghidap kanser darah tahap empat pada Januari lalu dan sudah menjalani enam kali rawatan kemoterapi.

Meskipun didapati sudah bebas daripada ‘serangan’ kanser, beliau sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga termasuk berkaitan aspek pemakanan dan gaya hidup selain konsisten membuat rawatan susulan dua bulan sekali.

Berkongsi sejarah penyakitnya, Dr Muhamad Noor Alfarizal Kamarudin, 33, berkata, simptom penyakit berkenaan bermula apabila menyedari kesan seperti gigitan serangga pada bahagian kiri lehernya pada penghujung Disember 2017.

Beliau seterusnya berjumpa dengan doktor dan diberikan krim sapu tetapi tidak ada sebarang perubahan sehingga minggu kedua. Bahkan ia berlarutan pada minggu ketiga apabila kesan gigitan itu membentuk benjolan yang cepat membesar.

“Pada masa itu, saya dapat mengagak yang benjolan ini adalah ‘sesuatu’ dan bukan biasa-biasa.

“Saya juga mengesyaki ia adalah penyakit kanser yang berkaitan limfoma berdasarkan benjolan pada bahagian kelenjar leher.

“Rakan risau melihat keadaan saya sedangkan saya lebih tenang dan bersedia menjalani pembedahan serta rawatan kemoterapi,” katanya.

Berkata lanjut, pada 16 Januari tahun lalu, beliau menjalani pemeriksaan di sebuah hospital swasta dan seminggu kemudian disahkan menghidapi kanser limfoma tetapi tidak mengetahui tahap berapa.

Bagaimanapun, katanya pada 29 Januari 2018, dia memperoleh keputusan pemeriksaan kesihatan berkenaan dan dimaklumkan penyakit kanser dihidapinya adalah tahap empat.

“Berdasarkan laporan ini, sedikit sel kanser timbul di paru-paru, hati dan sum-sum tulang belakang. Selanjutnya saya menjalani rawatan di sebuah hospital di Pulau Pinang.

“Saya reda menerima keputusan ini (pemeriksaan kesihatan) mungkin kerana kelebihan bertugas sebagai penyelidik yang melakukan penyelidikan berkaitan kanser amat membantu untuk menjalani proses rawatan,” kata pegawai penyelidik dan saintis di Brain Research Institute Monash Sunway (BRIMS), Jeff Rey Cheah School of Medicine and Health Sciences, Monash University Malaysia itu.

Selepas enam kali menjalani rawatan kemoterapi, ujian imbasan mendapatinya bebas daripada serangan sel kanser.

“Sungguhpun begitu, saya masih mendapatkan rawatan susulan setiap dua bulan di Pulau Pinang dan sekiranya dalam tempoh lima tahun keadaan ini kekal, ia petunjuk positif saya bebas sepenuhnya daripada kanser,” katanya.

Penyakit itu juga menjadi pencetus kepadanya untuk mengubah gaya hidup ke arah yang lebih sihat terutamanya berkaitan aspek pemakanan.

“Saya tidak mengambil sebarang makanan yang mengandungi gula dan makanan segera. Pada masa sama mengambil khasiat tambahan berasaskan sayur-sayuran bagi mempertingkatkan sistem ketahanan tubuh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati penghidap kanser lain supaya bersangka baik dengan Allah dalam setiap perkara yang menimpa. Usah berfikir penyakit berkenaan sebagai balasan daripada-Nya.

“Allah pilih seseorang kerana ia juga satu rezeki supaya dapat lihat siapa yang berada di samping kita ketika sakit. Kita ada ramai kawan dan dari situ boleh mengetahui rakan yang ikhlas berkawan.

“Penyakit ini peringatan mungkin cara kehidupan kita sebelum ini kurang sesuai dan Allah memberi peringatan kepada kita agar memperbaiki diri ke arah kehidupan yang lebih baik.

“Saya tahu kebanyakan pesakit kanser memang sukar berfikiran positif dan saya mempunyai cara tersendiri iaitu sentiasa melakukan perkara baik dalam kehidupan meskipun mempunyai masalah kesihatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 7:01 AM