GAMBAR hiasan.
Dr Mohamed Rafi Feizal dan Dr Ummul Wahiy Abdul Hakim

KEHAMILAN ektopik yang pertama dikenal pasti oleh al-Zahrawi pada abad ke-11. Perkataan ektopik bermaksud ‘keluar dari tempat’.

Kehamilan ektopik juga dikenali sebagai kehamilan tiub adalah komplikasi kehamilan apabila embrio melekat di luar rahim. Tanda-tanda dan simptom secara klasik termasuk sakit perut dan pendarahan vagina.

Kurang daripada 50 peratus wanita yang mempunyai kedua-dua gejala ini. Kesakitan boleh digambarkan sebagai tajam, kusam atau ‘crampy’.

Kesakitan juga boleh merebak ke bahu jika pendarahan berlaku di dalam perut dan tiub Fallopio pecah.

Pendarahan yang teruk boleh mengakibatkan kadar denyutan jantung yang cepat, pengsan, sakit kepala atau kejutan. Janin juga tidak dapat bertahan dan tidak berkembang.

Sekiranya mengalami pendarahan vagina yang kronik hingga mengakibatkan sakit kepala dan bahu serta pengsan, hubungi doktor segera.

Faktor risiko kehamilan ektopik termasuk penyakit radang pelvis, di mana sering disebabkan jangkitan Chlamydia, merokok, pernah melakukan pembedahan tiub, sejarah ketidaksuburan dan penggunaan teknologi kehamilan dibantu atau ART (Assisted Reproductive Technologies).

Mereka yang sebelum ini mengalami kehamilan ektopik mempunyai risiko lebih tinggi melalui kehamilan ektopik pada masa akan datang.

Sebanyak 90 peratus kehamilan ektopik berlaku di dalam tiub Fallopio dikenali sebagai kehamilan tiub. Implantasi juga boleh berlaku di bahagian serviks, ovari atau dalam perut.

Pengesanan kehamilan ektopik biasanya dilakukan menerusi ujian darah untuk ‘human chorionic gonadotropin’ (hCG) dan imbasan ultra bunyi. Ujian ini mungkin perlu dilaksanakan lebih daripada sekali.

Ujian imbasan ultra bunyi adalah saringan terbaik apabila pengesanan kehamilan ektopik dilakukan dari dalam vagina.

Gejala lain akibat kehamilan ektopik termasuklah keguguran, masalah ovari tersimpul dan apendiks.

Ada beberapa kaedah rawatan bagi kehamilan ektopik.

Oleh kerana telur disenyawakan tidak dapat bertahan di luar rahim, tisu harus dikeluarkan untuk mencegah anda daripada mengalami komplikasi serius.

Dua kaedah rawatan digunakan adalah pengambilan ubatan dan pembedahan. Sekiranya tiub Fallopio tidak pecah dan kehamilan tidak berkembang sebaiknya, doktor boleh memberi suntikan methotrexate (Trexall).

Ia boleh menghentikan pertumbuhan sel dan tubuh anda akan menyerapnya. Kebanyakan kehamilan ektopik boleh dirawat menggunakan methotrexate jika didiagnos lebih awal.

Dalam kes lain, pembedahan diperlukan dan yang paling biasa adalah laparoskopi. Doktor akan membuat belahan sangat kecil di bahagian bawah abdomen, kemudian instrumen tipis (laparoskop) dimasukkan untuk mengeluarkan kehamilan ektopik.

Sekiranya tiub Fallopio anda rosak, kemungkinan doktor perlu mengeluarkannya juga. Sekiranya anda mengalami pendarahan banyak atau doktor mengesyaki bahawa tiub Fallopio anda pecah, mungkin pembedahan kecemasan perlu dilakukan, dipanggil pembedahan laparotomi.

Selepas kehamilan ektopik, anda masih berpeluang untuk hamil secara normal meskipun sukar. Anda harus mendapatkan nasihat profesional dengan doktor pakar kesuburan, terutamanya jika anda kehilangan tiub Fallopio.

Segelintir doktor mencadangkan mencuba kehamilan kali kedua sekurang-kurangnya selepas tiga hingga enam bulan. Ini adalah kerana sekiranya anda pernah mengandung kehamilan ektopik, ada kemungkinan anda boleh hamil luar rahim pada masa akan datang.

Hospital UMRA akan mengadakan program berkaitan masalah kesuburan lelaki dan wanita pada 26 Januari 2019, jam 2 petang di Hospital Umra secara percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 12:05 PM