KANAK-KANAK perlu dibawa menjalani pemeriksaan gigi untuk penjagaan kesihatan berpanjangan.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


ZAMAN awal kanak-kanak adalah waktu pertumbuhan dan perkembangan yang penting. Dalam tempoh ini, banyak perubahan berlaku pada tubuh termasuk di dalam mulut atau bahagian oral si manja dari peringkat bayi hingga kanak-kanak prasekolah.

Mulut sebenarnya menyokong fungsi penting tubuh mulai saat kelahiran hingga sepanjang hayat termasuk bernafas, makan, mengunyah, berkomunikasi dan perlindungan biologi atau jasmani. Ini kerana, mulut memiliki struktur keras iaitu gigi dan tulang penyokong serta struktur lembut seperti lidah dan lapisan tisu mulut yang saling melengkapi dalam pelbagai cara.

Bahagian oral yang sihat juga menjadi penyumbang penting dalam membangunkan keyakinan diri yang positif dan membantu kanak-kanak mencapai potensi mereka. Ini berikutan mulut yang yang sihat adalah asas untuk kesihatan dan kesejahteraan jangka panjang.

Kebanyakan kanak-kanak mempunyai set 20 gigi primer yang lengkap, juga dipanggil gigi susu apabila mencecah usia dua setengah tahun hingga tiga tahun. Set ini termasuk molar kedua yang akan muncul apabila anak berusia antara 20 dan 30 bulan.

Gigi primer ini satu demi satu akan digantikan dengan set 32 gigi sekunder atau gigi kekal dalam tempoh beberapa tahun lazimnya dari usia enam atau tujuh hingga 12 atau 14 tahun.

Biarpun gigi susu akan diganti, ia berfungsi sama penting seperti gigi kekal apabila membenarkan kanak-kanak menggigit dan mengunyah makanan; waktu kritikal untuk pembangunan pertuturan yang betul; membantu dalam pembangunan tulang dan otot muka dan mengisi ruang sebelum gigi kekal tumbuh serta membentuk jajaran mulut.

Bagaimanapun, kesihatan oral kanak-kanak ini boleh terjejas akibat penyakit, trauma atau kecacatan dalam perkembangan. Satu daripada masalah oral paling lazim ditemui dalam kalangan kanak-kanak adalah karies gigi atau lebih dikenali sebagai gigi berlubang.

Kerosakan gigi sebegini terjadi apabila bakteria yang ada di dalam mulut bergabung dengan sisa makanan dan air liur untuk membentuk bahan dipanggil plak yang berkumpul di celah gigi. Asid dalam plak secara beransur-ansur akan menghauskan enamel iaitu lapisan luar yang keras pada gigi dan membentuk lubang atau kaviti.

Kaviti yang tidak dirawat akan membesar sehingga bahagian dalaman gigi yang terjejas mendapat jangkitan dan akhirnya gigi terpaksa dicabut seterusnya mengundang masalah lain seperti mengganggu pemakanan, pertuturan, bermain dan pembelajaran.

Pakar pergigian daripada Bahagian Kesihatan Oral, Kementerian Kesihatan, Dr Manjit Kaur berkata, adalah penting untuk mengurangkan kerosakan gigi kanak-kanak kerana ia boleh bermula sebaik saja gigi pertama tumbuh. Oleh itu, ibu bapa atau penjaga adalah pihak yang perlu memainkan peranan penting ini berikutan penjagaan gigi kanak-kanak bermula dengan mereka.

“Apa yang dikesalkan, sikap segelintir ibu bapa yang membiasakan anak-anak mereka dengan makanan manis kerana ia mudah didapati, selain satu cara kononnya untuk memujuk kanak-kanak atau sebagai ganjaran.

“Sememangnya sifat kanak-kanak sukakan makanan ringan yang manis dan disebabkan itu ibu bapa perlu mengawal pemberian makanan sedemikian.

“Ini kerana, semua jenis makanan dan minuman bergula boleh meningkatkan kerosakan gigi. Bagaimanapun, kekerapan makanan manis diambil dan berapa lama ia berada di dalam mulut menjadi faktor utama yang menyumbang kepada kerosakan,” katanya.

Katanya, dalam hal penjagaan gigi kanak-kanak, ibu bapa perlu menggalakkan minat anak untuk memberus gigi. Pembersihan gigi susu wajar dimulakan sebaik saja ia tumbuh, gunakan kain lembut atau berus gigi sesuai untuk kanak-kanak dengan sedikit ubat gigi.

“Penjagaan gigi perlu dilakukan secara berjadual dua kali sehari dan jika anak-anak diberi didikan sejak kecil, lama-kelamaan mereka akan faham sendiri rutin ini,” katanya.

Sementara itu, jenama ubat gigi untuk kanak-kanak, Kodomo Lion melancarkan kempen ‘Gigi Sihat, Senyuman Gembira’ yang menghubungkan ibu bapa bersama anak-anak dengan menjadikan memberus gigi aktiviti ceria untuk keluarga, baru-baru ini.

Dalam kempen ini, ibu bapa menjadi model dan menunjukkan sikap memberus gigi yang baik kepada anak-anak mereka bagi membentuk amalan penjagaan kesihatan gigi sepanjang hayat dengan penggunaan berus gigi, ubat gigi dan teknik memberus yang betul.

Kempen berkenaan khusus menyasarkan kanak-kanak dan ibu bapa berikutan gigi berlubang mampu menjejaskan perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak. Malah, kajian dalam kalangan kanak-kanak di negara ini menganggarkan, tujuh daripada 10 kanak-kanak mengalami kerosakan gigi.

Menurut Pakar Pergigian Kanak-kanak dari Pusat Perubatan Sunway (SunMed), Dr Lim Zi Wei, kesihatan pergigian kanak-kanak sama penting dengan keseluruhan kesejahteraannya dan ia perlu dimulakan sebaik kanak-kanak tumbuh gigi pertama.

“Memberus gigi kanak-kanak adalah tugas ibu bapa sehingga anak-anak mampu melakukannya sendiri. Ini membantu mengelakkan masalah gigi berlubang, selain memupuk tabiat penjagaan oral. Pemeriksaan rutin oral anak-anak di klinik pergigian juga perlu dilakukan sebaik mereka mula membesar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 6:20 AM