Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


AGAK membimbangkan apabila kajian mendapati 53 peratus daripada 3.5 juta penghidap diabetes di Malaysia tidak tahu mereka menghidap penyakit ini akibat tidak pernah didiagnosis. Lebih memburukkan, pesakit diabetes yang disahkan pula tidak menguruskan penyakit mereka dengan baik apabila menunjukkan hasil rawatan yang tidak memuaskan.

Lapan daripada 10 pesakit diabetes masih tidak berjaya mengawal penyakit mereka. Merujuk piawaian global seperti kadar hemoglobin glikosilat (HbA1c) yang digunakan dalam penjagaan pesakit diabetes di Malaysia, gambarannya agak suram.

Kadar HbA1c yang memberikan gambaran yang lebih jelas bagi kadar glukos darah dalam jangka masa dua hingga tiga bulan sepatutnya berada pada kadar 6.5 peratus atau lebih rendah pada seorang pesakit diabetes yang berjaya mengawal baik penyakit mereka.

Sebaliknya, kajian yang didedahkan DISCOVER iaitu satu penyelidikan yang mengumpul butiran daripada persekitaran harian menunjukkan purata kadar HbA1c di Malaysia adalah sembilan peratus lebih tinggi berbanding purata dunia bagi diabetes tidak diurus iaitu 8.4 peratus.

DISCOVER adalah kajian global, prospektif dan berunsur pemerhatian terhadap pesakit diabetes Jenis 2 yang sedang memulakan terapi tahap kedua bagi merendahkan glukos. Kajian dilakukan terhadap 334 pesakit di negara ini yang kebanyakannya penduduk bandar dan dirawat oleh doktor bukan pakar.

Penyelaras Kaji Selidik Kebangsaan bagi kajian DISCOVER di Malaysia, Dr Radhakrishna Sothiratnam berkata, kajian berkenaan dimulakan untuk mengumpul maklumat yang kurang direkod setakat ini berkaitan rawatan diabetes dan hasilnya pada peringkat global bagi kelas terbaharu ubatan merendahkan glukos serta mengumpul butiran daripada persekitaran harian bagi pengurusan diabetes.


DIABETES boleh dikesan melalui ujian darah di mana-mana klinik atau makmal.

Kajian ini bermatlamat membaiki pemahaman terhadap pengurusan diabetes Jenis 2 dan keberkesanannya, mengurangkan risiko komplikasi akibat diabetes dan membaiki kualiti hidup pesakitnya.

Data persekitaran harian yang diambil daripada sumber seperti ujian pragmatik, daftar pesakit, pangkalan data tuntutan insurans, rekod perubatan elektronik dan tinjauan dalam kalangan profesional kesihatan serta pesakit sesuai dijadikan pelengkap bagi data sedia ada daripada ujian klinikal terkawal.

“Sumbangan daripada kajian seperti DISCOVER yang mengumpul data persekitaran harian amat penting. Dalam kajian klinikal terkawal yang lazim, tujuan utamanya ialah mempelajari dan mengumpul maklumat lanjut mengenai cara ubatan tertentu bertindak balas dalam tubuh manusia, jadi kami biasanya cuba mengawal pemboleh ubah dalam biologi manusia.

“Dalam kajian berunsur persekitaran harian, kami boleh memerhatikan cara orang ramai menggunakan ubatan dalam persekitaran klinikal harian yang sebenar dan biasanya dipengaruhi perkara yang amat khusus di sesuatu lokasi itu.

“Contohnya, rantaian bekalan ubat ataupun amalan budaya tempatan dan pelbagai faktor lain. Berdasarkan pemerhatian ini, kami dapat berusaha dengan lebih efektif untuk mengubah tabiat pesakit.

“Menerusi kajian pemerhatian ke atas persekitaran sebenar ini juga maklumat seperti bebanan penyakit dan keperluan perubatan yang tidak dipenuhi, di samping penggunaan sesuatu rawatan dalam populasi pesakit dan pilihan langkah rawatan dalam amalan klinikal harian boleh dikumpul,” katanya.

Dr Radhakrishna berkata, satu lagi penemuan utama dalam kajian DISCOVER adalah pesakit diabetes Jenis 2 di Malaysia pada puratanya mengalami keciciran dalam rawatan selama kira-kira 3.3 tahun.

Pesakit terbabit dikatakan terus mengambil ubatan tahap pertama iaitu ubatan yang diberikan pada awal diagnosis sehingga 3.3 tahun biarpun ubatan itu tidak berkesan bagi mengawal diabetes yang dihidapi sebelum memulakan rawatan tahap kedua. Rawatan kedua ini adalah rawatan lanjut apabila rawatan tahap pertama tidak lagi berkesan.

Akses kepada ubat didapati menjadi antara faktor utama dalam pilihan preskripsi ubat apabila ubat jenis sulphonylurea yang mudah didapati dan tersedia kepada 98.8 peratus pesakit dalam kajian ditambah kepada metformin iaitu ubat yang umumnya digunakan untuk rawatan tahap pertama diabetes dimasukkan ke dalam rawatan tahap kedua.

“Biasanya, pesakit diabetes terutamanya yang sedang menjalani rawatan tahap pertama tidak memantau kadar HbA1c mereka dengan kerap, selain tersilap sangka bahawa kadar glukos mereka terkawal selepas mengambil ubat yang diberikan.

“Pemantauan yang tidak memadai ini mengakibatkan penyakit diabetes menjadi tidak terkawal dan mereka keciciran rawatan menyebabkan pesakit dan juga doktor terus bergantung pada rawatan yang tidak berkesan.

“Oleh kerana diabetes adalah penyakit progresif yang tidak dapat disembuhkan dan beransur-ansur menjadi lebih parah, keciciran rawatan akan mengakibatkan penyakit ini menjadi lebih teruk. Komplikasi lain juga akan timbul sedangkan ia satu situasi yang boleh dikekang dengan pemantauan yang lebih baik,” katanya.

Katanya, kajian DISCOVER merekodkan bukti bahawa pesakit diabetes di Malaysia tergolong dalam kelompok yang mempunyai kadar komplikasi berpotensi yang agak tinggi. Suku daripada kesemua pesakit berdepan kerosakan saluran darah kecil (26.3 peratus), manakala seorang daripada 10 pesakit mengalami kerosakan pada saluran darah besar (9.9 peratus).

“Ini adalah satu kadar yang agak tinggi memandangkan pesakit baru saja memulakan rawatan tahap kedua, walaupun keciciran rawatan dipercayai menyumbang kepada kadar ini.

“Kerosakan saluran darah kecil (mikrovaskular) boleh menyebabkan buta, kegagalan fungsi buah pinggang, mati pucuk dan penyakit lain akibat diabetes menyebabkan pemotongan anggota kaki, manakala kerosakan pada saluran darah lebih besar (makrovaskular) boleh menyebabkan penyakit kardiovaskular seperti serangan jantung, kegagalan jantung dan strok.

“Ada kajian menunjukkan bahawa kawalan diabetes yang baik boleh melambatkan kemunculan dan perkembangan komplikasi sebegini. Dapatan ini menekankan betapa pentingnya diagnosis awal bagi diabetes, disusuli pengurusan intensif dan cekap bagi penyakit ini daripada peringkat awal lagi bagi mengurangkan risiko komplikasi dan penyakit berkaitan yang mungkin muncul,” katanya.

Beliau berkata, langkah mengatasi keciciran rawatan yang diperhatikan dalam kalangan pesakit diabetes amat penting untuk hasil rawatan yang optimum. Menerusi pengurusan penyakit yang efektif dari segi perubahan gaya hidup dan penggunaan ubatan secara optimum, kesan diabetes yang paling buruk sekalipun boleh dilengahkan selama mana yang mungkin.

Ini bermakna maklumat yang ditemui dalam kajian yang menunjukkan bagaimana rawatan khusus bagi diabetes boleh mengurangkan risiko kardiovaskular adalah penting bagi pesakit di Malaysia.

“Diabetes adalah faktor risiko serius yang boleh membawa kematian dan menyebabkan pesakit dimasukkan ke hospital. Nyawa 60 peratus pesakit diabetes didapati terancam akibat penyakit kardiovaskular.

“Mereka berdepan risiko sehingga empat kali lebih tinggi menghidap penyakit jantung seperti kegagalan fungsi jantung, serangan jantung atau penyakit saluran darah periferal, manakala risiko terkena strok adalah dua kali lebih tinggi.

“Pesakit diabetes juga lebih kerap menghidapi penyakit arteri koronari pada usia muda dan lebih mudah mengalami serangan jantung berulang. Ramai pesakit juga mungkin tidak sedar bahawa kegagalan jantung didapati berlaku lebih awal berbanding penyakit jantung berkaitan diabetes yang lain seperti serangan jantung dan strok,” katanya.

Katanya, memandangkan diabetes menjadi faktor risiko bagi banyak penyakit, maka semua risiko ini perlu diurus dengan berkesan dengan memilih ubatan diabetes yang betul.

“Satu kajian utama baru-baru ini mengamati cara rawatan diabetes mengurangkan risiko terhadap penyakit lain yang disebabkan oleh diabetes ialah CVD-REAL 2.

“Kajian ini menyiasat impak kardiovaskular positif yang dikaitkan dengan ubatan diabetes tertentu. CVD-REAL 2 yang juga satu kajian persekitaran sebenar membabitkan lebih 400,000 pesakit diabetes Jenis 2 di enam negara dalam tiga rantau.

“CVD-REAL 2 juga meneliti impak ubatan perendah glukos kelas baharu terutamanya kesan ubatan dalam kelas perencat natrium glukosa kotransporter-2 (SGLT2i) pada pesakit yang baru diberikan rawatan diabetes tahap kedua.

“Ubat SGLT2i yang berfungsi dengan mengekang buah pinggang supaya tidak menyerap semula glukos ke dalam darah dan membantu merendahkan kadar glukos dalam darah di mana glukos berlebihan disingkir daripada tubuh menerusi air kencing,” katanya.

Daripada kajian itu, diperhatikan bahawa terdapat pengurangan risiko yang ketara dalam kumpulan yang mengambil ubat kelas SGLT2i berbanding mereka yang mengambil ubatan perendah glukos lain.

Risiko dimasukkan ke hospital akibat kegagalan jantung adalah 36 peratus lebih rendah, risiko mendapat strok 32 peratus lebih rendah, risiko mengalami serangan jantung 19 peratus lebih rendah dan risiko maut akibat penyakit kardiovaskular secara keseluruhan adalah 49 peratus lebih rendah.

Hasil kajian ini mencadangkan bahawa jika pesakit diabetes mula mengambil ubatan SGLT2i sebaik saja rawatan tahap pertama memerlukan ubat tambahan atau gantian, ia berpotensi mengekang komplikasi kardiovaskular akibat diabetes.

CVD-REAL ialah kajian kohort multinasional berunsur pemerhatian membabitkan pesakit diabetes Jenis 2 yang membandingkan keberkesanan rawatan awal menggunakan ubat SGLT2i berbanding ubat perendah glukos yang lain.

Kajian ini membandingkan tahap risiko penyakit kardiovaskular yang relevan dari segi klinikal seperti strok, serangan jantung, kemasukan wad kerana kegagalan jantung dan kadar kematian keseluruhan bagi pesakit yang baru menggunakan ubat SGLT2i dengan tahap risiko serupa bagi mereka yang baru mula menggunakan ubatan perendah glukos lain.

Keputusan CVD-REAL 2 adalah konsisten dengan keputusan utama bagi CVD-REAL. Dalam kalangan pesakit dalam kajian CVD-REAL 2, kira-kira 75 peratus menggunakan dapagliflozin, sembilan peratus menggunakan empagliflozin, lapan peratus menggunakan ipragliflozin (hanya ada di Korea Selatan dan Jepun), empat peratus menggunakan canagliflozin, tiga peratus menggunakan tofogliflozin dan satu peratus menggunakan luseogliflozin (kedua-duanya hanya didapati di Jepun).

Data untuk kajian ini diperoleh daripada sumber pesakit sebenar yang dipadamkan nama termasuk rekod perubatan, pangkalan data tuntutan insurans dan daftar kebangsaan dan tidak disemak secara bebas atau disahkan berbanding dokumen sumber.

Analisis meta disahkan oleh kumpulan statistik akademik bebas di Institut Jantung St Luke’s Mid America, Kansas City, Amerika Syarikat. Walaupun CVD-REAL adalah kajian meluas dengan teknik pemadanan-propensiti kukuh, memandangkan kaedah pemerhatian digunakan, kemungkinan terdapat saki baki faktor mengelirukan yang tidak diukur tidak boleh ditolak secara muktamad.

Siri kajian CVD-REAL menyasarkan untuk mengumpul data daripada kira-kira empat juta pesakit secara keseluruhan daripada 12 negara di empat kawasan dunia yang utama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 6:10 AM