LOW menunjukkan lutut yang menjalani rawatan sel stem mesenkima. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Perkongsian pengalaman masalah kecederaan rawan lutut dialami pesakit ini membuatkan sesiapa saja yang mendengarnya berasa ngeri dan ngilu, seolah-olah terjadi pada lutut sendiri.

Tidak dapat membayangkan bagaimana pesakit ini menjalani kehidupan harian selama tiga tahun dengan kesakitan itu sebelum menemui rawatan bersesuaian.

Gaya hidup aktif bersukan menjadi punca kepada penyakit yang dialami Pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM, Lumut, Perak itu.

Bagaimanapun mimpi ngeri Leftenan Komander (LT KDR) Salmila Suhaida Mohamad Hairi, 40, yang menderita penyakit itu berakhir apabila menggunakan sel stem mesenkima daripada tali pusat uri sebagai rawatan alternatif penyakit radang sendi lutut dialaminya di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM).

Tidak keberatan berkongsi mengenai penyakitnya, Salmila Suhaida berkata, lututnya cedera kerana aktif bersukan mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi acara larian jarak jauh kategori 800 meter (m), 1,500m, 5,000m, maraton, bermain bola jaring dan bola tampar.

Mengimbau kembali insiden itu, berkatanya, ia bermula apabila terjatuh ketika bermain bola jaring sehinggakan kedengaran bunyi ‘pop’ yang agak kuat daripada lututnya.

Katanya, dia meneruskan permainan itu meskipun dalam kesakitan dengan mengikat lutut menggunakan pembalut demi mencapai kemenangan pasukan.

“Impak jatuh itu menyebabkan lutut membengkak dan saya menjalani ujian imbasan sinar-X dan pihak hospital memaklumkan tempurung lutut retak. Selepas menjalani rawatan fisioterapi keadaan kaki kembali normal.

“Enam bulan selepas rawatan ini (fisioterapi), saya kembali aktif bersukan tetapi malangnya lutut bertambah bengkak hinggakan paha menjadi besar sebelah,” katanya.

Menurutnya, rakan yang bersimpati melihat keadaannya mencadangkan bertemu Pensyarah Kanan dan Pakar Perunding Ortopedik & Arthroskopi HCTM UKM, Datuk Dr Badrul Akmal Hisham Md Yusoff untuk rawatan lanjut.

“Pada Mac tahun lalu, skop dimasukkan ke dalam lutut dan doktor mendapati kecederaan rawan lutut saya pada tahap empat, lalu pembedahan dilakukan bagi membuang rawan yang rosak.

“Seminggu kemudian (30 Mac 2017) sel stem disuntik ke dalam sendi lutut melalui kaedah suntikan intra-artikular,” katanya.


SALMILA Suhaida. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Jelasnya, sebelum bertemu Dr Badrul Akmal Hisham, dia pernah memperbetulkan lututnya ketika berjalan kerana merasakan ia terkeluar daripada kedudukan asal, selain mengeluarkan bunyi.

“Selepas enam bulan disuntik sel stem, sekali lagi skop dimasukkan ke dalam lutut dan mendapati sel berkenaan sudah tumbuh semula.

“Sehingga kini saya masih giat menjalani aktiviti fisioterapi seperti berenang, kayuh basikal dan melakukan banyak aktiviti dalam kolam bagi menguatkan otot paha dan kaki.

“Tiga bulan lalu, saya berjaya menawan Gunung Tok Nenek di Cameron Highlands setinggi 1,916 meter,” katanya.

Ibu kepada empat orang anak itu berkata, oleh kerana jiwa bersukan begitu menebal membuatkan dia sering terlupa kecederaan pernah dialaminya dan melompat semasa bermain bola jaring.

Katanya, paling menggembirakan dia kini sudah boleh menunaikan solat seperti biasa berbanding duduk di kerusi sebelum menjalani rawatan.

Seorang lagi pesakit, Low Vern Chee, 47, berkata, kecederaan rawan lutut terjadi akibat terhentak pada papan pemuka kereta berikutan suaminya menekan brek secara mengejut.

“Kejadian pada Disember 2015 menyebabkan rawan lutut pecah dan awal 2017 menjalani pembedahan serta memasukkan sel stem menerusi suntikan.

“Saya menderita kesakitan selama setahun dan saat paling teruk apabila ubat tahan sakit tidak mampu meredakan kesakitan dan mendorong saya ke hospital serta bersetuju dengan kaedah rawatan ini,” katanya.

Jelasnya, pada April lalu dia menjalani pemeriksaan susulan dan ujian menunjukkan sel berkenaan sudah tumbuh sebanyak 80 peratus.

Menurutnya, kini kehidupan yang dilalui lebih indah tanpa ‘diganggu’ rasa sakit atau terpaksa bergantung kepada ubat penahan sakit setiap masa seperti sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 12:30 AM