KANAK-KANAK berisiko mendapat demam denggi.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Acap kali kita dengar ayat mengatakan pesakit yang mengalami demam denggi kali kedua berisiko berdepan kematian kerana dikatakan antibodi badan mangsa sudah lemah dan tidak mampu melawan serangan virus denggi yang disebarkan nyamuk Aedes betina.

Hakikatnya, dakwaan itu tidak benar kerana risiko kematian sentiasa ada bagi setiap pesakit demam walaupun kali pertama dijangkiti virus berkenaan.

Pegawai Kesihatan Daerah Gombak, Dr Mohammad Nazarudin Bahari menerangkan hakikat ini ketika menyampaikan Forum Denggi: Situasi Semasa dan Permasalahan Demam Denggi Dalam Kalangan Masyarakat di Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini.

Menurutnya, demam denggi adalah disebabkan oleh jangkitan virus denggi (genus flavivirus) yang disebar oleh nyamuk Aedes betina. Ia merangkumi empat serotip iaitu flavivirus DEN-1, DEN-2, DEN-3 dan DEN-4.

“Semua serotip ini boleh menyebabkan demam denggi dan demam denggi berdarah. Semua jenis serotip ini juga boleh merangsang pembentukan antibodi (imuniti) yang berbeza-beza.

“Sebagai contoh jangkitan Aedes dengan flavivirus DEN-2 akan menghasilkan antibodi DEN-2 saja. Kekebalan yang dihasilkan oleh antibodi ini tidak menyeluruh terhadap semua jenis virus denggi. Ini bermakna mereka boleh dijangkiti lebih daripada sekali seumur hidup,” katanya.

Beliau berkata, sebagai contoh jika pesakit yang kali pertama dijangkiti denggi dengan serotip DEN 4 tetapi pada jangkitan kali kedua boleh dijangkiti pula serotip berbeza seperti jangkitan serotip DEN 2, DEN 3 atau DEN 1.

Menurutnya, berdasarkan kajian, jangkitan kali kedua didapati boleh menyebabkan gejala simptom klinikal dan komplikasi yang lebih teruk berbanding kali pertama.

“Demam denggi tetap berisiko kematian walaupun kali pertama dijangkiti. Komplikasi demam denggi boleh berlaku dengan cepat dan secara tiba-tiba. Ini biasanya berlaku terhadap pesakit yang mengalami demam denggi berdarah dan sindrom renjatan denggi.

“Ia bermula dengan pesakit mengalami demam panas bersama tanda-tanda lain seperti sakit kepala, sakit sendi dan pada bahagian belakang mata serta ruam merah di kulit,” katanya.

Jelasnya, lebih merisaukan jika simptom ini disusuli dengan muntah berlarutan, sakit perut, sesak nafas, pucat atau sejuk pada tangan, kaki dan cirit-birit. Pesakit juga boleh mengalami pendarahan pada gusi, muntah najis dan batuk berdarah.

Dr Mohammad Nazarudin berkata, keadaan itu kerana platlet darah pesakit semakin berkurangan. Jika ini berterusan, tekanan darah akan menjadi rendah, nadi semakin laju dan akhirnya berlaku kematian. Kematian ini terjadi kerana organ utama seperti hati, buah pinggang dan otak gagal berfungsi akibat pendarahan serta kekurangan air.

Tambahnya, antara golongan yang berisiko mendapat komplikasi lebih teruk sekiranya dijangkiti virus terbabit ialah penghidap kencing manis, tekanan darah tinggi, pesakit jantung, obesiti dan mereka yang mempunyai sistem imuniti rendah termasuk kanak-kanak.

“Tiada kajian dan bukti saintifik menyatakan peratusan risiko seseorang boleh dijangkiti demam denggi lebih daripada sekali ketika hidupnya tetapi digambarkan kepada risiko mendapat gigitan nyamuk berkenaan jika tiada kawalan dan pencegahan dilakukan.

“Sekiranya mereka pergi ke kawasan berwabak denggi lalu digigit nyamuk Aedes dengan serotip DEN, denggi dialaminya kali ini juga tidak seperti yang sebelumnya. Maka jangkitan denggi kali kedua boleh berlaku,” katanya.

Beliau berkata, ada empat faktor penyumbang kepada penularan demam denggi di sesuatu kawasan iaitu vektor (nyamuk), agen (virus), perumah (manusia) dan persekitaran.

Berdasarkan akaun Facebook Pusat Kesediaan Krisis dan Tindak Balas (CPRC) Kementerian Kesihatan, statistik denggi bagi 2018 sehingga 15 Disember lalu mencatatkan 75,612 kes dengan 135 kematian. Berbanding tempoh sama bagi 2017 merekodkan 81,791 kes dengan 170 kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 12:00 AM