FOTO AP
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Penggunaan dan penyalahgunaan antibiotik secara meluas dalam sektor kesihatan meningkatkan tahap kerintangan antimikrob (AMR) kepada pesakit di semua peringkat umur. AMR adalah kerintangan sesuatu mikroorganisma kepada ubat antimikrob yang asalnya berkesan untuk merawat jangkitan disebabkan mikroorganisma itu.

Banyak punca berlakunya AMR dan antara paling kerap ialah disebabkan penggunaan dan penyalahgunaan ubat antimikrob sehingga mencetuskan kemunculan kumpulan organisma yang rintang kepada ubat.

Fenomena semula jadi evolusi kumpulan organisma yang kebal itu berlaku apabila mikroorganisma meniru sel sendiri dengan silap atau sifat kerintangan ditukarkan sesama sendiri. Disebabkan mikroorganisma ini rintang kepada pelbagai jenis ubat, jangkitan membabitkan organisma itu sukar dibendung dan boleh membawa kepada penyebaran jangkitan yang mengancam nyawa.

AMR juga dikatakan menjadi punca kepada 700,000 kematian di seluruh dunia, malah pada 2016 dikatakan seramai 490,000 orang di seluruh dunia menghidap penyakit TB yang mempunyai kerintangan terhadap ubat dan mula membawa komplikasi dalam rawatan HIV dan malaria.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bersetuju AMR boleh mengakibatkan 10 juta kematian di seluruh dunia pada setiap tahun menjelang 2050 jika tiada tindakan diambil. Malaysia juga tidak terlepas daripada krisis kesihatan ini.

Lebih menakutkan, jumlah bakteria yang mempunyai kadar rintangan tinggi terhadap antibiotik semakin meningkat sehingga ada yang mencecah 61 peratus. Ini bermaksud 61 peratus terdapat ada kemungkinan antibiotik yang diberikan kepada pesakit tidak akan berkesan.

Dalam usaha meningkatkan kesedaran, satu sesi dialog media diadakan untuk meningkatkan kesedaran mengenai AMR dalam kalangan rakyat Malaysia. Sesi itu dibawa oleh Pfizer Malaysia sempena Minggu Kesedaran Antibiotik Sedunia (WAAW) yang disambut baru-baru ini.

Panel dianggotai oleh Ketua dan Pakar Perunding Perubatan Kanan (Penyakit Berjangkit) Jabatan Perubatan Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr Christopher Lee; Setiausaha Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia (MSIDC), Prof Madya Dr Syafinaz Amin Nordin dan Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang.

Dr Christopher berkata, tanpa antibiotik yang efektif kita menghadapi bahaya pengembalian ke era ‘praantibiotik’ yang berkemungkinan membawa pelbagai kemudaratan terhadap kesihatan dan kesejahteraan manusia dan haiwan.

“Menjadi tanggungjawab bersama untuk memelihara keberkesanan ubatan ini. Oleh itu, penyelarasan langkah-langkah dan strategi dalam pelbagai sektor untuk menangani cabaran AMR sangat diperlukan.

“AMR boleh memberi kesan kepada sesiapa saja, tidak kira umur atau negara. Ia berlaku apabila patogen berubah dan mencari cara untuk menentang keberkesanan antibiotik. Patogen berkenaan akan membesar dan menyebarkan kadar rintangannya. Proses adaptasi ini akan menyebabkan AMR dan jika tiada penyelesaian ditemui, AMR boleh membawa kesan yang buruk,” katanya.



DIALOG dibarisi ahli panel Dr Syafinaz (kanan), Amrahi (dua kanan) dan Dr Christopher membincangkan ancaman AMR. FOTO Muhd Zaaba Zakeria

Pada masa sama, Dr Syafinaz berkata, jangkitan dan kecederaan kecil boleh membawa maut, manakala jangkitan serius seperti radang paru-paru mungkin akan menjadi mustahil untuk dirawat. Malah, banyak prosedur perubatan rutin akan menjadi terlalu berisiko untuk dilakukan kerana risiko dijangkiti patogen yang sudah jadi kebal terhadap ubat.

“Tanpa antibiotik yang berkesan, kadar kejayaan pembedahan besar dan rawatan kemoterapi akan merosot. AMR juga akan meningkatkan kos penjagaan kesihatan dengan memanjangkan tempoh penginapan di hospital dan meningkatkan keperluan penjagaan yang lebih intensif.

“Oleh itu, penekanan harus diberikan dalam penggunaan antibiotik yang bijak dengan antibiotik baharu dan sedia ada termasuk penggunaan ubat-ubatan dengan lebih bijak dalam bidang ternakan,” katanya.

Sementara itu, Amrahi mendakwa penyebaran mesej dan maklumat adalah faktor penting dalam menangani isu terbabit dan ahli farmasi boleh membantu menyampaikan mesej ini kepada orang awam.

“Sebagai ahli farmasi, kami adalah sebahagian daripada masyarakat di sekeliling. Kami berjumpa dengan berjuta orang awam di seluruh negara pada setiap hari. Hubungan dengan komuniti ini boleh dijadikan senjata utama kami dalam memerangi AMR,” katanya.

Pfizer Malaysia turut menganjurkan kempen ‘War Against Superbugs’ yang menekankan kepentingan memerangi AMR kerana ia berpotensi memberi kesan kepada banyak pihak menjadikannya satu masalah kesihatan yang paling kritikal di dunia.

Kerintangan antibiotik mendatangkan kesan komplikasi serius dan tindakan segera diperlukan untuk mengurangkan kesannya terhadap kadar hidup bebas daripada penyakit dan kematian serta beban dan kos kepada sistem kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 7:00 AM