KAWASAN dahi juga boleh menjadi tempat berlakunya psoriasis. FOTO Google
Hafiz Ithnin
hafizithin@mediaprima.com.my

Bagi mereka yang pernah mengalami situasi kegatalan kulit akibat alahan pasti dapat merasakan betapa deritanya tidak dapat melelapkan mata pada waktu malam kerana diulit suasana yang kurang selesa. Pada masa sama perlu kuatkan hati untuk menahan tangan daripada menggaru tempat yang terasa gatal bagi mengelakkan keadaan menjadi semakin teruk.

Lebih gusar apabila perkara itu turut memberi kesan kepada prestasi aktiviti pada keesokan harinya. Umum mengetahui, kekurangan tidur pada waktu malam boleh menjejaskan emosi seseorang.

Bercakap mengenai gangguan emosi disebabkan penyakit itu sebenarnya terdapat satu lagi penyakit kulit yang jarang mendapat pendedahan umum iaitu psoriasis. Mungkin ada yang tidak pernah mendengar mengenainya atau bertemu dengan penghidapnya kerana ramai penderita psoriasis kurang selesa untuk berada di khalayak lantaran tidak mahu menjadi perhatian.

Psoriasis ialah sejenis penyakit autoimun kronik, yang menjejaskan kulit. Ia berlaku apabila sistem imun menghantar isyarat salah yang mempercepatkan kitaran pertumbuhan sel kulit. Kitaran yang cepat ini akan menyebabkan sel terkumpul pada kulit hingga menjadi tebal.

Sel kulit berlebihan ini akan menjadi kering dan berkeruping atau bersisik yang berwarna putih (sel mati). Ia juga boleh hadir dalam tompokan merah yang gatal dan kadangkala menyakitkan - biasanya terbentuk pada kulit kepala, lutut, siku dan bahagian bawah belakang.

Persatuan Psoriasis Malaysia mendedahkan sehingga 800,000 rakyat di negara ini menghidap penyakit ini. Di peringkat global, dianggarkan 125 juta orang menghidap psoriasis dan di Malaysia, keadaan kulit ini menjejaskan kira-kira satu hingga tiga peratus penduduk. Kira-kira 20 peratus pesakit psoriasis mempunyai anggota keluarga yang menghidap penyakit ini.

Dalam tinjau selidik global, Novartis mendedahkan hampir 40 peratus daripada penghidap psoriasis mengalami masalah psikologi akibat penyakit kulit mereka.


GAMBARAN sel kulit pesakit psoriasis.

Pakar dermatologi Dr Peter Ch’ng berkata, keadaan kulit yang memalukan itu menyebabkan sesetengah penghidap psoriasis berasa resah dan murung. Ada yang menolak apabila diajak keluar dan ramai pula berasa rendah diri dengan keadaan mereka. Ternyata, penyakit ini bukan sekadar memberi kesan kepada fizikal malah menjejaskan emosi serta mental seseorang.

“Justeru, kita harus sedar akan cabaran yang dihadapi mereka dan memberikan sokongan positif. Pesakit disaran berbincang secara profesional mengenai penjagaan kesihatan dan mencari rawatan yang paling sesuai,” katanya.

Sambutan Hari Psoriasis Sedunia disambut pada setiap 29 Oktober sejak 2004, diilhamkan oleh pesakit yang menghidapi psoriasis atau artritis psoriatik untuk pesakit lain.

Hari Psoriasis Sedunia adalah acara global yang bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai dan pesakit psoriasis, menambahkan pengetahuan pesakit mengenai penyakit ini dan dijadikan salurun untuk pesakit menyuarakan hasrat mereka bagi mendapatkan akses rawatan dengan lebih mudah dan baik.

Menerusi sambutan itu juga, ia turut mendidik pesakit psorisis untuk tidak berasa malu dengan keadaan kulit mereka dan memberi pendedahan kepada masyarakat umum bahawa penyakit itu tidak merebak menerusi sentuhan.

Baru-baru ini sempena sambutan hari kesedaran berkenaan, syarikat rumusan penjagaan kesihatan, Novartis bersama Persatuan Psoriasis Malaysia dan True Complexion turut mengadakan Kempen Amalkan Sifat Positif.

Menerusi kempen berkenaan, kesemua entiti terbabit ingin mengajak pesakit psorisis untuk lebih yakin dengan keadaan diri masing-masing dan tidak perlu malu sekiranya orang sekeliling melihat keadaan kulit mereka.

Presiden dan Pengarah Urusan Novartis Malaysia dan Brunei, Patrik Grande berkata, sebagai susulan kepada kempen ‘Lebih Jelas Mengenai Psoriasis’ yang diadakan awal tahun ini, pihaknya meneruskan sokongan kepada penghidap penyakit kulit ini.


KEADAAN kulit tangan penghidap psoriasis. FOTO Google

“Malah ia juga salah satu langkah meningkatkan kesedaran mengenai cabaran dihadapi pesakit. Kami mahu memastikan mereka tidak putus asa dan mengetahui bahawa adanya rawatan yang memberikan keputusan positif,” katanya.

Menerusi laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penyakit itu menjelaskan, pada masa ini tiada rawatan yang boleh menyembuhkan penyakit psoriasis. Rawatan yang digunakan adalah untuk mengawal tanda-tanda psoriasis.

Dalam tulisan itu juga menyebut, ubat-ubat yang digunakan dalam rawatan psoriasis diberikan bergantung pada jenis psoriasis dan masalah kesihatan lain yang dihidapi pesakit. Kebanyakan pesakit psoriasis dirawat menggunakan ubat topikal.

Namun begitu, bagi psoriasis yang serius, rawatan ubat topikal diberikan bersama fototerapi atau rawatan sistemik. Ujian darah perlu dijalankan sebelum dan semasa rawatan sistemik dimulakan untuk memastikan fungsi hati, buah pinggang dan sel darah putih dalam keadaan baik.

Jika kesemua rawatan tidak menunjukkan respons yang baik, rawatan biologik digunakan. Kesemua rawatan mesti digunakan atas nasihat dan di bawah pengawasan doktor.

Memang tidak dapat dinafikan rata-rata pesakit berasa kurang selesa dengan keadaan kulit mereka. Pun begitu, ramai yang bersikap positif kerana meskipun penawarnya belum ada, tetapi psoriasis masih boleh dikawal dengan kepatuhan terhadap penggunaan ubat-ubatan.

Antara faktor yang memburukkan keadaan psoriasis adalah trauma (kecederaan dan selaran matahari), jangkitan (streptococcal, HIV), ubat-ubatan (litium, perencat ACE, perencat beta, antimalaria, ubat antikeradangan bukan steroid (NSAID), merokok, alkohol dan tekanan emosi.

Pesakit juga perlu mengenal pasti dan mengelak faktor-faktor yang memburukkan keadaan psoriasis. Berjumpalah ahli dermatologi untuk membantu memilih rawatan yang sesuai untuk mengawal penyakit kulit ini.


PEMERIKSAAN doktor penting untuk mendapatkan rawatan yang sesuai. FOTO Google

Info

Antara ubat topikal

1. Emolien (pelembap) melembutkan dan mengekalkan kelembapan kulit. Emolien sebaiknya disapu selepas mandi sementara air masih terperangkap pada kulit untuk mendapatkan lebih hidrasi. Emolien perlu disapu lembut mengikut arah garis rambut secara kerap sekurang-kurangnya tiga kali sehari mengikut arahan doktor. Jangan sesekali menggosok ke atas dan ke bawah dengan kuat kerana akan menyebabkan kegatalan, menyumbat folikel rambut atau menyebabkan kulit berasa panas. Kadangkala, pelembap (krim aqueous) digunakan seperti sabun untuk menggantikan penggunaan sabun mandi.

2. Tar melambatkan pertumbuhan sel-sel kulit dan mengurangkan radang, gatal dan sisik-sisik psoriasis. Ia disapu bergantung kepada bahagian tubuh badan yang mengalami psoriasis. Misalnya syampu politar dan ung cocois co digunakan untuk psoriasis kulit kepala manakala mandian tar arang 20 peratus dan liquid picis carbonis (LPC) digunakan untuk tompokan di badan.

3. Syampu politar digunakan dua kali seminggu. Setelah rambut dan kulit kepala dibasahkan, ­syampu digosok pada kulit kepala dengan lembut selama lima hingga 10 minit. Kemudian bilas dengan air ke belakang tanpa terkena muka. Elakkan menggaru kulit kepala kerana ia boleh memburukkan keadaan.

Penggunaan syampu tar ini boleh menyebabkan kulit merengsa, merah, kering, meninggalkan kesan kotor dan bau tidak menyenangkan. Uji sediaan tar pada bahagian kecil kulit terlebih dulu. Jika kulit menjadi merah, cuba sapu sediaan tar selepas menyapu pelembap. Kulit akan menjadi lebih sensitif kepada cahaya matahari. Oleh itu sediaan tar perlu dibilas bersih.

4. Ung cocois co perlu disapu pada waktu malam dengan menyikat rambut kepada bahagian kecil dan sapu ubat pada tompok psoriasis di kulit kepala. Balut kulit kepala dengan tuala atau topi mandi. Lapikkan bantal kerana ubat boleh meninggalkan kesan kotor pada bantal. Biarkan semalaman dan bilas kulit kepala pada keesokan paginya.

5. Mandian tar arang 20% digunakan dengan melarutkan 15 ml tar arang dalam 10 liter air. Larutan disapu pada kulit menggunakan span/tuala atau merendam bahagian terjejas dalam larutan yang disediakan menggunakan tab mandi selama 15 hingga 20 minit.

6. Steroid adalah rawatan utama psoriasis dan adalah berkesan untuk kebanyakan pesakit. Steroid mengurangkan keradangan serta mengurangkan kemerahan pada tompok psoriasis. Steroid mempunyai pelbagai kekuatan daripada sangat kuat kepada sangat lemah.

Rawatan sistemik

1. Acitretin (retinoid) adalah analog sintetik vitamin A. Dos permulaan adalah 10mg hingga 30mg sehari mengikut arahan doktor. Ubat perlu diambil bersama dengan makanan. Ubat ini bagaimanapun mempunyai risiko teratogenik yang tinggi. Pencegahan kehamilan diperlukan empat minggu sebelum rawatan, semasa tempoh rawatan dan sehingga tiga tahun selepas berhenti rawatan. Kesan sampingan ubat termasuklah bibir dan mulut kering, konjunktivitis dan hidung berdarah. Paras kolesterol juga perlu diperiksa sewaktu rawatan.

2. Methotrexate (MTX) mengurangkan radang, kemerahan dan sisik serta membantu mengurangkan sakit sendi. Ubat ini diambil seminggu sekali dan diambil pada hari yang sama setiap minggu. Tablet asid folik diberikan bersama-sama untuk mengurangkan kesan sampingan MTX. Asid folik tidak boleh diambil pada hari yang sama dengan MTX.

3. Ciclosporin adalah ubat yang mengawal psoriasis dalam jangka masa yang singkat diikuti dengan rawatan ubat yang lain. Kontraindikasi ubat adalah kerosakan hati, kerosakan buah pinggang dan kelemahan pertahanan badan. Ubat tidak boleh diberi bersama ubat yang boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang seperti NSAID dan aminoglikosida.

Rawatan Biologik

Rawatan biologik adalah seperti adalimumab etanercept, infliximab atau ustekinumab. Rawatan biologik hanya digunakan apabila kesemua ubat topikal, fototerapi atau rawatan sistemik tidak menunjukkan respon yang baik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 1:01 AM