Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Penyakit ringan seperti demam dan selesema sering dikaitkan dengan cuaca panas serta hujan tidak menentu yang berlaku sepanjang tahun. Walaupun ia masalah kesihatan biasa yang kita alami, jika ia kerap berulang tentu membuatkan kita bimbang dan tidak selesa.

Bagi orang dewasa, demam menjejaskan prestasi kerja. Namun, kita akan lebih gundah sekiranya masalah kesihatan ini dialami kanak-kanak yang masih dalam proses membina kekuatan antibodi atau imunisasi bagi melawan pelbagai penyakit, sama ada disebabkan bakteria atau virus.

Kita sering dengar luahan rakan yang mempunyai anak kecil terpaksa mengambil cuti apabila anak mereka dimasukkan ke wad kerana demam virus.

Menurut Pegawai Perubatan Kecemasan Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Dr Shamsinar Samsuddin, demam virus adalah nama yang diberikan kepada demam akibat pelbagai jenis virus yang wujud di sekeliling manusia.

Beliau berkata, virus adalah organisma mikro yang menyebabkan jangkitan. Malah, ia lebih kecil daripada fungus dan bakteria.

“Virus ini akan memasuki sel perumah (individu yang dijangkiti) dan melepaskan asid ribonukleik (RNA) atau asid deoksiri bonukleik (DNA). Ia akan mengganda dan bertambah bilangannya yang menyebabkan kematian sel tuan rumah.

“Semua jenis jangkitan virus boleh menyebabkan demam. Virus yang paling sering menimbulkan gejala adalah seperti jangkitan pada saluran pernafasan, salur pemakanan, kulit dan sistem saraf serta otak,” katanya.

Katanya, virus boleh menyerang semua peringkat umur, sama ada kanak-kanak atau golongan dewasa. Golongan kanak-kanak adalah lebih sensitif dan lebih mudah terdedah kepada jangkitan ini disebabkan daya tahan tubuh yang masih lemah dan tidak berkembang sepenuhnya seperti golongan dewasa.

“Kanak-kanak yang jarang terdedah kepada persekitaran luar, contohnya bayi dan kanak-kanak bawah umur tiga tahun, rata-rata masih dijaga rapi oleh ibu mereka sendiri di rumah dan tidak pernah bergaul dengan kanak-kanak lain, secara amnya mempunyai daya tahan tubuh yang lemah terhadap virus biasa.

“Berbanding dengan kanak-kanak yang sudah terbiasa dijaga di tempat asuhan atau pusat jagaan kanak-kanak di luar, daya tahan tubuh lebih kuat,” katanya.

Dr Shamsinar berkata, golongan dewasa yang mendapat jangkitan virus juga akan mengalami gejala tidak sihat yang sama seperti kanak-kanak. Namun, gejala ini mungkin hilang dalam beberapa hari disebabkan daya ketahanan tubuh yang kuat serta kemampuan tubuh untuk melawan jangkitan berkenaan.

Jelasnya, bagi mengenali simptom demam virus, jangkitan virus secara umumnya akan memberikan gejala demam dan mungkin disertai batuk dan selesema.

Bagaimanapun, demam virus dapat dibezakan daripada demam yang disebabkan oleh jangkitan bakteria pada beberapa aspek seperti suhu badan meningkat sekitar 37.5 hingga 38 darjah Celsius,

“Demam bakteria pula boleh mencapai suhu yang lebih tinggi. Selain itu, keadaan kanak-kanak yang mengalami jangkitan virus secara umumnya adalah lebih baik berbanding kanak-kanak yang mendapat jangkitan bakteria, dalam erti kata mereka masih kelihatan aktif dan cergas walaupun sedang demam.

“Kanak-kanak yang diserang jangkitan bakteria umumnya kelihatan lebih sakit dan lesu. Muntah dan cirit-birit bukan faktor penentu sama ada kanak-kanak terbabit diserang jangkitan virus atau bakteria, ia hanyalah perkembangan daripada masalah kesihatan itu sendiri,” katanya.

Buat masa ini tidak ada rawatan khusus untuk merawat jangkitan virus, namun pelbagai kaedah boleh dilakukan bagi mengurangkan gejala yang dialami.

“Demam akan dirawat dengan pemberian ubat mengurangkan demam. Paracetamol kini tersedia luas di pasaran dan diperbuat dalam pelbagai jenama dan sediaan. Dos yang disarankan untuk kanak-kanak adalah sebanyak 15mg/kg berat badan dan boleh diberikan secara berulang-ulang setiap empat hingga enam jam.

“Pada masa yang sama, ibu bapa harus memastikan status hidrasi anak masing-masing tetap bagus, yang bermaksud anak masih mampu minum seperti biasa dan tidak mengalami dehidrasi (kekurangan air),” katanya.

Jelasnya lagi, apabila demam, kanak-kanak akan hilang selera makan. Ini adalah perkara biasa dan pada ketika ini doktor lebih menekankan kemampuan anak untuk minum berbanding makan dalam menentukan kadar hidrasi seorang kanak-kanak.

Tambahnya, jika anak menghidap gejala batuk, selesema, cirit-birit atau muntah, rawatan yang diberikan adalah berdasarkan simptom yang ditunjukkan. Bagaimanapun, tidak semua gejala berkenaan perlu dirawat kerana ia ada hadnya iaitu jangkitan akan hilang dengan sendirinya.

“Satu hal paling penting yang perlu diketahui oleh ibu bapa ialah, jangkitan virus tidak boleh diubati dengan pemberian antibiotik. Jadi, apabila doktor tidak memberikan antibiotik kepada anak, jangan minta!” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 12:01 AM