KUDIS buta kaki bayi.
Zanariah Abu Bakar dan Pegawai Farmasi Hospital Sultanah Aminah

KUDIS buta atau skabies adalah sejenis penyakit kulit yang boleh menjangkiti individu pada semua peringkat umur. Skabies disebabkan hama Sarcoptes scabiei var hominis yang menumpang pada makhluk lain, namun tidak memberi sebarang manfaat.

Hama ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar berikutan saiznya yang sangat kecil. Hama betina akan membentuk laluan di bawah kulit dan bertelur. Pesakit boleh mendapat reaksi alahan terhadap kehadiran protein hama lalu menyebabkan kegatalan yang keterlaluan terutama pada waktu malam. Tindakan menggaru secara berterusan boleh menyebabkan luka pada kulit dan juga meningkatkan risiko pendedahan kulit kepada jangkitan bakteria.

Bagaimana skabies berjangkit?

Skabies boleh berjangkit dengan sentuhan secara langsung kulit ke kulit. Individu yang baharu dijangkiti skabies mungkin tidak mula berasa gatal pada peringkat awal jangkitan. Dalam sesetengah keadaan, pesakit baharu dijangkiti skabies tidak mempunyai ruam atau hanya sedikit ruam yang kelihatan.

Individu yang pernah dijangkiti skabies pula biasanya mengalami gejala selepas beberapa hari pendedahan semula kepada jangkitan. Bahagian badan yang biasa dijangkiti adalah pada lipatan kulit seperti celah jari, bahagian paha, pergelangan tangan, siku, kawasan ketiak dan lain-lain. Skabies biasanya kurang menjangkiti bahagian seperti kepala, muka dan leher pada orang dewasa.

Jangkitan skabies biasanya berlaku bagi mereka yang tinggal dan bergaul rapat seperti di asrama, rumah orang-orang tua, taska dan rumah asuhan kanak-kanak. Ahli keluarga pesakit dan orang yang berdekatan dengan pesakit juga perlu mengambil perhatian kerana sifat skabies sangat mudah berjangkit.

Mereka yang berkongsi pakaian, tuala dan selimut dan tempat tidur juga berisiko tinggi untuk dijangkiti memandangkan skabies mampu kekal serta terus hidup untuk satu jangka masa tertentu selepas terpisah daripada makhluk yang ditumpanginya.

Diagnosis

Skabies boleh dikesan dengan meneliti corak ruam yang terbentuk pada permukaan kulit. Bagaimanapun, ia boleh dikelirukan dengan keadaan gatal kulit yang lain seperti ekzema. Selain itu, skabies boleh dikesan melalui kikisan kulit yang diambil dan diperiksa di bawah mikroskop. Pesakit yang mengalami gejala jangkitan dinasihati untuk merujuk kepada doktor untuk mendapatkan diagnosis sebenar agar rawatan yang sepatutnya dapat diberikan.

Langkah-langkah am

Semua individu yang mempunyai sentuhan fizikal dengan pesakit haruslah diperiksa dan menerima rawatan pada waktu yang sama. Basuh baju, cadar dan selimut dalam air panas. Jika tidak boleh dibasuh, boleh disimpan dalam bag plastik yang ditutup sekurang-kurangnya 72 jam sebelum dianginkan dan digunakan semula.


HAMA.

Hama yang terpisah daripada makhluk tumpangan biasanya akan mati dalam tempoh masa ini. Tilam perlu divakum dengan teliti, diseterika atau diwap dengan memberi perhatian khusus kepada kawasan tempat jahitan.

Pesakit atau penjaga perlu mendapatkan nasihat berkaitan langkah-langkah yang betul untuk aplikasi ubat-ubatan daripada doktor atau ahli farmasi. Arahan yang terkandung pada kotak atau dicetak pada label harus sentiasa dipatuhi dengan teliti. Jika ubat disapu oleh orang yang tidak dijangkiti skabies, mereka perlu memakai sarung tangan.

Ubat-ubatan

Terdapat pelbagai jenis ubat yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah skabies. Ubat ini biasanya terdapat dalam bentuk krim atau losen yang perlu disapu pada kulit mengikut arahan diberikan doktor atau ahli farmasi. Ini termasuk krim atau losen untuk kegunaan luar seperti permethrin, benzyl benzoate, crotamiton, gamma benzene hexachloride dan sebagainya.

Dalam keadaan tertentu, doktor juga akan merawat kegatalan yang keterlaluan dengan memberi ubat tahan gatal (antihistamin) jika perlu. Jangkitan bakteria yang berlaku disebabkan luka pada kulit juga perlu dirawat pada masa sama.

Pesakit perlu memaklumkan kepada doktor yang merawat sekiranya mengandung, menyusukan anak, terdapat sebarang sejarah penyakit dan sejarah alahan ubat. Perkara ini penting kerana terdapat sesetengah ubat dalam rawatan skabies tidak sesuai untuk digunakan dalam kalangan wanita mengandung, menyusukan bayi, pesakit sawan, bayi pramatang dan kanak-kanak berumur kurang daripada dua tahun.

Jika anda mengalami tanda-tanda jangkitan skabies, dapatkan rawatan segera kerana ia sangat mudah berjangkit. Pastikan anda menggunakan ubat dengan cara yang betul mengikut arahan daripada doktor dan ahli farmasi bagi memastikan rawatan yang berkesan.

•Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pengguna boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 November 2018 @ 7:02 AM