BAYI akan menangis kerana tidak selesa tanda ruam lampin.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Segelintir bayi berlampin jika dibiarkan dalam keadaan basah terlalu lama kulit mereka menjadi merah dan tidak selesa. Keadaan ini mengundang masalah dikenali sebagai ruam lampin berikutan kulit bayi sangat sensitif berbanding kulit orang dewasa dan mudah mengalami kerengsaan.

Ruam lampin adalah sejenis keradangan kulit yang lazim dan dicirikan oleh warna kemerah-merahan yang merengsakan sehingga bayi rasa terganggu dan tidak senang. Lazimnya, ia terjadi di sekitar tempat yang ditutupi lampin membabitkan bahagian kemaluan, punggung, celah kelangkang dan lipatan dalam paha.

Masalah kulit ini berlaku akibat kerengsaan yang terperangkap dalam lampin disebabkan enzim protease iaitu enzim yang menghurai molekul protein yang besar dan ditemui dalam air kencing atau najis pada lampin.

Pakar Perunding Dermatologi Pediatrik, Dr Leong Kin Fon berkata, biarpun ruam lampin lazim berlaku dalam kalangan bayi, masalah kulit ini boleh berlaku pada semua peringkat umur seperti pesakit terlantar, wanita hamil, pesakit yang menderita cirit-birit, penyakit keradangan usus dan buasir serta warga emas yang memakai lampin.

“Masalah ruam lampin dalam kalangan penduduk umum dianggarkan antara tujuh sehingga 35 peratus dengan lebih separuh daripada bayi berumur antara empat dan 15 bulan mengalami keadaan ini.

“Enzim protease terbukti menjadi punca ruam lampin dalam kalangan bayi. Aktiviti enzim protease dalam najis ini bergantung pada usia dan sangat tinggi dalam kalangan bayi baru lahir dan kanak-kanak sehingga usia satu tahun.

“Kulit akan merengsa akibat sentuhan dengan air kencing atau najis secara berpanjangan. Bagaimanapun kulit sensitif dan geselan lampin ketat dengan kulit yang lembut turut menjadi sebab lain yang mengakibatkan ruam lampin.

“Seterusnya, jangkitan kulat atau bakteria boleh berlaku jika keradangan kulit dibiarkan tanpa dirawat atau jika berlaku luka pada kulit,” katanya pada sesi bicara kesihatan kulit bayi sempena pelancaran rawatan dan pencegahan ruam lampin, Diapo Care anjuran Eurodrug Laboratories (M) Sdn Bhd, baru-baru ini.


RUAM lampin muncul dengan tanda kemerahan pada bahagian kelengkang, lipatan paha dan punggung.

Dr Leong berkata, ruam lampin kepada dibahagikan beberapa jenis berdasarkan puncanya. Antaranya, ‘chafing dermatitis’ iaitu ruam lampin yang paling kerap berlaku disebabkan memakai lampin kotor terlalu lama menyebabkan punggung dan paha kemerah-merahan serta membengkak.

“Ruam intertrigo pula menimbulkan kemerahan dan hangat disebabkan kulit yang bergesel, manakala perianal dermatitis sejenis ruam lampin yang dicirikan dengan tompokan merah gelap sekitar kemaluan bayi akibat memakan makanan pejal kali pertama.

“Biasanya, makanan pejal yang diperkenalkan kepada bayi akan menyebabkan perubahan pada kandungan najisnya yang boleh meningkatkan risiko mendapat ruam lampin.

“Ramai ibu bapa dan penjaga berasa bimbang apabila mereka mendapati ruam dan kemerahan pada kulit anak ketika menukar lampin. Mereka berasa tidak berdaya untuk membantu apabila si manja menangis kerana tidak selesa dan dalam kesakitan,” katanya.

Beliau berkata, cara terbaik untuk mencegah dan merawat ruam lampin adalah dengan memastikan kulit bayi sentiasa kering dan bersih. Caranya adalah menukar lampin basah dan kotor secepat mungkin, membersihkan dengan air dan menyapu krim pelindung selepas setiap kali menukar lampin.

“Krim pelindung yang paling sesuai sewajarnya memberikan dua tindakan iaitu mencegah dan merawat, selain menangani punca ruam lampin iaitu enzim protease dalam najis. Oleh kerana usus bayi dan kanak-kanak kecil yang meneutralkan enzim protease masih kurang matang, ia mengakibatkan peningkatan aktiviti protease dalam najis mereka yang seterusnya meningkatkan insiden ruam lampin.

“Walaupun enzim protease adalah punca utama ruam lampin, masalah kulit ini boleh dicetuskan oleh beberapa faktor lain seperti keadaan lampin ketat hingga tiada aliran udara, keasidan kulit yang meningkat akibat pengumpulan air kencing atau najis dalam lampin, kulit sensitif dan pengambilan antibiotik yang meningkatkan risiko cirit-birit,” katanya.


PASTIKAN lampin sentiasa kering dan segera ditukar jika sudah basah dengan najis.

Sementara itu, Pengurus Besar Eurodrug Laboratories (M) Sdn Bhd, Kelvin Tong berkata, rawatan dan pencegahan ruam lampin, Diapo Care dirumus dengan dua bahan aktif iaitu perencat enzim protease (PEi) dan Dexpanthenol yang berkesan merawat dan mencegah punca ruam lampin.

“PEi menyekat aktiviti enzim protease dalam najis yang merosakkan lapisan perlindungan sel kulit yang diperkaya dengan protein. Pada masa yang sama, Dexpanthenol membentuk pelindung yang membantu pertumbuhan semula kulit di bahagian yang terjejas.

“Hasil kajian klinikal membabitkan pesakit perianal dermatitis menunjukkan bahawa PEi hampir menyekat sama sekali aktiviti protease dalam najis. Dalam satu kajian klinikal yang berasingan, PEi juga didapati menambah baik keadaan dermatitis, keradangan, kesakitan dan gangguan tidur dalam kalangan bayi.

“Malah, tiada kesan buruk diperhatikan selepas rawatan dengan PEi. Ini membolehkan bayi berasa lebih selesa memakai lampin sepanjang hari dan tidak gelisah disebabkan ruam lampin, justeru mengurangkan kebimbangan ibu bapa.

“Walaupun ada rawatan lain, sesetengahnya mungkin menyebabkan kulit kering dan melelas atau boleh menjejaskan keseimbangan semula jadi kulit. Kesukaran untuk membersihkan kulit hasil rawatan yang berasaskan petrolatum atau zink oksida juga boleh menyebabkan lebih banyak kerosakan pada kulit yang lembut disebabkan geseran ketika menanggalkannya,” katanya.


PELANCARAN krim ruam lampin dengan dua bahan aktif khas disempurnakan Kelvin (kanan) dan Pengurus Unit Perniagaan Eurodrug Laboratories, Susan Yap.

Gejala ruam lampin

1. Kulit kelihatan merah, sedikit kasar dan berkerak di bahagian punggung, kemaluan, kelangkang dan paha.

2. Jika ia dijangkiti kuman, kawasan ruang lampin akan kelihatan berwarna merah gelap, diseliputi ruam yang berkilat dan bertompok-tompok dan dipenuhi bintil-bintil kecil di luar bahagian utama yang dijangkiti.

3. Bayi kelihatan tidak selesa, kuat merengek dan menangis.

Penjagaan bayi alami ruam lampin

1. Pastikan bayi dalam keadaan kering, dedahkan kawasan ruam kepada udara dengan menanggalkan lampin daripada bayi sekerap yang mungkin terutama jika ruam bertambah teruk.

2. Tukar lampin dengan kerap, apabila anda dapati lampin basah atau kotor tukarkannya dengan segera.

3. Cuci dengan air, basuh punggung bayi setiap kali anda menukar lampin untuk membersihkan sisa air kencing atau lembapan dengan air suam atau krim ruam lampin.

4. Guna ubat saranan doktor, sapu krim pelindung setiap kali anda menukar lampin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 12:46 AM