Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Keretakan tulang belakang atau vertebra adalah keretakan osteoporosis paling lazim berlaku, malah dianggarkan satu kes keretakan baharu berlaku pada setiap 22 saat di seluruh dunia. Walaupun keretakan tulang belakang menjadi punca utama kesakitan dan ketidakupayaan jangka panjang, dianggarkan sehingga 70 peratus daripada masalah ini tidak diberi perhatian klinikal.

Secara umumnya, osteoporosis adalah penyakit yang menyebabkan tulang menjadi lemah dan rapuh, malah ia juga punca tulang patah dalam kira-kira seorang bagi setiap tiga wanita, manakala seorang bagi setiap lima lelaki berusia 50 tahun ke atas di seluruh dunia.

Sehubungan itu, Yayasan Osteoporosis Antarabangsa (IOF) menggesa golongan dewasa untuk berwaspada dengan tiga petanda keretakan tulang belakang yang mungkin berlaku iaitu sakit belakang secara tiba-tiba dan teruk, kehilangan ketinggian melebihi tiga sentimeter (hanya lebih satu inci) atau bahagian belakang yang membongkok.

Presiden IOF, Profesor Cyrus Cooper berkata, pesakit yang mengalami sakit belakang secara tiba-tiba sering diberikan ubat penahan sakit dan tidak diperiksa serta dirawat dengan betul bagi mengesan puncanya.

Namun demikian, tanpa rawatan pencegahan satu keretakan tulang belakang boleh mencetus lebih banyak kepatahan tulang secara berturut-turut seterusnya menjurus kepada kesakitan dan ketidakupayaan jangka panjang.

“Seorang dalam lima wanita dengan keretakan tulang belakang akan mengalami satu lagi keretakan dalam tempoh 12 bulan dan masalah ini mendatangkan impak yang serius terhadap kualiti hidup mereka.

“Seseorang pesakit dari Sweden bernama Anita umpamanya mempunyai sejarah keluarga yang mengalami osteoporosis. Anita mengalami beberapa keretakan tulang belakang, dengan keretakan ketiga berlaku apabila beliau selesema dan hanya terbatuk.

“Malah, beliau juga kehilangan ketinggian sebanyak enam sentimeter, selain menderita kesakitan kronik dan terpaksa melepaskan kerjayanya sebagai seorang jururawat,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Osteoporosis Sedunia, baru-baru ini.

Menurutnya, pihak yayasan bersama 240 ahli organisasi di seluruh dunia menyeru pengamal profesional penjagaan kesihatan untuk menangani masalah keretakan tulang belakang yang kurang dilaporkan dan kurang diberi rawatan berkenaan.

“Kami menasihati pakar radiologi yang biasa melakukan sinaran X untuk mencari keretakan vertebra dan melaporkan keadaan ini dengan betul sebagai ‘keretakan’.

“Malah, pakar perubatan juga perlu memainkan peranan mereka untuk memastikan bahawa selepas masalah dikenal pasti, pesakit akan mendapat manfaat daripada rawatan dan strategi pengurusan yang sesuai sebelum keretakan lanjut memudaratkan dan mengancam nyawa berlaku,” katanya

Keretakan disebabkan osteoporosis mewakili beban yang sangat besar pada sistem penjagaan kesihatan dan kos diramalkan meningkat dengan ketara sepanjang beberapa dekad lagi.

Oleh demikian, IOF menggesa pelaksanaan Perkhidmatan Perhubungan Keretakan di hospital seluruh dunia sebagai langkah penting ke hadapan bagi mengurangkan kos keretakan kerapuhan terhadap individu dan ekonomi. Perkhidmatan sedemikian juga dipercayai dapat membantu memastikan kepatahan tulang pertama pesakit adalah yang terakhir.

Sempena sambutan Hari Osteoporosis Sedunia tahun ini, IOF menyediakan beberapa sumber baharu untuk pesakit dan pengamal profesional penjagaan kesihatan. Antaranya, Ujian Risiko Osteoporosis Satu Minit yang disediakan bagi membantu golongan dewasa mengenal pasti faktor risiko peribadi mereka terhadap osteoporosis.

Malah, Hari Osteoporosis Sedunia yang disambut pada 20 Oktober setiap tahun adalah satu daripada usaha meningkatkan kesedaran berkenaan penyakit tulang rapuh.


SENAMAN lompat tali (skipping) atau melompat di tempat yang sama baik untuk kekuatan tulang.

Faktor risiko osteoporosis

• Wanita berisiko lebih tinggi mendapat osteoporosis berbanding lelaki disebabkan penurunan hormon estrogen selepas menopaus.

• Penyakit yang menjejaskan penghasilan hormon.

• Sejarah osteoporosis dalam kalangan keluarga yang terdekat (ibu bapa).

• Tidak aktif dalam jangka masa lama seperti terlantar di katil.

• Kerap mengambil minuman keras dan merokok.

• Gangguan penyerapan seperti penyakit Coeliac dan Crohn.

• Penggunaan ubat korti kosteroid pada dos tinggi bagi tempoh lama (selalunya digunakan bagi rawatan artritis dan asma) boleh memberi kesan kepada kekuatan tulang.

• Kekurangan kalsium.

• Paras vitamin D rendah.

• Jisim badan yang sangat rendah (contoh, berat badan yang kurang atau mempunyai tulang yang menipis akibat kecelaruan gaya pemakanan).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 12:30 AM