KAD Amalan Cara Hidup Sihat dilancarkan Dr Lee (kiri) dan Teo untuk menyampaikan mesej penjagaan kesihatan kepada murid sekolah.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Masalah obesiti dalam kalangan pelajar bukan perkara baharu, malah kadar yang makin meningkat mendorong kerajaan menjalankan pelbagai usaha, program, kempen dan aktiviti untuk meningkatkan kesedaran, di samping langkah pencegahan.

Antara faktor dikenal pasti menyumbang masalah obesiti membabitkan pelajar adalah kelemahan ibu bapa mendidik dengan pengetahuan makanan yang baik, gaya hidup sedentari dan sikap pengusaha kantin serta penjaja membekalkan makanan tidak seimbang.

Bimbang masalah obesiti dalam kalangan pelajar yang kian meruncing bakal menjadi permasalahan besar kepada negara, Kementerian Kesihatan melancarkan aktiviti promosi kesihatan dan pencegahan penyakit menerusi program Bicara Meja Amalan Cara Hidup Sihat.

Timbalan menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata, pihaknya memasang sebanyak 3,600 kad program pada meja kantin di sekolah rendah terpilih di seluruh Semenanjung bagi menyampaikan mesej kepada pelajar sekolah untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.

Dalam program ini juga, mesej amalan cara hidup sihat disampaikan dalam bentuk penceritaan oleh sekumpulan ahli Kelab Doktor Muda sekolah yang berperanan memberi pendidikan kesihatan kepada rakan sebaya mereka.

Amalan cara hidup sihat yang disampaikan melalui program ini antaranya mengamalkan 10,000 langkah sehari, pengambilan makanan dalam kuantiti suku-suku-separuh dan tidak merokok.

“Berdasarkan Tinjauan Nutrisi Remaja (ANS) yang dijalankan pihak kementerian tahun lalu menunjukkan kes berat badan berlebihan dalam kalangan remaja adalah sebanyak 15.6 peratus, manakala kes obesiti pula sebanyak 14.8 peratus.

“Malah, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015 mencatat 17.7 peratus rakyat Malaysia adalah obesiti dan angka ini meningkat sejak 2006,” katanya pada majlis penyampaian Anugerah Amalan Perkhidmatan Kantin Terbaik 2018, anjuran bersama Farm Fresh Milk dan Kementerian Pendidikan, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dan Pengarah Urusan Farm Fresh, Loi Tuan Ee.

Dr Lee berkata, pihaknya bersama Kementerian Pendidikan sering bekerjasama menyediakan platform di sekolah-sekolah untuk mempertingkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan murid dan warga sekolah.

“Kami sentiasa seru masyarakat supaya mengamalkan gaya hidup sihat dan usaha ini tidak terkecuali dalam kalangan pelajar sekolah. Selain menekankan masalah pemakanan, kami juga berusaha untuk mengurangkan kadar kes keracunan makanan, pencegahan demam denggi dan sebagainya.

“Malah, Anugerah Amalan Perkhidmatan Kantin Terbaik ini juga antara langkah bagi menerapkan budaya penyediaan makanan yang sihat dan selamat di setiap rantaian makanan serta meningkatkan kesedaran kepada warga sekolah berkenaan kepentingan kesihatan, kebersihan dan keselamatan makanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 12:00 AM