DR Sharifah Azlin Juliana yang mengalami kecederaan tulang belakang mencuba fisioterapi dengan kaedah terapi aktif sambil dibantu jurupulih anggota, K Karthikeyen.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Ramai memandang ringan rawatan fisioterapi kerana tidak menyedari keberkesanannya dalam memulihkan kesakitan jika dibandingkan dengan pengambilan ubatan atau pembedahan. Malah, ramai juga menganggap fisioterapi antara senaman menguatkan dan memulihkan anggota untuk orang kurang upaya (OKU) serta mereka yang mengalami kecederaan akibat kemalangan saja.

Fisioterapi adalah pendekatan komprehensif kepada penjagaan kesihatan yang dijalankan jurupulih anggota berdedikasi untuk membantu pesakit mengembali dan memastikan setiap fungsi fizikal pesakit berada pada tahap tinggi serta dapat difungsikan dengan sebaik mungkin.

Perkhidmatannya turut diberikan untuk menangani masalah pernafasan membabitkan paru-paru dan kahak, kecederaan ketika bersukan, ligamen terluka dan kecederaan otot, patah dan terseliuh, ketidakupayaan seperti palsy dan distrofi otot, masalah sakit sendi, tulang belakang dan leher, persediaan sebelum dan selepas pembedahan, manipulasi tisu lembut serta elektroterapi untuk mengurangkan sakit, bengkak, selain mempercepatkan proses penyembuhan.

Bagi menawarkan penjagaan rehabilitasi kepada semua lapisan umur termasuk kanak-kanak dan golongan yang sibuk bekerja, David Health Solution memperkenalkan Kaedah Terapi Aktif dengan peranti G-Line yang ditempatkan di Jabatan Perubatan Rehabilitasi, Hospital Manipal Klang, baru-baru ini.

Kaedah berkenaan adalah platform komprehensif terbaru yang mengguna pakai Sistem Profesional Penilaian Senaman (EVE) yang akan memantau kemajuan dan analisis pemulihan fungsi pinggul, lutut, tulang belakang serta bahu pesakit.

Pengurus Besar Fisioterapi David Physiotherapy, Theeranjeet Kaur berkata, perubatan rehabilitasi adalah penting untuk memenuhi cabaran dalam penjagaan kesihatan yang semakin meningkat di negara ini berikutan dalam populasi kita yang semakin tua akan terdapat peningkatan pesakit dengan masalah kronik seperti osteoartritis (OA), sakit belakang dan sakit leher.

“Gaya hidup kini semakin menuntut kita melakukan banyak perkara yang mengurangkan pergerakan fizikal seperti memandu berbanding berjalan kaki, meluangkan banyak masa dengan gajet berbanding rekreasi di luar rumah dan mengambil lebih banyak makanan segera daripada memasak makanan.

“Sebab itu, kami bawakan teknologi dari Finland ini kerana fisioterapi juga memainkan peranan penting dan meningkatkan kesihatan serta mencegah penyakit terutama untuk golongan dengan gaya hidup sibuk.

“Ini sekali gus menangkis tanggapan kebanyakan orang yang hanya tahu fisioterapi adalah untuk pemulihan akibat kecederaan atau penyakit berkaitan otot, rangka, neurologikal atau masalah pernafasan,” katanya.

Katanya, kaedah terapi aktif berkenaan mampu merawat kesakitan pesakit sama ada golongan tua dan muda dengan cepat melalui Sistem EVE yang dipantau menerusi kad Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang menyimpan data senaman, tahap pencapaian dan pematuhan pesakit terhadap protokol ditetapkan.

“Pesakit menghidap sakit otot dan rangka tulang patut menggunakan kaedah ini kerana ia mengumpul data yang mampu mengawal pergerakan pesakit mengikut tahap kemampuan mereka untuk pulih.

“Tindak balas pergerakan pesakit akan dikawal secara grafik di terminal alat fisioterapi ini yang akan mengawal rawatan terapi pada tahap selamat. Hanya satu klik, semua data berkenaan tahap pemulihan pesakit akan dapat dikumpul bagi proses terapi senaman selanjutnya.

“Malah, program pemulihan menggunakan Sistem EVE ini tidak terlalu ketat kerana ia boleh dilakukan seminggu sekali hingga pesakit sembuh sepenuhnya sekali gus mengurangkan cuti sakit dan membolehkan pesakit kembali bekerja lebih awal,” katanya.

Sementara itu, pesakit kecederaan tulang belakang, Dr Sharifah Azlin Juliana Syed Zainal, 47, berkata, kesakitannya semakin pulih selepas beberapa sesi menjalani fisioterapi dengan kaedah terapi aktif berkenaan.

“Selama enam bulan saya menanggung kesakitan tulang belakang yang tercedera akibat aktiviti menyelam. Dalam tempoh berkenaan, saya susah tidur kerana tidak boleh baring, malah berdiri pun tidak boleh tegakkan badan, manakala jalan pun senget.

“Saya sudah jalani banyak rawatan termasuk fisioterapi tapi semuanya hanya memberi kelegaan sementara hingga saya cuba kaedah terapi aktif ini dan hasilnya memuaskan kerana nampak perubahan selepas sesi ketiga,” katanya.

Beliau yang juga pakar bedah mulut dan maksilofasial di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan berkata, kaedah terapi aktif berkenaan berbeza dengan alat fisioterapi lain yang pernah digunakan kerana ia mampu mengenal pasti bahagian bermasalah dan merawatnya mengikut kemampuan pesakit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 12:00 AM