DR SHALINI bersama Swanee dan Amol Pathak ketika sesi pengenalan formulasi ayurveda.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Seiring dengan peningkatan usia, fungsi otot dan sendi turut menyusut.

Dalam situasi tertentu boleh menjadi lebih kronik dan mempunyai gejala seperti sendi yang sakit, terasa bisa bila disentuh, mungkin kemerahan, membengkak yang dikaitkan dengan kehilangan fungsi.

Kesakitan itu mungkin berpunca daripada lapisan tisu luaran, otot, ligamen, sendi atau pangkal saraf dan kes membabitkan tulang pula jarang menyebabkan sakit.

Bagi pesakit sendi lutut, Mohd Jabar@Ibarahim Ismail, 72, kesukaran bergerak adalah kekangan utama termasuk ketika menunaikan solat.

“Masalah saya hadapi tidak boleh bergerak jauh, sukar mendaki tangga apatah lagi ketika solat.

“Bagi warga emas seperti saya ia penyakit biasa dihadapi. Dalam keadaan tertentu memerlukan ubatan berkala termasuk ubat tahan sakit bagi mengurangkan rasa ‘bisa’,” katanya.

Namun pengambilan ubat tahan sakit seperti antiradang tanpa steroid atau lebih dikenali sebagai NSAIDs untuk satu tempoh panjang dikhuatiri memberi komplikasi termasuk pendarahan gastrik, serangan jantung, strok dan kegagalan ginjal.

NSAIDs seperti ibuprofen, napoxen dan lain-lain, sering menjadi ubatan berkala kepada pesakit sendi dan satu aspek penting adalah meneliti keperluan pengambilan ubat terbabit.

Kajian dijalankan Persatuan Kajian Osteoartritis Antarabangsa (OARSI) pada 2006, ia mempunyai risiko lain termasuk keperluan penggantian pinggul serta lutut pesakit pada tahap tertentu.

Justeru ada kajian peralihan bagi penggantian ubat jenis NSAIDs menerusi alternatif herba.

Pengarah Bersekutu Enovate Biolife Amol Pathak, berkata pihaknya memfokuskan kajian ayurveda iaitu herba perubatan India sebagai alternatif penting pada produk kesihatan termasuk sebagai ubat tahan sakit, contohnya lanconone yang terbukti secara saintifik.


RADANG berlaku pada lutut.

“Kebaikan mengenai kaedah ini ia melegakan rasa sakit dengan selamat tanpa perlu bimbangkan komplikasi kepada perut atau buah pinggang anda.

“Kajian herba ini turut mengambil kira faktor lain termasuk keadaan pesakit yang mengambil ubatan seperti ubat tekanan darah tinggi dan diabetes,” katanya.

Syarikat itu bekerjasama dengan Nuvanta Sdn Bhd menerusi Pengurus Unit Perniagaan Datin Swanee Teh untuk akses ubat terbabit di Malaysia.

Penyelidik klinikal produk ayurveda, Dr Shalini Srivastava mendapati formula semula jadi itu dilihat jauh lebih baik termasuk buat pesakit berisiko tinggi.

“Ia juga adalah alternatif selamat dan dijadikan sebagai amalan oleh orang tempatan yang menunjukkan pengambilan herba jauh lebih baik dalam mengurangkan kerosakan pada diri pesakit.

“Meskipun kesan sama ada awal atau lambat itu sudah dijangka tetapi pengambilan konsisten membantu peningkatan kualiti sebagai mengurangkan kesakitan pada bahagian yang mengalami masalah.

“Kesan ubat ini juga tidak mengganggu peranan ubat lain tetapi disarankan merujuk kepada doktor bagi melihat kesesuaiannya jika diambil bersama ubat sedia ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 1:13 AM