Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@hmetro.com.my

Ketika mula diperkenalkan, kanta lekap tidak lebih daripada pengganti kaca mata. Golongan berkaca mata yang rimas menyarung ‘teropong’ mereka ini, boleh beralih kepada kanta lekap untuk mencari kelainan biarpun sukar melakukannya buat kali pertama.

Definisi kanta lekap adalah alat bantuan optik, bersifat seperti kepingan plastik yang diletakkan di atas permukaan kornea untuk tujuan pembetulan kesalahan refraksi/terapeutik/kosmetik. Ia juga sebagai alat peranti perubatan -Kelas C yang terkandung dalam Akta dan Peraturan Peranti Perubatan Malaysia 2012.

Perunding Optometris Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Bariah Mohd Ali berkata, tidak semua orang sesuai menggunakan kanta lekap.

“Ramai yang salah anggap mengenai kanta lekap terutama kanta lekap berwarna yang harganya lebih murah dan mudah didapati. Ia juga sudah dianggap seperti aksesori berbanding fungsi asalnya. Kanta lekap berwarna makin digemari pelbagai peringkat usia. Akibat permintaan tinggi, ada pihak memandang mudah soal penjualan kanta lekap.

“Menurut prosedur betul, penjualan kanta lekap perlu dilakukan optometris bertauliah yang memeriksa mata pengguna terlebih dulu bagi menentukan kesesuaian penggunaan kanta lekap,” katanya ketika ditemui pada Hari Penglihatan Sedunia 2017 di universiti itu baru-baru ini.

Menurutnya, antara golongan yang tidak sesuai menggunakan kanta lekap ialah mereka yang mempunyai penyakit okular misalnya glaukoma/katarak/mata kering/infeksi kornea dan sebagainya.

“Selain itu, mereka yang mempunyai penyakit seperti diabetes atau tekanan darah (hipertensi), pernah menjalani pembedahan lasik, hamil trimester akhir, kerap terdedah pada habuk atau kering serta sukar mengikuti arahan penjagaan/pemakaian kanta sentuh.

“Kanta lekap boleh digunakan oleh sesiapa sahaja termasuk bayi. Tetapi perlu nasihat daripada pakar optometris dan bukan pakai ‘hentam kromo’ saja.

“Orang ramai perlu ada ilmu sebelum memakai kanta lekap. Bukan hanya untuk kelihatan cantik. Bagi individu yang menggunakan kanta lekap tanpa merujuk optometris, risiko mengalami masalah mata adalah tinggi. Antara masalah yang boleh dihadapi pengguna kanta lekap ialah jangkitan, alahan hingga lebih kronik dan risiko menjadi buta,” katanya.

Ada lebih 180 juta pemakai kanta lekap di seluruh dunia dan paling ramai di Amerika Utara (36 juta), Asia (24 juta) dan Eropah (20 juta). Angka itu dijangka meningkat pada 2020 kerana bilangan miopia (rabun jauh) akan meningkat ke 5.3 billion pada 2020 (60 peratus penduduk dunia dijangka menjadi miopia).

Dua pertiga daripada pemakai kanta lekap adalah golongan wanita yang rata-rata berusia lingkungan 31 tahun. Di Malaysia pula, dianggarkan lebih dua juta penduduk memakai kanta lekap (tujuh hingga lapan peratus).

Bariah menjelaskan, majoriti pemakai kanta lekap di negara ini berusia 20 hingga 29 tahun. Kanak-kanak sekolah berusia 13 hingga 18 tahun (bandar) 10 peratus manakala pelajar sekolah (luar bandar) lapan peratus.

“Pelajar universiti lingkungan usia 20 hingga 25 tahun (20 peratus), yang membabitkan kira-kira 80 peratus golongan wanita.

“Dianggarkan 90 peratus pemakai kanta lekap lembut (termasuk kanta berwarna) dan kebanyakannya untuk tujuan kosmetik serta keselesaan,” katanya.

Paling utama dalam penggunaan kanta lekap adalah kebersihan. Ini termasuk tangan, kuku, bekas simpanan dan apa saja yang terbabit dengan pemakaian kanta lekap.

Kanta perlu dicuci dengan larutan khusus dan disimpan dalam larutan yang khusus untuk kanta lekap. Penggunaan ubat titis mata juga mesti digunakan mengikut keperluan. Usah pakai kanta lekap melebihi tempoh yang sepatutnya dan dari semasa ke semasa, jumpa optometris untuk melakukan pemeriksaan mata walaupun anda pengguna kanta lekap yang tidak mempunyai kuasa untuk pembetulan penglihatan.

Tip

• Bagi pengguna baru, anda tentu keliru bahagian dalam atau luar kanta lekap. Perbezaan mungkin tidak ketara tetapi pastikan ia kelihatan seperti separuh bola. Letakkan kanta lekap pada jari hingga terlihat bentuk yang dikatakan. Kemudian, bawa kanta dengan bahagian ‘dalam cawan’ menghadap mata anda. Jika kanta yang dipakai berbentuk U sempurna, bermakna itulah posisi betul.

• Sesetengah kanta lekap mempunyai tanda laser, misalnya jenama produk. Ini juga boleh membantu menentukan bahagian dalam atau luar kanta lekap.

• Pastikan anda membasuh tangan dengan sempurna sebelum memakai kanta lekap. Elak menggunakan sabun yang terlalu banyak kandungan pewangi, minyak atau produk yang mengandungi lanolin yang boleh melekat pada permukaan kanta lekap. Sesetengah doktor menasihatkan supaya memakai kanta lekap yang sama pada mata sama.

• Sentiasa pastikan anda mencuci tangan sebelum mengeluarkan kanta lekap. Jika anda berdiri di depan sinki, pastikan anda menggunakan tisu yang bersih untuk menutup lubang saluran sinki bagi mengelak kanta lekap terjatuh ke dalamnya.

• Untuk mengeluarkan kanta lekap, pandang atas atau sisi sambil menarik bahagian bawah mata. Dengan menggunakan jari, gerakkan kanta lekap secara perlahan-lahan dan berhati-hati ke bahagian putih mata anda. Dari situ, kepit kanta lekap perlahan-lahan menggunakan jari telunjuk dan ibu jari dan keluarkan dari mata.

• Peringatan, jangan sesekali-kali berkongsi kanta lekap. Ini boleh mengundang padah pada mata anda.

• Jangan menukar jenama atau larutan penjagaan kanta lekap tanpa berbincang dengan optometris anda terlebih dulu.

• Jangan memakai kanta lekap melebihi tempoh dihadkan.

• Jangan tidur dengan memakai kanta lekap

• Buang larutan yang sudah diguna, jangan campur dengan larutan baru

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 9:13 AM