ANGGOTA penguat kuasa KPDNKK memeriksa harga ayam di Pasar Jalan Raja Alang.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@nstp.com.my


Kuala Lumpur: Harga barang keperluan seperti ayam, telur dan santan di sekitar ibu kota didapati masih stabil.

Dalam pemeriksaan mengejut dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di lebih 20 gerai di Pasar Jalan Raja Alang, di sini, semalam, mendapati kebanyakan peniaga masih mengekalkan harga jualan sebelum ini.

Berikutan itu, harga ayam kekal pada RM7.50 sekilogram, telur ayam gred A RM11.10 dan santan RM7 sekilogram.

Tinjauan turut mendapati kebanyakan peniaga menukar tanda harga berbanding tinjauan dilakukan kelmarin.

Ketua Penguatkuasa KPDNKK Kuala Lumpur Low Swee Hon berkata, pemeriksaan di beberapa pasar utama di sekitar ibu kota mendapati harga barangan basah terutama ayam mentah kini menurun.

“Berbanding harga ayam mentah pada dua minggu lalu yang naik sekitar RM0.50, minggu ini kami dapati harga ayam mentah menurun dan stabil.

“Selain itu, harga telur pula didapati kekal dan tiada sebarang kenaikan manakala bagi harga santan kelapa didapati masih stabil,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Low berkata, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan di sekitar pasar di ibu kota bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga barangan secara melampau.

“Notis boleh dikeluarkan kepada peniaga yang menaikkan harga barang mengikut Akta Kawalan Harga dan Pencatutan 2011.

“Terdapat 600 anggota KPDNKK Kuala Lumpur terus memantau harga barang terutama harga barang basah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 6:54 AM