PENGUNJUNG kanak-kanak mencuba sendiri bagai mana mengkukur kelapa secara tradisional pada Program Nostalgia Anak Kampung di Muzium Negara.
Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


MELIHAT telatah si kecil yang pertama kali bermain lompat getah cukup mencuit hati.

Setiap lompatan yang dilakukannya disertai gelak ketawa. Maklum saja, kali pertama mencuba dan ia bukan sukan yang popular pada zaman ini.

Bagi si ibu yang menemani anak pula, permainan itu turut menggamit nostalgia zaman kecilnya terhadap permainan berkenaan.

Aksi si kecil membaling tin dengan selipar menerusi permainan tuju tin juga tidak kurang hebatnya.

Lontaran penuh bersemangat menggambarkan betapa dia menyukai permainan tradisi itu.

Itu belum lagi aktiviti menarik upih, bermain sepak raga, tengteng dan banyak lagi yang cukup menyeronokkan.

Dalam selingan keseronokan itu, ibu atau ayah juga kelihatan sibuk melayan pertanyaan anak yang bagai tidak percaya kepelbagaian aktiviti pernah dilakukan orang tua mereka.

Maklum saja, kini kebanyakan aktiviti menjadi permainan kanak-kanak lebih kepada teknologi dan penggunaan gajet.

Itu ‘penangan’ program Nostalgia Anak Kampung yang dianjurkan Muzium Negara bersempena cuti sekolah.

Diperkenalkan sejak 2016, acara tahunan itu inisiatif menyemarakkan aktiviti pelancongan dan kebudayaan selain mendidik masyarakat mengenai nilai budaya, identiti dan jati diri kepada generasi muda supaya tidak terhakis oleh arus pemodenan.

Program ini menghidupkan kembali pelbagai permainan tradisional yang menggamit memori dan nostalgia masyarakat.

Di samping itu, ia dapat mengembalikan kemeriahan kehidupan masyarakat di kampung yang semakin dilupakan generasi muda masa kini.

Timbalan Ketua Pengarah Permuziuman, Jabatan Muzium Malaysia, Mohd Azmi Mohd Yusof berkata, dengan pelaksanaan program ini, pihaknya mengimbau kembali kepelbagaian aktiviti terutama permainan kampung yang tidak dikenali kanak-kanak zaman sekarang.

Menurutnya, program itu juga lebih fokus kepada mengimbau kembali zaman dahulu terutama dalam kalangan ibu bapa dan menggalakkan mereka membawa anak ke muzium seterusnya membolehkan mereka menceritakan mengenai aktiviti yang pernah mereka lakukan.

“Apabila ibu bapa bawa anak ke sini, mereka boleh bercerita pengalaman mereka, sekali gus merapatkan ukhuwah sesama mereka.

“Bercerita sambil melakukan aktiviti adalah lebih berkesan untuk menyampaikan penceritaan itu kepada anak. Kalau tidak nanti, kita bercerita hanya atas sekadar cerita tanpa aktiviti. Itu matlamat Nostalgia Anak Kampung ini,” katanya.

Selain aktiviti itu, Mohd Azmi berkata, pihaknya akan menganjurkan program ini serentak di seluruh negara tahun hadapan.

IMBAU kenangan dan eratkan hubungan kekeluargaan menerusi program anjuran Muzium Negara. FOTO Aswadi Alias.

“Kami akan menganjurkan Nostalgia Anak Kampung secara menyeluruh dan serentak di muzium seluruh negara di bawah Jabatan Muzium Malaysia dan menjadikan ia sebagai program tetap seperti program Bermalam di Muzium.

“Kami akan memperluaskan program ini di Muzium Negeri yang di bawah seliaan Jabatan Muzium Malaysia dan fokus pada cuti sekolah serta menyesuaikan aktiviti dengan kawasan sekeliling muzium. Ini kerana setiap negeri punya permainan atau kegiatan sendiri yang boleh dianjurkan,” katanya.

Aktiviti membabitkan 20 jenis permainan tradisional seperti sepak raga, batu seremban, congkak, gasing cina, dam aji, ketenteng, tarik upih, tuju gerah, baling selipar, kelereng, lari dalam guni, tuju tin, chap tey, untai gelang getah, galah panjang, rebut negeri dan tapak gajah.

Produk kraf seperti anyaman tikar, bedak sejuk dan tembikar tanah turut dipertontonkan kepada pengunjung berserta pameran khas bersempena program ini.

Penjualan pelbagai juadah atau makanan berasaskan kampung seperti pisang yang dijadikan lepat dan lempeng serta ubi kayu yang dihidangkan bersama sambal bilis dan banyak lagi juadah juga tersedia.

Berlangsung dari 23, 24, 30 November dan 1 Disember, program dianjurkan ini menawarkan aktiviti sara diri, demonstrasi penyediaan makanan kampung, persembahan kebudayaan, produk kampung dan banyak lagi.

Untuk Sabtu iaitu 30 November ini, antara aktiviti menanti pengunjung termasuk sukaneka, pertandingan makan makanan kampung, boneka anak kampung, pertandingan bedil buluh, permainan tradisional, demonstrasi kraf serta masakan dan persembahan kebudayaan pada waktu siang.

Pada waktu malam pula pengunjung boleh melihat sendiri pameran di galeri Muzium Negara dan melihat persembahan Sewang Bah Bola menerusi program Muzium Night Trail.

Pada 1 Disember pula, aktiviti pertandingan sukaneka kampung, sketsa kampung, pelbagai aktiviti permainan tradisional boleh dicuba, memancing dan banyak lagi yang perlu dirasai sendiri keseronokannya oleh pengunjung.

Di samping itu juga, pengunjung juga boleh mengunjung Galeri Pameran yang memaparkan pelbagai tinggalan sejarah yang menarik.

Bagi anda yang merancang bercuti bersama keluarga atau inginkan momen indah bersama anak, berkunjunglah ke Muzium Negara. Maklumat lanjut, layari laman www.muziumnegara.gov.my atau www.jmm.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 10:11 AM