MENIKMATI panorama hijau hutan hujan tropika.
Oleh Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


AKTIVITI lasak terutama yang membabitkan ketinggian seperti ‘flying fox’ membolehkan peserta menempuh pengalaman meluncur di udara dengan tali keselamatan yang disangkut pada kabel.

Aktiviti sebegini sememangnya menguji adrenalina mereka yang ingin mencuba sesuatu lebih mencabar berikutan melakukannya pada ketinggian dan kelajuan bergantung pada kabel berkenaan.

Demikian dilakukan dua sahabat, Nurul Niza Zainal, 28 dan Suhainanie Baby Ayu Md Suib, 29, yang memilih untuk ‘terbang’ di Skytrex Sungai Congkak di Hutan Lipur Sungai Congkak, Hulu Langat, Selangor, bagi memenuhi cuti hujung minggu, baru-baru ini.

Istimewanya, pusat kegiatan ekstrem itu mempunyai lebih banyak elemen meluncur berbanding aktiviti sama di tempat lain, malah lokasinya dalam kawasan hutan hujan tropika hijau dan tenang serta tarikan Sungai Congkak yang mengalir di bawah laluan rintangan aktiviti mendorong dua wanita berkenaan teruja.

Menurut Nurul Niza, dia hanya tahu Sungai Congkak hanya untuk perkelahan hujung minggu dan cuti am termasuk berkhemah dan mandi-manda menikmati kesegaran air terjun sungai sebelum dimaklumkan seorang rakan bahawa kini hutan rekreasi yang popular di daerah Hulu Langat itu menawarkan sukan lasak berkonsepkan alam semula jadi.

“Saya terus ingin mencuba sebaik tahu mengenainya dan difahamkan ‘flying fox’ yang ditawarkan juga dikatakan sejauh 110 meter, tetapi membabitkan 25 halangan berbeza dan ia mengambil masa sejam setengah untuk melengkapkan keseluruhan halangan yang ada.

MELUNCUR di udara sambil melintasi sungai yang mengalir deras.

“Ingin merasai nikmat 'terbang' merentasi pokok hutan dan sungai, saya merancang menghabiskan cuti hujung minggu dengan melakukan aktiviti ini bersama beberapa rakan lain,” katanya.

Katanya, sebelum melakukan sebarang aktiviti dia bersama kumpulannya terdiri lima lelaki dan dua wanita diberi penerangan mengenai langkah menjaga keselamatan, malah setiap arahan mesti dipatuhi bagi mengelakkan sebarang kecelakaan.

“Kami meluncur dari pokok ke satu pokok yang turut dijadikan stesen pelepasan. Setiap stesen ini terdapat pelantar bagi memudahkan peserta meluncur menggunakan tali sebelum berpindah ke stesen seterusnya

“Tahap keselamatan yang tinggi supaya peserta lebih selesa dan yakin ketika menyertai cabaran yang disediakan membolehkan sesiapa saja melakukan aktiviti meluncur dengan tali dari kawasan tinggi sambil menikmati pemandangan indah termasuk merakam gambar.

“Selain meluncur, kami juga perlu melalui halangan lain yang agak mencabar seperti memanjat tangga, meniti kayu, meniti tali dan menggelungsur,” katanya.

Bagi Suhainanie Baby Ayu, dia menyifatkan pengalaman itu secara tidak langsung menguji tahap keberanian dan meningkatkan sifat keyakinan dirinya.

“Persekitaran di Hutan Lipur Sungai Congkak sangat menenangkan sehingga rasa penat dan tekanan terhadap pekerjaan serta masalah lain dapat dihilangkan. Saya berpeluang menikmati panorama hijau yang mengasyikkan dari pelantar.

“Dengan melakukan cabaran sebegini seronok, saya dapat melakukan menjejak denai dari ketinggian yang tak pernah dilalui. Pastinya di sini banyak perbezaannya iaitu pemandangan yang hijau serta sungai yang mengalir.

“Selain kekal sihat dengan melakukan aktiviti riadah sebagai budaya gaya hidup sihat, pada masa sama dapat meningkatkan kesedaran untuk mencintai alam semula jadi,” katanya.

MENITI kayu pada aras tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 11:58 AM