LALUAN kanopi di Sungai Sedim menggunakan struktur besi. FOTO Danial Saad
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


PERNAH memegang rekod laluan kanopi terpanjang di dunia untuk beberapa tahun sebelum ini menerusi laluan sepanjang 925 meter, Tree Top Walk atau jambatan kanopi di Sungai Sedim, Kulim, Kedah seharusnya menjadi lokasi mesti anda dikunjungi.

Pemandangan indah sepanjang meniti denai sebelum sampai ke pintu masuk turut membuatkan penulis tidak sabar meneroka Hutan Simpan Gunung Inas itu.

Menurut wakil Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Saini Saidin yang mengiringi penulis sepanjang lawatan ke pusat percutian popular itu, kawasan berkenaan menawarkan pelbagai keistimewaan.

“Tidak hanya mampu menarik pencinta sukan rekreasi, malah sesuai dikunjungi mereka yang datang bersama keluarga mahupun tarikan buat pelancong luar negara.

“Jadi orang Malaysia sendiri tidak perlu bersusah payah terbang ke luar negara bagi merasai pengalaman seperti ini kerana negara sendiri ada tarikan berkenaan.

“Lebih baik lagi, apabila penat menjelajah jambatan gantung dan merakam foto di situ, mereka boleh turun menyusuri denai serta mandi di jeram yang ada di hutan ini,” katanya.


JERAM di Sungai Sedim. FOTO Danial Saad

Bagaimanapun, kali pertama penulis sampai ke destinasi ini adalah untuk menghadiri acara kayak arus deras, tetapi tidak pula berkesempatan sampai ke jambatan gantung berkenaan.

Pengalaman menyusuri jambatan gantung kali terakhir pula seingat penulis ialah enam tahun lalu ketika ke Taman Negara Pahang. Rasa terbuai-buai meniti jambatan yang dihubungkan antara pokok bukanlah sesuatu menyeronokkan buat mereka yang gayat.

Berlainan buat peminat aktiviti lasak seperti penulis. Pemandangan hutan dari bawah sangat berbeza daripada pemandangan dari atas. Nyata pemandangan dari kawasan tinggi lebih indah dan mengasyikkan apabila bercerita mengenai panorama.

Mengenai perbezaan Tree Top Walk Sungai Sedim dengan jambatan gantung Taman Negara ialah pembinaannya lebih kompleks termasuk penggunaan struktur besi yang sudah ditempa berkali-kali dan melalui pelbagai sesi uji kaji dalam memastikan ketahanannya.

Menurut keterangan pegawai bertugas di situ, 14 bulan diambil dalam proses pembinaannya dan pemasangan semua struktur keluli yang berat keseluruhan mencecah 422,214 kilogram.


ADA had tertentu mengenai jumlah pengunjung dalam satu-satu stesen. FOTO Danial Saad

Jadi penulis mula yakin walaupun pada ketinggian 12 meter dari aras tanah antara ketinggian terendah di stesen terawal, sudah terasa gayat apabila ada ‘henjutan kecil’ setiap kali memijak lantai kanopi yang diperbuat daripada keluli logam tahan karat itu.

Makin jauh stesen yang pengunjung pergi, bermakna makin bertambah aras ketinggian jambatan berkenaan. Perlu diketahui kemuncak untuk ketinggian jambatan berkenaan ialah 26 meter iaitu trek yang melintas lubuk kawah.

Lubuk kawah ialah jeram atau ‘spot’ sungai paling dalam di Sungai Sedim. Daripada jambatan boleh berswafoto berlatarbelakangkan sungai mengalir selain pemandangan hutan simpan terbabit.

Lebih mencabar kali ini apabila kami melalui jambatan berkenaan ketika hujan dan lantai permukaan besi lebih licin berbanding biasa selain perlu berhati-hati. Mengenai jumlah orang yang boleh melalui dalam satu masa, sebenarnya jambatan atau laluan kanopi itu mempunyai had tertentu.

Dalam kumpulan ramai biasanya petugas pusat rekreasi itu akan mengehadkan lapan hingga 10 orang dewasa dalam satu masa atas faktor keselamatan. Bagi yang berminat boleh mengunjungi seawal jam 8.30 pagi dan sesi terakhir ialah jam 5.30 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 8:54 AM