MENYERUPAI Colmar Town di bahagian Timur Laut Alsace, Perancis.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


BAGI pembaca yang mengimpikan pengalaman seperti berada di perkampungan Eropah, rasanya boleh hidupkan enjin dan memandu terus ke Bukit Tinggi yang tidak jauh dari Bentong, Pahang.

Itu pengalaman dikongsi Nuruljannah Mahmud ketika berpeluang bercuti dan menginap di resort tanah tinggi kira-kira 55 kilometer dari Kuala Lumpur.

Menurut Nuruljannah, menginap di Colmar Tropicale Berjaya Hills semestinya membawa dia bagaikan berada di luar negara tanpa perlu menaiki pesawat berjam-jam lamanya.

“Kebetulan menginap di Colmar Tropical Berjaya Hills, reka bentuk bangunan hotel berkenaan unik persis perkampungan Perancis.

“Rasanya macam berada di negara yang asing, maklumlah bangunan di hotel ini seolah-olah kota lama di Eropah. Mereka yang pernah menonton cerita lama pastinya pernah melihat istana dan kubu kota, begitulah ‘wajah’ perkampungan di Colmar Tropicale Berjaya Hills.

“Tidak hairanlah mengapa destinasi ini menjadi tumpuan baik pelancong dalam mahupun luar negara yang mengambil kesempatan merakam setiap foto sebagai kenangan,” katanya.

Bukan itu saja, pengun­jung akan dihiburkan dengan pelbagai aktiviti dan persembahan menarik kerana terdapat slot pementasan untuk mereka.


CAT warna-warni menghiasi dinding dan tingkap.

Persembahan tarian Perancis umpamanya akan dipersembahkan kepada pengunjung mengikut jadual tertentu seperti Jumaat, Sabtu dan cuti umum sekitar jam 12 tengah hari, 3.30 petang, 7.30 malam dan 10 malam.

Selain perincian bangunan dan suasana sekitarnya direka mengikut perkampungan sebenar di Perancis, restoran di situ juga kebanyakannya menyajikan sajian negara ratu Marie Antoinette itu.

“Sesuai dengan ‘mood’ atas bukit yang berkabus dan sedikit dingin, kurang lengkap rasanya jika tidak mencuba kopi dan roti di sebuah kafe di sini iaitu La Boulangerie.

“Kalau ada yang berhajat untuk merasai hidangan tradisional Perancis, restoran La Cicogne mungkin boleh dicuba pengunjung.


PERINCIAN jambatan juga menggunakan seni bina konsep sama.

“Namun disebabkan konsep dan dalam kawasan resort, semestinya harga ditawarkan untuk menikmati sajian di sini sedikit tinggi berbanding restoran biasa anda kunjungi,” katanya.

Kata Nuruljannah untuk akses ke resort dan perkampungan Perancis itu, terdapat caj masuk dikenakan iaitu RM16 untuk dewasa sementara kanak-kanak usia 4 hingga 12 tahun RM9.

Jangan rasa kecewa kerana caj itu merangkumi taman lain yang terdapat sekitarnya seperti Japanese Village dan Botanical Garden dan Rabbit Park. Kelebihan untuk mereka yang menginap di hotel resort terbabit ialah bayaran masuk akan dikembalikan sebaik pulang nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 12:03 PM