BANGUNAN Bank Simpanan Nasional.
Oleh Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


Kedudukan Sungai Ujong yang tidak terlalu jauh dari Lembah Klang membuatkan daerah ini menjadi pilihan warga kota untuk memiliki kediaman peribadi.

Sungai Ujong adalah nama asal Seremban diambil sempena kewujudan sungai berdekatan, memiliki produk pelancongan tersendiri terutama warisan yang jarang diuar-uarkan.

Berikut antara lokasi dan struktur tinggalan bersejarah unik boleh diterokai pengunjung yang ingin mengenali jejak warisan tanah air tercinta.

1. Stesen Keretapi Seremban

Tersenarai antara stesen kereta api tertua di Tanah Melayu, Stesen Keretapi Seremban ini dibina sekitar 1904 hingga 1910 menggunakan kos RM26,000.

Menjadi pengangkutan utama ketika itu, pengendalian dan pengurusan kereta api kemudian diambil alih Pentadbiran Keretapi Tanah Melayu (kini Keretapi Tanah Melayu Berhad) pada 1948.

Struktur stesen kereta api ini masih mengekalkan binaan asal yang ringkas sentiasa menjadi tumpuan pelancong terutama mereka yang gemar mencari elemen warisan.


POKOK getah pertama di Negeri Sembilan.

2. Pokok getah pertama

Pokok getah pertama di Negeri Sembilan terletak di persekitaran Taman Tasik Seremban yang juga berdekatan Galeri Diraja Tuanku Jaafar.

Satu daripada biji getah yang dibawa pelopor industri getah Tanah Melayu, Sir Henry Nicholas Ridley, turut ditanam bandar ini selain pokok getah pertama di Kuala Kangsar yang ditanam pada 1877.

Berdasarkan kajian pasukan Majlis Perbandaran Seremban, pokok getah ini berusia 120 tahun dengan ukur lilit batang 4.5 meter dan ketinggian 25 meter.

3. Bangunan Bank Simpanan Nasional

Melihatkan ciri binaan unik dan istimewa ini membuktikan Bangunan Bank Simpanan Nasional memiliki sejarah tersendiri.

Terletak di Jalan Datuk Bandar Tunggal, pastinya bangunan bank ini menjadi faktor tarikan malah tidak keterlaluan disifatkan satu lokasi menarik untuk merakam gambar.

Sebelum bangunan ini berubah fungsi kepada institusi kewangan, dahulunya ia adalah pejabat Jabatan Mufti Negeri Sembilan pada 1951 sebelum dipindahkan ke lokasi berlainan pada 1961.


STESEN Keretapi Seremban.

4. Balai Polis Lama Seremban

Pasti ramai tidak menyangka deretan kedai di gerbang utama Sungei Ujong Walk di Jalan Yamtuan sebenarnya bangunan bersejarah, balai Polis lama Seremban.

Memiliki ciri seni bina British seperti kebanyakan tinggalan balai polis lama di bandar lain, pelancong pastinya tidak melepaskan peluang untuk menghayati nostalgia warisan ini.

Berdekatan Sungai Ujong Walk, pelancong turut berpeluang menghayati gaya kehidupan masyarakat setempat yang sederhana.


MASJID Jamek Seremban.

5. Masjid Jamek Seremban

Dibina pada 1900, Masjid Jamek Seremban antara masjid tertua di Negeri Sembilan memiliki ciri seni bina menyerupai bangunan yang ada di Melaka.

Sekiranya berpeluang bercuti ke Negeri Sembilan, persinggahan ke masjid bersejarah ini pastinya menjadi percutian lebih bermakna.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 8:56 AM