MUDAH simpan barang kecil dalam jaket untuk dibawa ke dalam pesawat.
Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@hmetro.com.my


KETIKA penulis sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Adisutjipto di Jogjakarta, Indonesia bersama seorang rakan tahun lalu, ada satu peristiwa yang memaksa kami berfikir secara cepat dan kreatif untuk ke hotel berhampiran pusat bandar.

Kami tiba agak lewat sekitar jam 10 malam waktu tempatan dan kebetulan pula teksi yang ditahan semuanya enggan berhenti manakala telefon pula tiada Internet selain hampir kehabisan bateri.

Selepas memerhati sekeliling, penulis ternampak seorang gadis penjual air buah di sebuah gerai dan ‘mentol’ dalam kepala tiba-tiba menyala.

Penulis hampiri gerai itu, beli air buah mangga dan mula berbual dengan gadis berkenaan. Skil berkomunikasi sebagai wartawan digunakan sebaik mungkin untuk membuat gadis itu selesa berbual.

Lantas tercetus beberapa idea kreatif yang sangat membantu ketika melancong:

1. Muat turun peta dalam aplikasi Google Maps supaya boleh digunakan tanpa sambungan Internet

Tapi pastikan ruang penyimpanan dalam telefon anda mencukupi.

2. Pakai jaket untuk perjalanan udara

Bukan apa, jaket memudahkan anda menyimpan banyak barang. Tak perlu galas beg lebih sebaliknya simpan saja barangan seperti telefon, kabel telefon, beg duit, kunci, kaca mata atau ‘power bank’ dalam jaket dan bila tiba di kaunter pemeriksaan, letakkan saja jaket anda. Jaket juga boleh dijadikan selimut atau bantal sementara di dalam pesawat.

3. Untuk pengembara Muslim, senaraikan terlebih dulu kedai makan halal di negara bukan Islam yang akan anda kunjungi

Langkah ini membantu terutama jika negara dilawati tidak mempunyai rakyat fasih berbahasa Inggeris. Sebelum berangkat, buat carian di Internet kedai makanan halal berhampiran hotel penginapan anda dan bila sampai waktunya, minta penjaga kaunter tulis dalam tulisan tempatan alamat kedai makan halal untuk diberikan kepada pemandu teksi atau ‘e-hailing.


GUNA topi mandi sebagai pelapik kasut atau selipar.

4. Jika tidak bertemu kedai makanan halal yang anda cari, perhatikan ciri rekaan grafik papan tanda dan hiasan luaran kedai

Ketika penulis berkunjung ke Shanghai beberapa tahun lalu, walaupun sudah menyenaraikan dahulu kedai makanan halal yang ingin ditujui, pemandu teksi tetap tersalah bawa ke kedai tidak halal. Tambah menyusahkan boleh dikatakan tiada langsung penduduk setempat tahu berbahasa Inggeris. Penulis kemudian menyusur ke beberapa premis berhampiran dan kemudian ternampak ada kedai makanan menggunakan tulisan Arab dan mempunyai rekaan grafik seakan-akan kubah. Ternyata ia adalah kedai makanan halal yang dicari.

5. Untuk yang menginginkan minuman sejuk tapi bilik hotel tiada peti sejuk, beli seplastik air batu dari kedai serbaneka berhampiran dan letakkan dalam singki serta letakkan minuman anda di dalamnya

Memang berguna idea ini terutama untuk mereka yang berjalan ke tempat beriklim panas.

6. Gulungkan baju yang dibawa sebelum dimasukkan dalam beg

Mungkin anda ingin berjalan agak lama di sesuatu tempat tapi enggan bawa beg besar. Cara ini membolehkan anda bawa lebih banyak pakaian untuk ‘disumbat’ dalam beg.

7. Letak kasut atau selipar dalam topi mandi sebelum disimpan dalam beg

Ia dapat mengelakkan debu daripada kasut atau selipar terkena pakaian yang disimpan bersama dalam beg.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 8:53 AM