PELBAGAI gaya dilakukan ketika membuat terjunan.
Oleh Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@hmetro.com.my

“Untuk mencapai kejayaan dalam apa jua bidang, anda perlu mampu bertolak-ansur dan menikmati risiko,” demikian petikan ayat wartawan, penulis buku dan usahawan terkenal, Steven Kotler dalam buku tulisannya berjudul ‘The Rise of Superman: Decoding the Science of Ultimate Human Performance.’

Agaknya ayat itulah pegangan atau mantera diamalkan 103 penerjun yang mengambil bahagian dalam Kuala Lumpur Tower International Jump Malaysia (KLTIJM) 2019, baru-baru ini.

Mana tidaknya, meskipun menyedari risiko tinggi aktiviti ini, rata-rata penerjun sedikit pun tidak kecut, malah terlihat santai dan seolah-olah berseronok menghayati saat melakukan terjunan. Sepertinya, tiada langsung sekelumit pun rasa gentar dalam jiwa masing-masing.

Penganjuran kali ini memasuki edisi ke-19 yang menawarkan peminat sukan terjunan BASE, iaitu akronim daripada empat kategori atau objek tetap yang menjadi pilihan melakukan terjunan iaitu ‘building’ (bangunan), ‘antenna’ (antena), ‘span’ (jambatan) dan ‘earth’ (tebing tinggi).

Untuk rekod, terdapat hanya dua menara di dunia yang menganjurkan acara terjunan BASE antarabangsa ini, iaitu Tallinn TV Tower Estonia dan Menara Kuala Lumpur (Menara KL), sekali gus meletakkan Malaysia dalam peta pelancongan antarabangsa sebagai destinasi pilihan acara sukan ekstrem.

Malah, Menara KL menjadi penanda aras kepada penganjuran acara terjunan BASE lain kerana tidak berkompromi dengan aspek keselamatan dan tugas teknikal yang diuruskan pakar.

Bukan boleh sesuka hati menyertai sukan ini, sebaliknya hanya mereka yang mempunyai lesen, kemahiran dan pengalaman sahaja dibenar melakukan lompatan dari Sky Deck mengambil kira risiko sukan itu yang amat tinggi.

Penerjun cuma mempunyai beberapa saat untuk menarik tali payung terjun sejurus ‘terbang’ dari landasan terjunan dan pada masa sama berharap kelajuan angin, payung terjun kembang sempurna serta paling penting, mendarat selamat.

Selain peserta negara ini acara kali ini turut disertai penerjun pelbagai negara luar antaranya Amerika Syarikat, Belanda, Perancis, Australia dan Jepun.

Bagi penerjun, Mohd Akmal Jamal, 34, mengikuti acara itu sebagai peserta sudah lama diimpikannya.

“Ketika saya masih bersekolah sekitar 2000, saya menyaksikan aksi penerjun BASE di Menara KL dan sejak itu menanam hasrat untuk terjun di sini (Menara KL).

“Saya baru setahun menyertai sukan ini dan amat bersyukur dapat turut sama menyertai KLTIJM 2019 sebagai penerjun,” ujarnya yang berpengalaman terjun di beberapa lokasi di seluruh negara sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara KL, Datuk Rozlan Mohamed menjelaskan, acara tahun ini agak istimewa apabila turut mempromosikan empat lokasi berasingan di seluruh negara untuk yang dijadikan sebahagian daripada siri acara terjunan BASE di Malaysia.

“Lokasi terbabit ialah Menara Alor Setar yang menganjurkan Jump @ Menara Alor Setar yang menawarkan terjunan dari ketinggian 105 meter pada 11 hingga 13 September lalu; Gua Damai International BASE Jump @ Gua Damai, Batu Caves pada 15 hingga 17 September (100 meter); Sibu International BASE Jumps @ Wisma Sanyan, Sibu pada 19 hingga 22 September (125 meter) dan acara penutup iaitu KLTIJM 2019 pada 26 hingga 29 September lalu (300 meter).

“Acara tahunan ini bertujuan menawarkan kepada penerjun BASE melakukan terjunan dari Menara Alor Setar, Gua Damai Batu Caves, Wisma Sanyan Sibu dan Menara Kuala Lumpur.

“Aktiviti ini akan meletakkan Malaysia pada peta pelancongan antarabangsa sebagai destinasi untuk aktiviti pelancongan sukan ekstrem dan ia juga membantu untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020 kepada pelancong tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 9:21 AM