AKTIVITI berbasikal bersama keluarga meredah ladang penyelidikan pertanian.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Pelancongan agro di Malaysia semakin mendapat tempat dalam kalangan pelancong dalam dan luar negara.

Ia berikutan sektor pertanian negara ini yang semakin berkembang pesat sehingga menawarkan pelbagai aktiviti seperti lawatan ke dusun buah-buahan, ladang ternakan, perikanan, pusat penyelidikan, rekreasi dan riadah.

Malah, kesedaran masyarakat mengenai kepentingan keselamatan makanan, makanan sihat dan organik dalam pertanian menjadikan konsep pelancongan sedemikian kian diminati.

Galakan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya turut membolehkan lebih banyak destinasi pelancongan agro dibangunkan.

Bagi memeriahkan industri pelancongan agro yang semakin digemari khususnya dalam kalangan warga kota, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) membangunkan tapak penginapan khas yang dikelilingi ladang produk penyelidikan berkaitan pertanian di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Serdang, Selangor.

Destinasi dikenali dengan nama Nafas Cube itu menyediakan kemudahan sesuai bagi mereka yang sukakan percutian santai yang singkat terutama pada hujung minggu, malah kedudukannya yang terletak dalam kawasan ladang kajian MARDI menjanjikan pemandangan penuh kehijauan sesuai buat pencinta alam semula jadi.

Pengurus Nafas Cube, Mohamad Sarif Safian berkata, lokasi percutian santai di pinggir ibu kota itu pada asalnya dibangunkan sebagai satu daripada tarikan baru Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) pada 2016 dan ia menggabungkan tiga elemen utama dalam pembinaannya iaitu kontena, culvert serta khemah.

“Satu trend yang sedang berkembang pada masa kini adalah minat orang ramai yang gemar keluar daripada kesibukan kota untuk menikmati alam semula jadi sambil melakukan aktiviti menarik yang jarang dicuba sebelum ini.

“Oleh itu, kami mengambil inisiatif menyediakan lokasi dan aktiviti riadah bagi warga kota bersantai hujung minggu yang bukan saja eksklusif, malah tenang dengan pemandangan menarik berlatarkan tasik berdekatan, pepohon hijau dan suasana yang nyaman.

“Kami turut menyediakan platform untuk mereka yang ingin memancing di tasik itu untuk meneroka pelbagai spesies ikan yang terdapat di dalamnya. Bagi kaki pancing juga tidak lagi perlu meninggalkan keluarga semata-mata mahu memenuhi hobi mereka kerana kami turut menyediakan kemudahan lain untuk seisi keluarga,” katanya.

Katanya, warga kota yang datang berkunjung juga boleh mencuba mengayuh basikal mengelilingi tasik, selain menikmati suasana kehijauan ladang penyelidikan memandangkan suasana yang redup dipenuhi pelbagai jenis pokok selain laluan yang selamat serta mesra kanak-kanak.

“Rata-rata ibu bapa juga semakin sedar akan kepentingan sektor pertanian dan mula mendedahkannya kepada anak-anak mereka dengan membawa ke pusat pelancongan agro.“

Kegiatan ini secara tidak langsung turut meningkatkan kesedaran warga kota mengenai kepentingan aktiviti bersama keluarga dan pada masa sama tidak mahu bercuti terlalu jauh dari ibu negara. Malah, mereka juga boleh memilih untuk mengadakan majlis keraian atau hari keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 8:31 AM