RAGAM kaki pancing. FOTO/NSTP
oleh Dr Izharuddin Shah Kamaruddin

Pensyarah Perikanan Rekreasi, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Anda pemancing yang bagaimana?

Sekiranya anda seorang pemancing yang suka memerhati gelagat pemancing lain, sudah pasti anda dapat mengenal pasti wujudnya golongan pemancing yang berbeza-beza dari segi cara, ragam, tingkah laku dan tujuan memancing.

Di sini disenaraikan beberapa golongan pemancing yang mungkin wujud. Kategori pemancing ini berdasarkan kajian 'psikologi pemancing' yang dijalankan di negara maju merujuk kajian Fedler dan Ditton (1986), Kyle dan rakan (2007), Arlinghaus dan rakan (2008). Kategori pemancing ini juga berdasarkan maklumat yang diberikan pemancing, motif atau tujuan mereka keluar memancing.

Berikut adalah kategori pemancing:

A. Berehat

Bagi mereka yang tergolong dalam kategori ini, tujuan utama mereka pergi memancing adalah semata-mata untuk berehat. Mereka tidak mahu memikirkan perkara lain, selain berehat.

B. Berseronok

Tujuan utama mereka memancing hanyalah untuk berseronok. Apa jua keadaan atau situasi memancing (di kolam, sungai, tasik, laut sama ada dapat ikan atau tidak) mereka pasti akan mendapat keseronokan. Berseronok boleh dikaitkan dengan hobi.

C. Bersama rakan

Terdapat juga pemancing yang mahu meluangkan masa bersama rakan mereka. Mungkin rakan yang dimaksudkan adalah rakan yang sudah lama tidak berjumpa, rakan tempat kerja, rakan karib, atau rakan istimewa. Mereka membuat temu janji dan menyediakan peralatan memancing, lalu menuju ke destinasi memancing.

D. Bersama keluarga

Ada pemancing yang mahu meluangkan masa bersama isteri dan anak-anak ketika memancing. Kesibukan seharian bekerja dan anak bersekolah menjadikan pemancing jarang dapat meluangkan masa bersama. Kebiasaannya mereka dari kategori ini akan memilih tempat memancing yang mesra keluarga, yang mempunyai kemudahan seperti tempat berkelah, taman permainan serta tandas awam.

E. Bersendirian

Pemancing yang tergolong dalam kategori ini adalah mereka yang mahu meluangkan masa bersendirian. Tujuan mereka memancing adalah bagi mendapatkan ketenangan, jauh daripada kehadiran orang lain. Mereka tidak mahu diganggu dan hanya ingin menghayati saat mereka bersendirian.

F. Menikmati alam sekitar

Kebiasaannya, mereka akan memilih kawasan yang jauh di pedalaman dan tenang dari hiruk-pikuk kesibukan kota. Mereka ingin menikmati keindahan alam sekitar seperti keindahan sungai, tasik, kehijauan tumbuhan, bunyian unggas serta gunung-ganang atau berada di tengah lautan seluas mata memandang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 8:28 AM