HAMPARAN hijau di Ladang Boh Sungai Palas.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


KEHIJAUAN saujana mata memandang memenuhi segenap panorama di ladang teh di Sungai Palas di tanah tinggi Cameron Highlands antara tarikan utama pengunjung ke destinasi berkenaan.

Seakan-akan permaidani hijau bercantum dengan banjaran Titiwangsa berkabus menjadikannya ‘prop’ sesuai untuk merakam momen menarik.

Selaku peminat foto, Nur Syuhada Ahmad Termizi, 22, menyifatkan jadual percutian bersama keluarga ke tanah tinggi berkenaan baru-baru ini antara pengalaman manis.

Kata Nur Syuhada, percutian bersama 14 ahli keluarga lain termasuk ibu bapa saudara dan sepupu melawat Cameron Highlands selama dua hari satu malam pastinya tidak lengkap tanpa kunjungan ke ladang berkenaan.

“Meskipun pernah melawat ladang teh lain, sebaik keluarga mengajak untuk ke ladang Sungai Palas itu saya tidak menolak kerana mahu nikmati pemandangan hijaunya.


LADANG strawberi turut dikunjungi kali ini.

“Sama seperti anak muda lain, saya pastinya ingin merakam foto menarik sepanjang percutian untuk dikongsi di media sosial bersama teman.

“Sebenarnya saya sukakan seni foto itu sendiri dan pantang lihat ada latar pemandangan cantik, akan rakam sebagai kenangan selain simpanan peribadi,” katanya.

Berkongsi perjalanan ke ladang berkenaan, Nur Syuhada mengakui jalan ke ladang berkenaan sempit dan antara cabarannya kenderaan tidak boleh berselisih.

“Dari jalan besar ke ladang tidak jauh cuma kesukarannya ialah laluan sempit yang hanya membenarkan satu kenderaan melaluinya.

Jadi memang kena berhati-hati dan toleransi antara satu sama lain.

“Kami habiskan masa sekitar 10 minit untuk sampai ke kawasan kilang dan kebetulan ketika itu jam sekitar 1.30 tengah hari, jadi kami manfaatkan sepenuhnya.


PERCUTIAN bersama keluarga menyeronokkan.

“Dari luar sudah terhidu bau daun teh belum diproses. Ia seperti bau inai dan sebaik berada dalam kilang itu, kami dapat lihat cara daun teh diproses.

“Bermula dengan pekerja bersihkan daun kemudian dilenyek sebelum dikeringkan menjadi serbuk teh.

“Bagaimanapun, kami hanya melihat proses itu menerusi cermin kaca yang disediakan. Sebarang rakaman gambar atau video tidak dibenarkan ketika itu,” katanya.

Menyentuh sama ada bayaran dikenakan, kata Nur Syuhada tiada caj untuk lawatan kilang dan ladang yang dikenakan.

“Masuk adalah percuma dan boleh berbelanja dengan membeli produk teh mahupun menikmati sajian di kafe ladang terbabit.

“Uniknya sajian teh di sini terutama teh tarik memang ‘kick’ dan aromanya memang lain macam. Maklumlah menikmati minuman teh sambil menyaksikan pemandangan ladang dan cuaca sekitar 15 hingga 16 darjah Celsius memang mengujakan,” katanya.


NUR Syuhada bersama taman hiasan di rumah tamu.

Saranan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tapah, Perak itu supaya pengunjung mengenakan pakaian sesuai selain berhati-hati ketika menyusuri ladang berkenaan.

Ini bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini terutama kawasan itu banyak tunggul tajam pokok teh yang dipangkas.

Dalam siri lawatan itu selain ladang, kata Nur Syuhada lokasi tarikan lain berhampiran boleh dikunjungi iaitu pasar malam Golden Hills dan kilang coklat.

“Kalau ingin dapatkan foto cantik, di Cameron Highlands banyak lokasi menarik termasuk taman hiasan rumah tamu di Kea Farm Guest House dan kilang coklat ada landskap atau ruang dekorasi yang unik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 9:25 AM