PUSAT komersial hasil perlombongan, daerah
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


KETIKA rakyat Malaysia menyambut Hari Kebangsaan ke-62 pada 31 Ogos lalu, jauh di Kuantan, Pahang masyarakatnya berduka apabila destinasi percutian yang mendapat jolokan El Dorado Timur terbabit dalam kebakaran besar membabitkan rumah dan bangunan kedai lama.

Destinasi ini dahulunya tarikan popular di daerah berkenaan apabila menjadi simbolik penting mengenai permulaannya sejarah moden Pahang menerusi penjajahan British di Malaya.

Bandar Sungai Lembing adalah bandar pertama di Semenanjung Tanah Melayu di bawah pentadbiran syarikat bijih British iaitu Pahang Corporation Limited di Pahang, kemudiannya beralih dua kali iaitu pada1915, Syarikat Pahang Consilolidated Company Limited (PCCL) dan Pahang Investment Public Limited Company (PIPLC) pada 1984.


KENA menaiki lokomotif.

Satu fakta tidak boleh dinafikan ialah dalam tempoh 100 tahun lombong ini mengeluarkan 13 juta tan metrik bijih timah kasar yang boleh menghasilkan 150,000 tan metrik konsentrat timah.

Hasil daripada kegiatan itu menjadikan Sungai Lembing pusat komersial sehinggakan panggung wayang pertama di Asia dan hospital pertama di Pahang juga dibina di sana.

Bagaimanapun harga bijih merosot sehinggakan PCCL terpaksa menghentikan operasi dan pekerja lombong beransur-ansur meninggalkan pekan serta berhijrah ke kawasan lain untuk kelangsungan hidup.

Namun bekas tinggalan lombong ini masih dapat dilihat di kawasan atas bukit tidak jauh daripada pekan tradisi Sungai Lembing yang terkesan dalam kebakaran baru-baru ini.


PENGUNJUNG di pintu masuk lombong berkenaan.

Lombong Bijih Timah Sungai Lembing:

Menurut Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Perbandaran Kuantan Norkamawati Kamal, keistimewaan lombong di lokasi sejarah itu pastinya reputasi terowong berkenaan yang terletak bawah tanah dan terdalam di dunia.

“Di sini terdapat 14 lombong tapi bijih timah dikatakan terbanyak dihasilkan di lombong paling dalam dan paling panjang iaitu Lombong Mayah.


PENGUNJUNG merasai pengalaman dalam lombong.

“Untuk pengembaraan jelajah ke dalam lombong ini juga satu pengalaman unik buat pengunjung apabila berpeluang menaiki kereta api gerabak mini atau lokomotif sejauh 80 meter. Susulannya, pengunjung perlu berjalan untuk meneliti pelbagai maklumat pada dinding terowong.

“Lombong ini terpanjang di dunia iaitu sehingga 355 kilometer dan kedalaman sehingga 700 meter,” katanya.

Malah lombong berkenaan turut memiliki dua lorong iaitu Lorong Sejuta dan Lorong Mayah yang masing-masing mempunyai kisah tersendiri.

Lorong Sejuta memiliki satu kisah membabitkan lokasi gua kecil menjadi tempat bagi 20 pelombong yang melakukan aktiviti secara haram disebabkan gaji mereka tertunggak.


MEMBERI sokongan kepada peserta cilik ketika laluan mendaki.

Sementara itu, keistimewaan Lorong Mayah ialah struktur lif menuju kedalaman 1,400 kaki iaitu paras paling dalam memberi gambaran cabaran dan risiko kerja-kerja pelombongan timah satu ketika dulu. Selain lombong, terdapat logam lain di kawasan sama termasuk kuprum, besi, zink, plumbum dan peratusan kecil, emas.

Pengunjung dikenakan bayaran RM15.90 untuk dewasa, RM7.95 (kanak-kanak) bagi pengunjung tempatan manakala RM31.80 dewasa dan kanak-kanak (RM15.90) bagi pelancong asing.

Pandangan penulis, sebagai tanda solidariti kepada mangsa kebakaran ini, seharusnya pengunjung tempatan terus memberi sokongan terhadap mereka dengan terus mengunjungi tarikan itu sebagai tanda sokongan memulihkan kembali pembangunan dan komuniti pekan warisan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 8:52 AM