DATARAN Merdeka. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


ESOK, genap 62 tahun Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan.

Sempena cuti hujung minggu yang agak panjang, Santai menyenaraikan beberapa lokasi tarikan bersejarah bagi menyemarakkan lagi rasa cinta dalam kalangan pembaca terhadap negara berdaulat ini.

1. Dataran Merdeka, Kuala Lumpur

Dulunya, ia dikenali sebagai Padang Kelab Selangor yang juga berfungsi sebagai padang kriket kelab berkenaan.

Berhampiran lokasi ini terletak bangunan bersejarah negara seperti bangunan Kelab Diraja Selangor, Bangunan Sultan Abdul Samad, Muzium Sejarah Kebangsaan dan Perpustakaan Peringatan dan kompleks Dayabumi.

Di padang yang sama, bendera Union Jack diturunkan dan bendera Malaya dinaikkan sekali gus menjadi saksi atas usaha serta semangat perpaduan antara kaum memperjuangkan kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos 1957.

2. Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur Struktur warisan yang masih lagi dipertahankan keaslian seni bina dan reka bentuknya sejak dibina pada 1893.

Sultan Abdul Samad yang memerintah Selangor pada ketika itu diberi penghargaan untuk mengabdikan namanya pada bangunan ini.

Pelan bangunan ini dihasilkan arkitek dari British, A C Norman bersama jurutera, C E Spooner.

Bangunan bercirikan seni bina Moorish dan Moghul berunsurkan Islam ini turut diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan dalam kategori Tapak Warisan oleh Jabatan Warisan Negara, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia di bawah Akta 645, pada 2007.

Sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan, bangunan yang terletak di tengah-tengah pusat ibu kota ini berfungsi sebagai Pusat Pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Pejabat Residen-General dan Pejabat Besar Pos.

Selepas merdeka, peranan bangunan ini berubah kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Mesyuarat Negeri dan Perbendaharaan Kerajaan.

3. Tugu Peringatan Negara, Kuala Lumpur

Simbol pengorbanan dan mengenang jasa perajurit tanah air dalam memartabatkan maruah negara, menjaga keamanan dan kemerdekaan negara ketika berdepan ancaman komunis.

Arca tembaga dihasilkan pengukir Austria, Felix de Weldon pada 6 Februari 1966 menampilkan tujuh ukiran manusia di atas batu asas berbentuk segi empat panjang.

Setiap patung ini melambangkan kepemimpinan, keberanian, pengorbanan, kekuatan, kesengsaraan, perpaduan dan kewaspadaan.

Menariknya, tugu setinggi 15 meter ini pernah dibom pengganas komunis, dipercayai Barisan Pembebasan Kebangsaan Malaya (MNLF) kira-kira jam 5 pagi, pada 26 Ogos 1975.

Tindakan ini memusnahkan satu patung besar dan dua kepala patung jatuh daripada kedudukan asal.

4. Bukit Kepong, Muar, Johor

Perjuangan hingga ke titisan darah terakhir! Peristiwa Balai Polis Bukit Kepong menjadi sejarah buruk negara memperlihatkan kejahatan dan keganasan komunis Parti Komunis Malaya pada 23 Februari 1950.

Serang hendap ke atas anggota keselamatan dan keluarga terdiri daripada wanita serta kanak-kanak di balai polis seawal jam 5.30 pagi membuktikan sikap pengecut komunis.

Seramai 14 anggota polis, empat pengawal kampung, tiga polis bantuan, isteri dan tiga anak anggota polis Abu Bakar Daud terbunuh dalam kejadian itu, manakala hanya 14 orang saja terselamat.

5. Rumah Merdeka, Alor Setar, Kedah

Tapak Rumah Merdeka yang terletak di Jalan Putera, Alor Setar ini dimiliki oleh Che Manjalara, bonda kepada Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj sebelum ia dihadiahkan kepada beliau.

Pada zaman pendudukan Jepun pada 1942, Tunku Abdul Rahman membina rumah papan ini dan dinamakan Rumah Merdeka atas nasihat rakan, Senu Abdul Rahman, Mohd Khir Johari serta Tan Cheng Lock.

Rumah Merdeka adalah saksi perjuangan politik Tunku Abdul Rahman apabila ia dijadikan lokasi merancang strategi bagi urusan kemerdekaan, Pilihanraya Umum 1955, 1959, 1964 dan 1969.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 11:49 AM