BERKHEMAH di pantai.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


HUJUNG minggu selalunya waktu penting bagi keluarga menghabiskan masa berkualiti bersama.

Berbanding beristirahat di rumah, sesekali anda boleh merancang dan melakukan aktiviti luar termasuk mendekatkan diri dengan alam semula jadi.

Malaysia mempunyai banyak lokasi menarik bagi melakukan aktiviti luar bersama ahli keluarga.

Namun kali ini, fokus tertumpu terhadap aktiviti berkelah dan mandi-manda di tepi sungai dan pantai.

Berikut, panduan yang mungkin dapat membantu pembaca merancang, memilih dan merealisasikan aktiviti ini.

1. Lokasi

Bagi menentukan pemilihan lokasi sama ada pantai, air terjun, sungai mahupun tasik rekreasi, sewajarnya anda memberi beberapa pilihan destinasi kepada ahli keluarga sebelum mendapat persetujuan bersama.

Apa gunanya sekiranya hanya anda seorang berasa seronok, sedangkan ahli keluarga lain berperasaan sebaliknya?

Pantai sering menjadi pilihan kerana ia lebih luas dan anda boleh memilih tempat yang sesuai untuk berkelah serta melakukan aktiviti lain.


BERKELAH antara aktiviti menyeronokkan bersama keluarga.

Air terjun sememangnya menyajikan pemandangan alam yang menakjubkan, tambahan pula ‘tangisan’ air mengalir dari kawasan bukit mahupun pergunungan kadang-kala menghasilkan fenomena pelangi akibat biasan cahaya dan air.

Namun selalunya air terjun ini terletak jauh ke dalam hutan.

Sungai juga tidak kurang hebatnya dan selalunya kebanyakan sungai rekreasi turut menyediakan fasiliti bagi pengunjung.

Terletak di pinggir hutan dan dikelilingi pokok, pastinya anda terhibur mendengar alunan muzik semula jadi terhasil daripada aliran air sungai, gemersik daunan serta unggas.

2. Makanan

Makanan adalah perkara penting perlu dititikberatkan ketika berkelah.

Sekiranya mempunyai masa terluang, anda boleh menyediakan makanan berat seperti nasi bersama lauk-pauk ringkas sebagai hidangan berat.

Selain itu, anda juga boleh membeli makanan di restoran makanan segera seperti ayam goreng sebagai alas perut atau snek ringan serta buahan.

Untuk lebih menarik, disarankan anda melakukan aktiviti barbeku bersama-sama di tempat berkelah pilihan sekeluarga.

Pastinya anak kecil teruja melakukan aktiviti bermain masak-masak bersama ibu bapa serta adik-beradiknya.

3. Pakaian

Bawa pakaian renang yang bersesuaian untuk semua ahli keluarga, begitu juga pakaian baru sebagai salinan selepas aktiviti mandi-manda.

4. Barang

Tidak sempurna sekiranya anda berkelah, namun tapi tidak membawa barangan penting seperti tikar, barang untuk aktiviti barbeku (arang, gril pembakar, mancis, kipas tangan), pelampung ataupun khemah (pilihan untuk merasai pengalaman baru) dan joran.

Selain itu, anda juga perlu membawa bersama plastik sampah bagi tujuan pembersihan di pengakhiran aktiviti nanti.

5. Pembersihan

Ini satu daripada aktiviti yang sering terlepas pandang kebanyakan orang selepas melakukan aktiviti berkelah.

Alam yang indah seharusnya dijaga dan dipelihara, usah dirosakkan gara-gara sikap lepas tangan dan tidak bertanggungjawab.

Sebelum pulang, anda sekeluarga dinasihatkan melakukan pembersihan termasuk mengutip dan mengumpulkan sampah seperti plastik makanan, kotak dan botol minuman ke dalam plastik sampah yang dibawa.

Sikap bertanggungjawab ini mampu memberi kesedaran dan contoh buat anak kecil supaya bersama-sama melindungi alam yang menjadi warisan negara pada masa akan datang.

Selalunya di kawasan tumpuan pelancong, terdapat kemudahan tong sampah bagi memudahkan pengunjung membuang sampah selepas berkelah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 11:17 AM