WAKIL media yang menyertai lawatan bersama Tourism Malaysia di Eagle Ranch Resort di Port Dickson.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


PERKAMPUNGAN koboi dan bagaikan kembali ke zaman kanak-kanak antara pengalaman paling bermakna sebaik menjejakkan kaki ke Eagle Ranch Resort di Port Dickson, Negeri Sembilan ini.

Kedatangan rombongan media anjuran Tourism Malaysia ke resort berkonsepkan ‘ladang’ yang menggabungkan elemen Malaysia dan Wild Wild West ini disambut dengan senyuman oleh pihak pengurusan yang lengkap beruniform ala koboi.

Rona neutral dan suasana semula jadinya nyata memberikan ketenangan serta kedamaian apatah lagi jauh daripada pembangunan dan kesibukan jalan raya.

Sertai pelbagai sukan lasak dan ‘outdoor’ yang menjanjikan pengalaman berbeza.

Paling unik, pastinya permainan ‘37 elements Rope Course’ yang menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai jumlah elemen terbanyak bagi ‘Rope Course.’

Pengarah Urusannya, Tee Wah Kuang berkata destinasi berkeluasan 32 ekar ini bermula dengan minatnya terhadap filem koboi dan konsep ‘Wild Wild West’ sejak zaman kanak-kanak.

“Kawasan ini jauh berbeza kerana ia menyuntik tema dan konsep yang berlainan bagi menyerlahkan tarikan baharu di Port Dickson.

“Setakat ini daripada keluasan sedia ada, hanya 16 ekar tanah dibangunkan bagi kemudahan penginapan, aktiviti ‘outdoor’ dan program pembinaan pasukan.

“Selebihnya kita sedang merangka pelbagai aktiviti dan program yang bertepatan dengan konsep ‘ranch’ (ladang) ini.

“Ia sebenarnya menjadi pilihan menyeronokkan buat individu yang menggemari sukan lasak kerana pelbagai aktiviti luar menarik disediakan.

“Kemudahan ini bukan hanya tertumpu pada aktiviti di darat tapi juga air kerana lokasi

resort ini hanya 300 meter dari perairan Selat Melaka,” katanya.

Lebih membanggakan, program pembinaan pasukan dan sukan lasak disediakan menggunakan jurulatih luar yang profesional.

Ini kerana ia satu daripada usaha memastikan program disediakan dikawal selia fasilitator yang pakar, selain mempromosikan kerjaya dan industri berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 8:41 AM