JAYAKAN Festival Pertengahan Musim Luruh dengan cara istimewa.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


SEMPENA meraikan Festival Pertengahan Musim Luruh, Resort World Genting menganjurkan majlis minum teh bertemakan ‘Tea Party on the Moon’ hingga 16 September nanti.

Tidak terhad pada sajian kuih bulan, pelbagai aktiviti permainan turut mewarnai kemeriahan festival berkenaan. Ini termasuk persembahan animasi terbaru, Moondance di pentas SkySymphony, SkyAvenue.

Ketua Genting Studios, Daniel Regis Brown berkata, pasukan Genting Studios di Los Angeles dan Kuala Lumpur mengambil masa lebih empat bulan untuk menghasilkan persembahan Moondance.

“Moondance adalah persembahan animasi CG ketiga dihasilkan Genting Studios selepas memperkenalkan Highland Heroes.

“Ia diarahkan Guy Vasilovich, dihasilkan oleh saya bersama Steven Lim Tze Siang dan mendapat sentuhan penggubah terkenal pemenang Anugerah Emmy, Gigi Meroni.

“Dalam persembahan ini, maskot Highland Heroes akan bertemu rakan baru dan belajar beberapa jenis tarian baru.

“Ia adalah satu sambutan festival sebenar dan kami teruja untuk melihat reaksi tetamu terhadap persembahan pengembaraan berkualiti tinggi yang ditayangkan,” katanya.

Menariknya, lokasi majlis minum teh itu bakal ditransformasikan menjadi alam semesta dengan penggunaan lampu neon berwarna-warni bersama elemen seperti arnab, kuih bulan dan bintang yang turut menjadi latar persembahan Moondance.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Leisure dan Hospitalitinya, Datuk Edward Holloway berkata, pihaknya berusaha untuk menjayakan festival berkenaan dengan cara paling istimewa.

“Seluruh kawasan Resort World Genting memiliki pemandangan jelas untuk melihat bulan. Ia menjadikannya suasana paling sempurna untuk meraikan Festival Pertengahan Musim Luruh.

“Pengunjung yang ingin menikmati kuih bulan enak turut dapat berseronok dengan tarikan permainan taman tema.

“Tahun ini, kami teruja kerana dapat membawa pengunjung hingga ke ‘bulan’ dengan interpretasi visual cerita dongeng kuih bulan dan kelibat arnab bulan di sekitar resort,” katanya dalam satu kenyataan.

Persembahan kemuncak akan diadakan di pentas Times Square. Perarakan dan Persembahan Pentas Arnab akan berlangsung empat kali sehari (11 pagi, 1 petang, 4 petang dan 7 malam) pada tarikh terpilih antara 10 Ogos hingga 16 September 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 11:32 AM