RESORT pilihan bagi mereka ingin menikmati keindahan alam sekeliling.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


RESORT, hotel, rumah tamu, asrama mahupun kapsul antara pilihan penginapan ditawarkan bagi memenuhi peruntukan bajet pelancong.

Selepas menetapkan destinasi pelancongan, mengenal pasti tarikan dan kemudahan pengangkutan bakal digunakan, tempat penginapan selesa adalah langkah seterusnya bagi memastikan percutian dirancang berjalan lancar.

Seiring dengan perkembangan teknologi masa kini dengan pengenalan pelbagai aplikasi inovasi seperti Trivago, Booking.Com, Agoda dan sebagainya, pilihan tempat penginapan menjadi lebih mudah.

Malah, menjadi kelebihan buat si pengembara untuk mendapatkan kemudahan tempat tidur yang lebih selesa pada harga promosi.

Namun begitu, pengembara perlu mengambil langkah berjaga-jaga dalam memilih penginapan yang sesuai dengan cita rasa mahupun fasiliti diinginkan.

Berikut antara panduan yang mampu membantu anda menentukan pilihan tempat penginapan yang memenuhi kehendak peribadi:

1. Lokasi

Faktor ini penting bagi memudahkan dan melancarkan pergerakan serta perjalanan anda dari satu lokasi ke destinasi seterusnya.

Sekiranya jiwa anda lebih tertarik dengan kemeriahan ibu kota, sewajarnya memilih penginapan di tengah bandar.

Ini kerana anda boleh mengunjungi tarikan berdekatan dengan hanya berjalan kaki seperti warga tempatan.

Seandainya anda mendambakan ketenangan dan ingin merehatkan minda, tidak salah sekiranya memilih penginapan yang agak sunyi dan dikelilingi alam semula jadi.

Namun penting untuk anda memastikan bahawa lokasi penginapan ini, tidak terlalu jauh dengan kemudahan asas seperti kedai serba guna ataupun restoran bagi kesenangan anda sekiranya terdesak memerlukan barangan lain.

Bagi memastikan pilihan anda tepat, disarankan anda menggunakan aplikasi Google Map untuk melihat lokasi penginapan.

Anda juga dinasihatkan mengenalpasti jarak tarikan pelancongan disenaraikan menggunakan aplikasi yang sama. Jadi, melalui cara ini anda dapat menjimatkan masa dan kos pengangkutan.

2. Jenis penginapan

Terdapat pelbagai jenis penginapan ditawarkan pada masa kini, pilihan bergantung kepada saiz percutian, bajet dan kemudahan.

Bagi pengembara solo, pilihan jenis penginapan tidak terhad daripada resort hingga kapsul selagi ia tidak melebihi bajet ditetapkan.

Berbeza situasi untuk percutian membabitkan keluarga, semestinya penginapan jenis apartmen, hotel dan rumah tamu menjadi pilihan.

Ini kerana percutian dirancang berasaskan idea menghabiskan masa berkualiti bersama, jadi pasti lebih menyeronokkan apabila satu keluarga berkumpul di ruang sama sambil berbual dan bergelak ketawa.

3. Kemudahan penginapan

Tempat penginapan selesa, harga berpatutan bersama sarapan, kemudahan WiFi, ruang parkir, dobi dan tawaran pakej pelancongan pastinya menjadi bonus buat pengembara.

Kebanyakan tempat penginapan menitikberatkan servis seperti ini kerana ia antara faktor penting untuk menarik perhatian pelancong.

Kelebihan ini juga dapat memudahkan perjalanan anda serta menjimatkan masa daripada memikirkan soal remeh ketika bercuti.

4. Ulasan tetamu terdahulu

Ini adalah tip penting untuk memastikan penginapan yang dipilih seperti yang digembar-gemburkan pihak pengurusan.

Ulasan tetamu terdahulu mampu memberi gambaran jelas mengenai servis, kemudahan, kebersihan dan lokasi strategik tempat penginapan berkenaan.

Jadi, anda disarankan untuk memperuntukkan sedikit masa membaca ulasan bagi mengelakkan kerumitan di kemudian hari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 11:31 AM