BUKIT Ampang sajikan pemandangan malam yang menarik.

SATU lokasi istimewa untuk menyaksikan keindahan Kuala Lumpur secara menyeluruh, pastinya ramai mengaitkannya dengan Bukit Ampang, Selangor.

Tidak perlu bayaran mahal mahupun menikmati hidangan eksklusif di tingkat tertinggi bangunan semata-mata mendapatkan pengalaman yang sama.

Kelebihan ditawarkan Bukit Ampang sudah menjadi satu bonus kepada pengunjung untuk bersama-sama menyaksikan keistimewaan bandaraya Kuala Lumpur dari sisi berbeza.

Ini turut membuatkan destinasi tarikan ini jarang sekali sunyi tanpa pengunjung.

Terletak kira-kira 15 kilometer dari ibu kota Kuala Lumpur, Bukit Ampang selalunya menjadi tumpuan ramai pada malam hujung minggu.

Ini kerana ramai pengunjung ingin memanfaatkan masa berkualiti bersama keluarga dan teman mereka.

Kunjungan ke Bukit Ampang sangat berbaloi apabila pengunjung dapat menyaksikan matahari terbenam yang berlatarbelakangkan struktur binaan popular negara termasuk Menara Berkembar Kuala Lumpur dan Menara Kuala Lumpur.

Tidak salah andainya memperuntukkan lebih masa berada di bukit berkenaan kerana anda juga berpeluang menikmati pemandangan pada waktu malam yang indah diterangi kerdipan lampu di kota raya.

Di samping menghayati kedamaian dan ketenangan malam, pengalaman anda menjadi lebih menyeronokkan apabila turut menikmati juadah ringan yang dijual di persekitaran kawasan berkenaan.

Menariknya, populariti lokasi ini bukan sahaja menjadi sebutan warga tempatan, ia turut mencuri tumpuan pelancong asing yang mahukan kelainan sepanjang pengembaraan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 11:17 AM