BANGUNAN bersejarah dipengaruhi seni bina Islam dari India dan Asia Barat.FOTO: Saifulizan Tamadi
Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@hmetro.com.my


BAGI yang pernah menonton filem Pontianak Harum Sundal Malam pasti masih ingat babak awal di sebuah istana, sejurus sebelum watak Meriam yang dilakonkan Maya Karin dianugerahkan gelaran Primadona oleh Sultan (lakonan Azwan Ali).

Babak itu dirakam di Istana Bandar di Kuala Langat, Selangor. Istana ini pernah menjadi pusat pemerintahan Kerajaan Selangor, lebih 100 tahun lalu.

Istana Bandar dibina Sultan Ala’eddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Musa iaitu Sultan Selangor kelima selepas kemangkatan nenda baginda, Sultan Abdul Samad ibni Almarhum Raja Abdullah pada 1898.

Difahamkan, Sultan Ala’eddin Suleiman Shah membiayai sendiri pembinaan istana ini pada 1899 di atas tanah seluas lima hektar dan mula didiami keluarga diraja pada 1905 sehinggalah kemangkatan baginda pada 1938. Malah, seni bina istana berkenaan juga dikatakan hasil idea baginda sendiri.

Seni bina Islam dari India dan Asia Barat dapat dilihat dan diterjemahkan terutama dari segi pahat dan ukiran yang ada pada tingkap dan pintu.

Struktur bangunan istana ini hampir keseluruhannya diperbuat daripada batu bata dan motar kapur manakala tangga dan pintu diperbuat daripada kayu cengal.

Lantai tingkat diperbuat daripada kayu manakala lantai tingkat bawah pula daripada konkrit.

Menurut pembantu muzium di Muzium Insitu Jugra, Mohd Jangi Zaimin, istana berkenaan juga menampilkan unsur hiasan yang dipengaruhi China dan Eropah.


PINTU gerbang Istana Bandar.

“Contohnya dinding istana yang menampilkan ukiran ikan mengikut pengaruh China manakala pengaruh kolonial jelas di lihat pada pintu gerbang istana.

“Bumbung istana pula dipengaruhi seni bina Aceh dengan penggunaan bumbung limas. Sultan Ala’eddin Suleiman Shah amat menggemari air. Di dalam kawasan istana juga ada beberapa kolam mandi.

“Pada zaman dahulu, dayang istana akan mengisi air ke dalam kolam berkenaan untuk kegunaan baginda dan juga kerabat istana.

“Sultan Ala’eddin Suleiman Shah seorang yang alim dan banyak memberi sumbangan dalam perkembangan Islam sepanjang pemerintahannya.

“Baginda juga memberi syarahan agama dan menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Ala’eddin yang dibina berdekatan istana.

“Dikatakan, baginda pernah menitahkan penduduk di kawasan sekitar istana ini tidak boleh ‘ponteng’ solat Jumaat dan jika didapati bersalah, mereka didenda 50 sen, satu jumlah yang besar dan mungkin bernilai ratusan ringgit pada masa sekarang.

“Antara cerita paling terkenal di istana ini ialah apabila baginda sultan sendiri pernah tidak dapat hadir untuk solat Jumaat dan bendahara yang ditugaskan mencatat nama, menghantar surat meminta baginda membayar denda.

“Sultan Ala’eddin Suleiman Shah juga amat sukakan kanak-kanak. Baginda membenarkan kanak-kanak untuk berada di mana-mana tempat pada setiap masa dalam istana ini termasuk di Balairong Seri.


MOHD Jangi memberi penerangan kepada peserta rombongan.

“Istana Bandar ditinggalkan selepas kemangkatan baginda dan kerja membaik pulih istana hanya dilakukan pada penghujung 1980-an.

“Selepas kerja baik pulih dilakukan pada 1990, istana ini dijadikan Pusat Kraftangan Daerah sebelum menjadi pusat sementara tahfiz selama beberapa tahun.

“Kini, istana ini diletakkan di bawah pentadbiran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat),” katanya kepada rombongan media dan pemandu pelancong yang melawat istana berkenaan, minggu lalu.

Lawatan itu adalah sebahagian daripada program untuk memperkenalkan pakej lawatan Jejak Warisan Diraja Selangor (Selangor Royal Heritage Trail) anjuran Tourism Selangor yang diadakan dua hari satu malam bermula September ini.

Ia sebahagian daripada usaha mempromosikan kekayaan sejarah dan warisan diraja di Selangor merentasi tiga daerah iaitu Kuala Selangor, Kuala Langat dan Klang.

Exco Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, program itu diharap dapat menjadi pemangkin bagi industri pelancongan di Selangor.

“Kita harap Jejak Warisan Diraja Selangor ini dapat menarik agensi pelancongan untuk sama-sama mempromosikan warisan kesultanan Selangor dengan memperkenalkan pakej menarik dan bersesuaian dengan produk yang ditawarkan,” katanya pada majlis pelancaran program itu.

Selain Istana Bandar, rombongan dibawa melawat Makam Sultan Abdul Samad, Istana Alam Shah dan Bukit Malawati.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Produk dan Perniagaan Tourism Selangor, Fadhirul Anuar Salleh berkata, pakej Jejak Warisan Diraja Selangor agak istimewa apabila membuka peluang kepada pelancong untuk melawat Istana Alam Shah di Klang.

“Tourism Selangor ingin mencipta kenangan baharu supaya pelancong yang mengambil pakej ini merasai pengalaman unik yang belum pernah dialami.


GALERI automotif Sultan Selangor.

“Selain melawat pelbagai seksyen yang ada dalam istana antaranya pejabat sultan dan Balairong Seri, pelancong dibawa melawat galeri automotif yang menempatkan koleksi kereta dan motosikal milik Sultan Selangor yang juga di kawasan istana.

“Peserta pakej juga dibawa melawat galeri bola sepak yang menempatkan pelbagai koleksi berkaitan sukan nombor satu negara itu antaranya jersi milik pemain ternama antaranya pemain dari Brazil, Ronaldo dan Neymar serta pemain Argentina, Lionel Messi,” katanya.

Untuk rekod, Selangor mencatatkan bilangan pelancong berjumlah 7.23 juta orang tahun lalu yang mana hampir separuh terdiri daripada warga asing terutama dari Eropah, China dan Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 6:01 AM