MAHADI (berbaju biru putih) memberi penjelasan mengenai artifak di Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor.
Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@hmetro.com.my


BERDIRI bulu roma penulis sebaik mendengar cerita berkenaan Meriam Penggawa di Makam Tiga Sultan di Bukit Malawati, Kuala Selangor, Selangor yang dikatakan pernah meletup sendiri pada 1961 dan 1978.

Malah, terdapat cerita mengatakan meriam yang sentiasa dibalut dengan kain kuning itu sering meletup sendiri setiap kali pertabalan Sultan Selangor yang baharu. Itu antara kisah misteri yang terdapat di Bukit Malawati.

“Ada juga yang mengatakan terdapat batu delima di dalam meriam ini. Mengikut ceritanya, meriam ini ditemui dalam keadaan tenggelam timbul seolah-olah orang sedang berenang di Sungai Buluh.

“Makam Tiga Sultan pula adalah tempat bersemadinya tiga sultan Selangor terawal iaitu Sultan Salahuddin (1756-1778), Sultan Ibrahim (1788-1826) dan Sultan Muhammad (1826-1857),” demikian penerangan diberikan pembantu Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor, Mahadi Baharun.

Meriam dan kawasan pemakaman diraja itu bukanlah satu-satunya ‘produk’ menarik di Bukit Malawati. Banyak lagi kesan tinggalan sejarah yang unik dan amat berbaloi untuk dilawati di kawasan itu contohnya Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor sendiri.

“Mengikut sejarah, Bukit Malawati pernah ditakluki Belanda daripada tangan Sultan Ibrahim pada Julai 1784. Setahun kemudian iaitu pada 28 Januari 1785, Sultan Ibrahim dengan bantuan adindanya, Datuk Penggawa Permatang Mahabijaya (Penggawa Tua) dan Bendahara Abd Majid dari Pahang, menghalau Belanda dalam tempoh satu malam sahaja.

“Serangan bermula selepas waktu Isyak itu berjaya menawan bukit ini ketika fajar Subuh,” kata Mahadi pada taklimat ketika membawa rombongan media dan pemandu pelancong melawat Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor yang semuanya mempunyai tujuh bahagian.

Sebaik melangkah keluar, ratusan meriam tersusun rapi di kawasan berhampiran.

“Pihak Belanda membawa masuk banyak meriam bagi menambah meriam sedia ada yang digunakan penduduk asal bagi mengukuhkan kawasan ini,” kata Mahadi.

Berhampiran muzium itu juga terletak rumah api yang dibina pada 1902 dan siap pada 1905 sebelum mula beroperasi dua tahun kemudian.

Menariknya, rumah api itu masih berfungsi sebagai panduan perjalanan kapal laut di Selat Melaka sehingga hari ini dan diuruskan Jabatan Laut Malaysia (JLM) Selangor.

Di bukit ini juga terdapat Busut Malawati yang dipercayai menjadi tempat istirahat sultan. Nama Malawati juga dipercayai diambil daripada busut ini.

“Mengikut bahasa Sanskrit, ‘mala’ bermaksud kotor manakala ‘wati’ pula bersih dengan flora dan fauna,” jelas Mahadi.

Tidak jauh dari situ, terletak Batu Hampar yang asalnya batu tambatan bahtera di Pengkalan Batu Buruk.

Kata Mahadi, ia dibawa ke pintu masuk Kota Malawati sebagai tempat bermain dam dan congkak oleh Nakhoda Omar atas arahan Sultan Ibrahim.

Bukit Malawati juga menempatkan Perigi Beracun yang pernah dijadikan tempat penyeksaan kepada penderhaka. Difahamkan, air perigi berkenaan terkandung pelbagai jenis racun dan miang rebung.

Penderhaka dikatakan direndam dalam air separas bahu dalam perigi itu sehingga mati.

“Bagaimanapun, perigi yang ada sekarang dibina semula pada 1985 selepas perigi asal yang dipercayai terletak di hadapan pokok besar berdekatan tempat letak kereta Muzium Permainan, dikambus pada pertengahan 1977,” kata Mahadi.

Ada banyak lagi tempat menarik yang boleh dikunjungi di bukit ini antaranya Tangga Seratus iaitu tangga dibina untuk mendaki Bukit Selangor menuju terus ke pintu Malawati dari Pekan Kuala Selangor.

Kawasan bukit ini juga sesuai dijadikan tempat beriadah dan berehat. Pengunjung juga boleh ‘bermesra’ dengan ratusan lotong jinak.

Beri saja kacang panjang atau makanan ringan lain untuk bergambar dengan haiwan jinak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 11:23 AM