MUHAMMAD Bakhtiar (tiga dari kiri) dan Koh (kiri) ketika majlis pelancaran Pesta Durian Musang King.
Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@hmetro.com.my


PESTA Durian Musang King menawarkan pengunjung menikmati durian daripada jenis paling popular itu di hadapan Menara Berkembar Petronas (KLCC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Lebih menarik, durian yang dihidangkan secara bufet itu didatangkan khas dari Raub, Pahang.

Dianjurkan Le Apple Boutique @ KLCC, ia hotel pertama di Malaysia yang menawarkan keunikan itu kepada pengunjung.

“Jarang sekali kita dengar durian dan hotel diperkatakan dalam satu ayat. Ini satu berita baik untuk pencinta durian,” seloroh Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Muhammad Bakhtiar Wan Chik dalam ucapannya ketika menjadi tetamu kehormat pada majlis pelancaran pesta berkenaan, minggu lalu.

Di Malaysia, pelancongan adalah sektor paling cepat berkembang. Menerusi ‘pelancongan durian,’ dijangka berlaku pertambahan pelancong dari China, Macau, Singapura dan Australia.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Apple, Datuk Seri Koh Yock Heng berkata, pihaknya mengambil inisiatif membantu mempromosikan durian yang boleh disifatkan buah paling popular di Malaysia menerusi pesta berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 11:19 AM