Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


SESIAPA pernah menonton filem Tokyo Drift pasti akan ingat pada babak perlumbaan kereta di parkir bertingkat membabitkan watak utama, Sean dengan raja drift Tokyo, Brian Tee.

Mana tidaknya, pada mata umum visual kereta sport dipadankan dengan kelajuan, bunyi deruman dan detik ia melepasi setiap halangan terutama selekoh panjang sesuatu yang mengujakan.

Namun di sebalik beranggapan pemandu drift ini berani menekan pedal minyak selain mahir mengawal stereng bagi memastikan kenderaan tidak terbabas, sebenarnya ia bagus untuk membina keyakinan diri seseorang dalam trek.

Bagi mereka yang mahu merangsang adrenalina dengan pengalaman pemanduan teknikal berkenaan boleh mengunjungi Blastacars Malaysia di Sungai Wang Mall, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Baru-baru ini, penulis turut berpeluang merasai pengalaman memandu drift yang terletak di tingkat lima pusat beli-belah ternama itu.

Pada awalnya kelihatan trek drift berkenaan tidak ubah seperti trek yang biasa dilihat dalam mana-mana sukan permotoran dan perbezaannya ialah ia dalam bangunan.


MARSHAL memeriksa pemakaian tali pinggang keselamatan pengunjung.

Namun sebaik merasai sendiri trek berkenaan selain dibantu pengasas pusat rekreasi permotoran tertutup itu, John Wong, barulah penulis memahami rekaan trek drift lebih mencabar dan banyak selekoh selain laluan yang berliku bagi menguji kemahiran kawalan kenderaan mereka.

Keunikan trek Blastacars Malaysia menurut Wong, trek itu diperakui terbaik oleh komuniti drift antarabangsa apabila memiliki lebih banyak rintangan atau selekoh.

“Trek ini satu-satunya trek drift di Asia dan salah satu trek terdapat di dunia selain Hamilton dan Auckland di New Zealand. Meskipun ramai tertarik untuk bangunkan pusat rekreasi permotoran seperti ini, standard ketat membabitkan operator dikenakan operator asalnya.

“Jadi ini satu sumbangan kami terhadap negara iaitu dapat menawarkan produk pelancongan bertaraf antarabangsa terutama kepada komuniti yang meminati sukan drift dari serata dunia.


PELBAGAI warna menarik kenderaan drift

“Mereka yang pernah mengunjungi dua trek lain pasti menyedari trek Blastacar Malaysia paling mencabar apabila menawarkan 10 halangan atau selekoh teknikal selain trek lebih kompak berbanding enam selekoh di trek negara asalnya.

“Justeru impak diterima, kami bukan saja popular dalam kalangan pemandu drif pro tempatan seperti Abu Zhar dan Melvin tetapi pernah dikunjungi pemandu drift luar.

“Berkenaan capaian pengunjung kami terima ketika ini termasuk sejauh Eropah, Australia, Hong Kong mahupun Singapura dan Brunei,” katanya.

Bagi pemandu profesional, tambah John, biasanya mereka mampu melengkapkan trek 200 meter itu dalam tempoh masa sekitar 20 hingga 30 saat dan pelbagai format permainan boleh dirancang untuk sukan drift terbabit.

Merujuk kepada risiko pengunjung menggunakan fasiliti berkenaan, anda tidak perlu bimbang kerana berbanding sukan rekreasi lain, aktiviti ini jauh lebih selamat.


SIAP untuk memulakan pemanduan

Meskipun trek ini lebih teknikal dan mencabar, ia masih menjadi sukan rekreasi selamat. Kelajuan spesifikasi sebenar bagi kelajuan tertinggi kereta drift ini ialah sekitar 40 kilometer sejam.

Cumanya pemandu akan rasa laju kerana selain trek gelap, siling trek yang rendah memberi ilusi optik kepada mereka berbanding memandu di jalan sebenar.

Namun tidak pula boleh perkecilkan kesan impak pengunjung yang sudah biasa datang ke sini, mereka boleh menjadi pemandu drift kerana format pemanduan dalam trek di sini hampir sama iaitu 80 peratus dengan pemanduan drift yang sebenar.

Kebaikannya seperti penulis rasa sendiri ialah tidak terdedah kepada kecederaan tinggi dan kos lebih rendah untuk menikmati pengalaman sebagai pemandu drift.

Pengunjung boleh mengunjungi pusat rekreasi terbabit bermula seawal jam 10 pagi sehingga 12 malam setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 10:33 AM