BERAKSI seperti penerjun boleh dilakukan pengunjung.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


PULAU PINANG mempunyai banyak tinggalan sejarah dan boleh dilihat menerusi seni bina bangunan yang ada atau tinggalan kubu lama. Bagi penggemar fotografi, destinasi terutama Padang Kota menempatkan Fort Cornwallis antara bukti tinggalan sejarah masih utuh menerusi deretan meriam menghadap laut.

Tidak hanya tertumpu kepada tarikan lama yang masih terpelihara, kehadiran produk pelancongan baru tidak boleh diketepikan dalam mengetengahkan elemen sejarah.

Menerusi elemen visual lebih mengujakan iaitu teknik tiga dimensi (3D) pastinya memberi pengalaman lebih menyeronokkan.

Itu pengalaman menarik boleh dialami pengunjung dua muzium di negeri berkenaan iaitu Muzium 3D Pulau Pinang, Trick Art Museum yang terletak di Lebuh Penang dan Penang Time Tunnel di Jalan Green Hall juga di Padang Kota Lama.


PINTU masuk muzium.

MUZIUM 3D TRICK ART

Lokasi sesuai untuk kaki foto yang gemar bermain dengan visual bagi menghasilkan karya unik.

Pengalaman merakam gambar seolah-olah dibaham jerung atau bermesra dengan sekumpulan panda tanpa perlu ke Chengdu, China mungkin boleh dihasilkan di sini.

Baik ada yang mengimpikan aktiviti terjunan udara tanpa mengenakan payung terjun itulah gambar ‘ekstrem’ yang anda boleh rakamkan di muzium berkenaan.

Muzium berkenaan memiliki tujuh bilik selain mural menarik yang memberi pengalaman kepada pengunjung untuk merakam serta kreativiti bagi menghasilkan pelbagai foto menarik.

Malah pengunjung turut dibantu staf untuk menghasilkan gambar yang unik sebagai kenangan dibawa pulang.

MUZIUM 3D PENANG TIME TUNNEL

Jika anda berjalan dari Kompleks Makanan Medan Renong mengikut laluan tepi laut, muzium ini hanya mengambil masa kira-kira lima minit perjalanan.

Tarikan tambahan muzium ini ialah apabila bukan saja menampilkan barang atau artifak sejarah semata-mata, malah koleksi lukisan mural 3D antara pameran perlu dihayati.

Melawat muzium bukan lagi membosankan, malah dengan evolusi seni kreatif digabungkan dengan bahan informatif yang tentunya sesuatu menyeronokkan.


SEPERTI mengembara dalam mesin masa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 4:30 AM