SEA Life Malaysia dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Johor, Liow Cai Tung (tengah), baru-baru ini.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


LEGOLAND Malaysia Resort memperkenalkan tarikan baharu iaitu Sea Life Malaysia yang juga pusat perlindungan hidupan laut pertama di negara ini berkonsepkan akuarium interaktif beserta dengan elemen Lego yang unik.

Pengurus Besar Legoland Malaysia Resort, Kurt Stocks berkata, akuarium interaktif yang dipenuhi 13,000 hidupan laut terdiri daripada 120 spesies dan 11 zon habitat berbeza dipersembahkan dalam persekitaran selamat, menyeronokkan dan bercirikan pendidikan.

Antara hidupan laut yang dipamerkan dalam 25 akuarium adalah ikan pari, yu kuda belang dan kuda laut. Selain menyaksikan hidupan laut yang unik, pengunjung berpeluang menikmati sesi penceritaan, melihat zon habitat istimewa iaitu Malaysian Rainforest, Stingray Bay dan Ocean Tunnel.

Ocean Tunnel adalah tang­ki air terbesar yang dipenuhi 400,000 liter air menjanjikan pengalaman interaktif dan menghiburkan apabila pengunjung akan diperkenalkan dengan hidupan laut dan pemuliharaannya.

“Kami berharap keluarga yang melawat akuarium ini akan pulang ke rumah dengan semangat dan inspirasi untuk mempelajari, mencintai dan memelihara laut.

“Malah, bagi memastikan semua pengunjung berpeluang menikmati sepenuhnya tawaran baru ini, pihak kami membenarkan pemegang MyKad mendapatkan satu pas tahunan pada harga tiket untuk sehari.

“Menerusi pas tahunan baru itu, rakyat Malaysia boleh menikmati akses tanpa had ke Taman Tema LEGOLAND dan Taman Air, selain akses percuma ke SEA LIFE Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 10:23 AM