PERCUTIAN di kawasan hutan paya bakau tawar pengalaman berbeza.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


HUTAN bakau atau hutan paya laut berfungsi sebagai benteng semula jadi kepada hakisan dan ombak, selain menjadi habitat pelbagai spesies flora serta fauna.

Biarpun menyedari peranan dan fungsi hutan bakau, masih terdapat perbuatan eksploitasi untuk tujuan pembangunan serta ekonomi yang menjadi ancaman kepada hutan ini.

Dalam usaha melindungi hutan bakau, dijalankan program memulihara sumber asli dan menjadikannya khazanah semula jadi untuk empat tujuan utama iaitu pemuliharaan, penyelidikan, pendidikan serta pelancongan alam sekitar (ekopelancongan).

Wetlands Belukar Durian, Tanjung Sedili di Kota Tinggi, Johor umpamanya giat memperkenalkan satu daripada produk berasaskan ekosistem alam semula jadi sesuai dengan pengunjung yang gemarkan alam sekitar selain Taman Negara Johor Pulau Kukup dan Tanjung Piai.

Keunikan eko pelancongan paya bakau yang masih asli dan segar menawarkan pengalaman percutian berbeza apabila pengunjung akan dibawa meneroka satu kawasan yang dipenuhi dengan tumbuhan paya bakau, nipah dan rasau.

Turut disediakan pelantar pejalan kaki sepanjang 500 meter yang dibina mengelilingi kawasan paya bakau bagi memudahkan pengunjung mengenali dan mempelajari ekosistem pokok bakau.


KEUNIKAN paya bakau yang masih asli dan segar .

Lokasi sesuai untuk seisi keluarga itu juga popular sebagai destinasi memancing dan mencari lokan. Banyak lagi aktiviti boleh dilakukan termasuk meredah hutan di kawasan paya bakau, menyusur sungai, berkayak, berbasikal, berkhemah dan melawat pusat penternakan belangkas, bengkel kraf tangan serta kilang keropok lekor.

Selain itu, pihak Wetlands juga menyediakan kelengkapan permainan tradisional mengikut permintaan pengunjung antaranya boling kelapa, teng teng, congkak, batu seremban, bermain guli, tarik upih dan melastik tin.

Jika ingin memanfaatkan masa bersama keluarga, percutian berkonsepkan alam semula jadi ini sesuai untuk dijadikan tempat bersantai.

Lokasinya kira-kira satu jam setengah pemanduan dari bandar raya Johor Bahru dan ia destinasi tarikan untuk warga kota yang ingin menenangkan fikiran sambil menghirup udara segar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 8:54 AM