TINGGALAN aktiviti perlombongan bijih timah.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


PENGGUNA setia lebuh raya Utara Selatan pasti menyedari sebaik memasuki sempadan Perak, pemandangan sekitarnya dihiasi dengan jajaran bukit batu kapur.

Apatah lagi bermula dari Tapah, Gopeng menuju ke Ipoh, pengguna lebuh raya boleh menyaksikan sendiri bukit di kiri serta kanan jalan ialah struktur batu kapur yang dilitupi rimbunan pokok menghijau.

Sebaik-baiknya, dengan kesempatan berada di laluan berkenaan, ambil waktu seketika untuk susur keluar ke Sungai Siput menerusi Jalan Kuala Kangsar dan berhenti di satu persinggahan yang menarik sementara menyambung perjalanan ke Utara ataupun Selatan tanah air.

Persinggahan berkenaan ialah pusat rekreasi bekas tinggalan perlombongan bijih besi ketika aktiviti berkenaan aktif sekitar 1880-an.

Destinasi terbabit yang kini dikenali dengan Taman Rekreasi Gunung Lang memiliki landskap berpaya antara terbaik di negara ini dengan keluasan sekitar 119.93 hektar.

Landskap berpaya dan mempunyai tasik dengan air berwarna kehijauan, destinasi ini popular sebagai rekreasi air selain pusat tinjauan mahupun kajian bagi pencinta alam.

Apatah lagi Majlis Bandaraya Ipoh dan Landskap Negara, Kementerian Perumahan Tempatan membangunkan semula kawasan terbabit sebagai Taman Awam dalam Rancangan Malaysia ke-8.

Tarikan utama semestinya air terjun tertinggi buatan di Malaysia selain pulau di tengah tasik yang memerlukan pengunjung menaiki bot.

Pengunjung tidak perlu bimbang kerana lokasi berkenaan dilengkapi kemudahan surau dan tandas awam serta dibuka pada umum seawal jam 8 pagi hingga 6 petang pada hujung minggu dan cuti umum sementara hari biasa ialah jam 8.30 pagi hingga 6 petang.

Bagi penggemar seni fotografi, lokasi ini turut menjadi tempat untuk merakam gambar perkahwinan kerana memiliki beberapa ‘sudut’ menarik termasuk ‘pulau’ dilengkapi dengan pelbagai rumah tradisi.

Malah pada Aidilfitri baru-baru ini, ia turut menjadi tumpuan warga tempatan merakam foto kenangan bersama keluarga sambil menggayakan busana masing-masing.

Seni landskap taman tasik berkenaan pula cukup eksotik apabila memiliki pelbagai spesies bunga yang jarang ditemui di taman awam biasa terutama sepit udang dan pisang hutan.

Sepit udang ialah spesies yang tumbuh meliar di tengah hutan berbanding sebagai taman hiasan dan uniknya tanaman itu tumbuh subur sejak ditanam ketika fasa kedua pembangunan taman itu.

Tumbuhan lain yang menarik ialah pokok pisang hutan yang boleh dilihat secara dekat dan masyarakat umum berpeluang membezakan spesies ini berbanding pokok pisang biasa menerusi saiz pokoknya yang lebih kecil.

Selain itu ciri unik tumbuhan berkenaan yang boleh dikenal pasti pengunjung ialah warna daun serta jantungnya juga berlainan iaitu warna kuning mahupun merah.

Tidak lengkap hanya ada tumbuhan semata-mata, taman itu turut memiliki zoo mini yang memberi peluang pengunjung melihat haiwan seperti burung kasawari, rusa, kuda padi dan landak yang dijaga rapi di dalam kandang masing-masing.

Justeru tidak hairanlah lokasi berkenaan sentiasa menjadi pilihan pelbagai program kerana turut memiliki kawasan perkhemahan yang mampu menampung sehingga 600 pengunjung dalam satu masa.

Tiket untuk menaiki bot ke pulau buatan berkenaan yang jaraknya sekitar 300 meter dari jeti utama dikenakan caj RM3 bagi dewasa sementara RM1.50 untuk kanak-kanak mahupun warga tua.


JETI untuk menaiki bot ke pulau buatan.

INFO

1. Cara untuk ke Taman Rekreasi Gunung Lang:

• Jika anda dari Ipoh, hanya perlu menyusuri Jalan Kuala Kangsar. Jaraknya sekitar lima minit dari bandar Ipoh.

• Jika dari Kuala Lumpur, perlu susur keluar Ipoh Utara dari Lebuhraya Utara Selatan. Dalam jarak satu kilometer anda akan temui papan tanda Taman Rekreasi Gunung Lang.

2. Ruang parkir luas disediakan dan tiada caj bayaran.

3. Tambang bot ke pulau buatan untuk pengunjung berbeza mengikut kategori.

i. Dewasa - RM3

ii. Kanak-kanak dan warga emas -RM 1.50

iii. Pelajar sekolah- 50 sen

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 8:35 AM