AIR Terjun Lata Berembun yang menyegarkan dan dapat menghilangkan rasa penat selepas mendaki. FOTO Mohamad Firdaus Yusof
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


MENDAKI gunung tersenarai antara aktiviti lasak popular dalam kalangan orang muda. Jika melayari laman sosial seperti Instagram dan Facebook, pasti ada sahaja foto berkaitan aktiviti itu dimuat naik peminatnya.

Namun harus difahami bahawa ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan terutama jika kumpulan mendaki memilih laluan pendakian yang amat mencabar.

Pendakian ke Gunung Benum umpamanya menawarkan pengalaman menarik. Ia terletak di antara sempadan tiga daerah di Pahang iaitu Jerantut, Temerloh dan Raub.

Bagi Mohamad Firdaus Yusof yang mempunyai kisahnya tersendiri, mengakui gunung setinggi 2,107 meter dan kedua tertinggi di Pahang selepas Gunung Tahan itu bukan sesuatu yang mudah untuk ditawan terutama bagi pendaki baru sepertinya.

Mohamad Firdaus berkata, aktiviti pendakiannya bersama 19 rakan pendaki yang lain memilih laluan Sungai Klau di Raub menerusi Air Terjun Lata Berembun.

Katanya, dengan jarak perjalanan yang agak jauh iaitu 12 kilometer (km) sehala dengan pelbagai bentuk muka bumi yang mencabar menjadikan gunung berkenaan digeruni kebanyakan pendaki tempatan.


KENDERAAN pacuan empat roda turut digunakan untuk mengakses laluan permulaan pendakian. FOTO Mohamad Firdaus Yusof

“Pendakian bermula seawal jam 8 pagi. Kami perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda (4x4) untuk sampai ke lokasi permulaan pendakian iaitu di Air Terjun Lata Berembun yang mengambil masa kira-kira 45 minit.

“Sepanjang perjalanan kami melalui dusun durian, jalan tanah merah berbukit dan berlubang yang membuatkan rasa kurang selesa ketika berada di dalam kenderaan,” katanya.

Kebiasaannya kebanyakan pendaki mengambil masa selama dua hari satu malam untuk menawan gunung berkenaan. Bagaimanapun, dia bersama rakan yang lain ingin menamatkan aktiviti pendakian itu hanya dalam masa satu hari sahaja.


PENGALAMAN menaiki kenderaan pacuan empat roda yang mencabar. FOTO Mohamad Firdaus Yusof

“Pada mulanya kami bercadang untuk berkhemah di Kem Tikus yang jauhnya tujuh jam perjalanan dari lokasi permulaan pendakian.

“Selepas diberitahu penunjuk arah, kawasan itu sukar untuk mendapatkan bekalan air ditambah pula bebanan beg galas seberat 20 kilogram (kg), pasti menjadi suatu yang mustahil kerana kami perlu tiba di puncak sebelum matahari terbenam. Akhirnya, kami memilih untuk bermalam di Air Terjun Lata Berembun,” katanya.


KUMPULAN pendaki merakam gambar kenangan di Air Terjun Lata Berembun. FOTO Mohamad Firdaus Yusof

Keesokannya pada jam 9.30 pagi, Mohamad Firdaus dan rakan memulakan pendakian ke puncak Gunung Benum. Selepas hampir tiga jam mendaki, akhirnya mereka tiba di Kem Tikus untuk berehat seketika.

“Selesai berehat kami memulakan perjalanan dan dalam tempoh perjalanan inilah saya merasai pengalaman yang tidak akan dilupakan apabila disengat dua ekor tebuan tanah. Malah, ia juga berlaku kepada seorang rakan pendaki.

“Ketika itu, seluruh badan kami berdua menjadi gatal dan nafas terasa sempit. Allah sahaja yang tahu kesakitannya. Kami cuma menelan ubat penahan sakit kerana itu sahaja yang mampu dilakukan,” katanya.


KEM Tikus menjadi tempat berehat sebelum meneruskan perjalanan ke puncak. FOTO Mohamad Firdaus Yusof

Disebabkan keadaan tidak mengizinkan, Mohamad Firdaus dan rakannya itu mengambil keputusan untuk berpatah balik ke Tapak Perkhemahan Lata Berembun selain turut ditemani lima rakan pendaki yang lain.

“Kami yang berpatah balik ke laluan permulaan pendakian tiba pada jam 1 pagi manakala rakan lain yang meneruskan perjalanan tiba di puncak gunung pada jam 6.30 petang.

“Mereka tiba di tapak perkhemahan semula pada jam 9.30 pagi keesokan harinya dengan jumlah jam perjalanan mencecah 24 jam perjalanan pergi dan balik kerana laluan pendakian naik turun seperti roller coaster dan mencanak menjadikan perjalanan lebih lama serta panjang,” katanya.


KAWASAN permatang yang dipenuhi lumut lembap yang hanya 20 minit dari Kem Tikus. FOTO Mohamad Firdaus Yusof

Meskipun Firdaus tidak dapat menawan puncak Gunung Benum, hatinya puas kerana dapat merasai pengalaman melalui jalan pendakian yang sukar untuk menawan puncaknya.

“Tidak lari gunung dikejar, yang penting keselamatan diri dan persediaan seperti latihan stamina serta membawa peralatan kecemasan yang secukupnya,” katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 12:18 PM