KEMPEN ‘Nostalgia Raya’ di Setia City Mall menggamit kerinduan suasana kampung.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@metro.com.my


TIDAK sah rasanya kalau pengunjung tidak mengunjungi pusat beli-belah tersohor menjelang hari raya kerana selain tawaran serta potongan harga sempena keraian, tarikan lain ialah dekorasi raya ditampilkan cukup kreatif.

Justeru beberapa tema sering dibangkitkan menjadi pilihan pusat beli-belah bagi membangkitkan suasana menjelang Syawal yang bakal membuatkan pengunjung mengimbau kenangan lama yang menggamit kalbu.

Justeru menerusi maklum balas Tourism Selangor, lima lokasi ini dinamakan sebagai lima pusat beli-belah menawarkan deko raya menarik boleh dirakam lensa pengunjung:

1) The Curve

The Curve yang terletak di Mutiara Damansara, Petaling Jaya ini menjadi tumpuan pengunjung elit yang sentiasa menjadikan ia salah satu tempat untuk membeli-belah kerana lokasinya yang berdekatan dengan Ikea dan juga 1 Utama.

Sempena Hari Raya 2019 ini, The Curve mengangkat tema ‘Kenangan Manisku’ ini sangat bersesuaian dengan hiasan dan lukisan yang dipamerkan.

Terdapat lukisan yang berlatarbelakangkan rumah kayu kampung yang tinggi dan kelibat sanak-saudara bermain di halaman rumah dan imej ini sangat menyentuh hati bagi sesetengah pengunjung.

2) 1 Utama

1 Utama yang terletak di Bandar Utama, Petaling Jaya sentiasa menjadi perhatian pengunjung untuk datang bersama keluarga dan pasangan kerana tempatnya yang berorientasikan keluarga.

Di sana juga terdapat dua pilihan panggung wayang yang menjadi tumpuan utama untuk mereka yang gemarkan cerita-cerita yang terkini untuk ditonton. Bersempena Hari Raya Aidilfitri 2019, 1 Utama membawakan tema ‘Sulaman Kasih’ yang memberi erti Aidilfiitri dalam mengeratkan dan mengukuhkan lagi ikatan antara keluarga dan sahabat handai. Poster ditampilkan sangat minimalis dengan menggunakan kayu buluh dan berlatarbelakangkan tikar nipah.

3) Paradigm Mall

Paradigm Mall yang terletak di Kelana Jaya, Petaling Jaya ini menjadi tumpuan kerana hiasan dalamannya yang eksklusif. Pusat beli-belah ini juga menarik ramai pengunjung dari luar negara kerana lokasinya yang bersebelahan dengan Hotel New World Petaling Jaya.

Sempena Syawal 2019 ini, Paradigm Mall berkongsi keterujaan penyambut raya cilik menerusi kempen ‘Seronoknya Raya’ berkolaborasi dengan Nickelodeon untuk menghasilkan dekorasi membabitkan siri kartun kanak-kanak iaitu Spongebob dan Patrick.

4) Setia City Mall

Setia City Mall yang terletak di Setia Alam ini menjadi tempat orang awam untuk datang berkunjung dan membeli-belah serta menjadi tempat pilihan untuk berkelah lantaran mempunyai dataran yang luas sesuai untuk bersantai.

Poster yang dihebahkan pusat beli-belah ini memaparkan sawah padi dan seorang remaja berpakaian baju Melayu menaiki basikal di mana ia tentunya menggamit kenangan sesetengah daripada kita. Imej ini juga bersesuaian dengan tema Nostalgia Raya yang ingin diketengahkan.

5) Sunway Pyramid

Sunway Pyramid yang terletak di Bandar Sunway Petaling Jaya menjadi tempat tumpuan utama bagi pengunjung lokal mahupun luar negara kerana ia bersebelahan taman tema Sunway Lagoon yang menjadi tumpuan pelancong.

Sempena Aidilfitri tahun ini, Sunway Pyramid menyambutnya dengan tema ‘Bunga-bunga Raya’. Dengan hiasan bunga raya sebagai dekorasi pilihan, ia juga membawa maksud ‘Bunga Perayaan’ yang penuh dan mekar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 9:03 AM