KUBAH masjid yang menjadi simbol keagungan masyarakat Islam di Selangor.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


KEUNIKAN kubah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS) atau nama gelarannya, Masjid Biru dikatakan menjadi rahsia tarikan puluhan ribu pelancong ke rumah ibadat berkenaan di Shah Alam, Selangor setiap tahun.

Ini kerana kubah masjid berkenaan yang menjadi simbol keagungan masyarakat Islam di negeri itu yang dicatatkan antara terbesar di dunia, di samping empat menara tinggi yang dibina di sekeliling kubah.

Kubah antara unsur seni bina yang selalu digunakan pada bangunan rumah ibadat umat Islam. Bagi kubah di MSSAAS ini, bahagian luarnya diperbuat daripada kepingan aluminium berlipat dan mempunyai panel berwarna biru berjalur putih serta bercorak tradisional yang dikelilingi kaligrafi ayat suci al-Quran.

Malah kubah besar ini juga mempunyai ukuran garis pusat 52 meter dan tinggi 107 meter dari aras tanah disokong lapan tiang berbentuk segi empat. Warnanya yang biru cerah membuatkan MSSAAS mendapat jolokan Masjid Biru.

Disebabkan keunikan seni bina dan sejarah masjid itu sendiri, MSSAAS menjadi pilihan teratas pelancong luar negara mengunjungi rumah ibadat Islam di negara ini sehingga mendapat pengiktirafan sijil kecemerlangan oleh laman web pelancongan TripAdvisor lima tahun berturut-turut iaitu dari 2014 sehingga 2018.

Ketua Unit Dakwah, Ziarah dan Pelancongan MSSAAS, Abu Dzar Adanan berkata, kedatangan pelawat ke masjid berkenaan meningkat setiap tahun dengan bilangan paling ramai membabitkan pelancong dari Jepun.

“Sejak 2013 MSSAAS menyaksikan peningkatan jumlah pelawat dengan kebanyakannya dari Jepun, China, Taiwan dan Thailand selain warga tempatan. Pada tahun lalu saja, masjid ini menerima kira-kira 37,554 pelawat dengan 75 peratus daripadanya adalah pelancong Jepun.


RUANG dewan solat muat 15,000 jemaah.

“Peningkatan jumlah pelancong setiap tahun didorong promosi berterusan pelbagai pihak terutama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MoTAC) yang mengiktiraf MSSAAS sebagai satu daripada masjid pelancongan di negara ini yang menjadi destinasi wajib pelancong.

“Malah, usaha pihak masjid yang meletakkan sukarelawan pemandu pelancong Masjid Negeri Selangor Guide (MNSG) bagi memberikan penerangan dan pemahaman berkenaan Islam yang sebenar kepada pelancong bukan Muslim turut membantu menarik lebih ramai pelancong luar negara,” katanya.

MNSG dijenamakan semula daripada Masjid Tour Guide yang dahulunya dikendalikan Islamic Outreach ABIM sebelum diletakkan di bawah pengurusan masjid negeri sejak tiga tahun lalu. Ia digerakkan kira-kira 50 sukarelawan.

Usaha badan pelancongan negeri, Tourism Selangor, memperluaskan sektor pelancongan masjid berkenaan juga dilihat bertepatan dengan Malaysia sebagai negara pelancongan Islam di dunia. Ia bukan sahaja memberi peluang pelancong Islam dan bukan Islam untuk melihat keunikan dan keistimewaan masjid yang terdapat di negeri ini sekali gus merancakkan pelancongan Islam.

Antara tarikan di MSSAAS ialah hasil kombinasi reka bentuk tradisi Islam dan Asia Barat, India, barat dan ciri-ciri binaan Melayu asli yang boleh disaksikan seperti mimbar kayu yang mempunyai ukiran ilham daripada masjid lama, mihrab diperbuat daripada marmar dan jubin serta disempurnakan dengan tulisan ayat suci al-Quran.

Siling masjid terdiri daripada panel yang membentuk segi tiga diperbuat menggunakan kayu yang diselang-seli membentuk satu corak unik. Ia diterangi bebola lampu kecil menghasilkan gambaran langit yang disinari bintang bertaburan.

Empat lampu chandelier menambah lagi seri dewan solat utama yang mampu memuatkan lebih 15,000 jemaah pada satu-satu masa. Tulisan khat dapat dilihat dalam dan luar kubah serta beberapa bahagian di dewan solat utama. Ia hasil kerja penulis khat terkenal dari Arab Saudi, Sheikh Abdel Moneim Mohamed Ali El-Sharkawi dan dibantu penulis khat tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 10:12 AM