ANTARA peserta memancing yang menyertai pada Malaysia Surfcasting Tour 2019 A journey to visit Malaysia 2020 and Tour in Kuala Selangor. Aswadi Alias.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


DENGAR saja Pantai Remis, gambaran kebanyakan orang ialah destinasi perkampungan nelayan dan keindahan pesisiran pantai di Manjung, Perak.

Tetapi tahukah anda, destinasi mempunyai nama yang sama terletak di Jeram, Kuala Selangor?

Kedudukan Pantai Remis ini lokasinya kira-kira 20 kilometer arah selatan Kuala Selangor iaitu di Sungai Sembilang, Jeram. Ia antara lokasi ekopelancongan yang kian mendapat perhatian pengunjung domestik mahupun luar negara.

Selain itu, ciri pantai Pantai Remis ini yang tidak berarus kuat dan cerun pantai yang landai memberi kelebihan kepada pengunjung yang gemarkan aktiviti memancing pesisiran pantai sekali gus ‘berkampung’ di sini saban minggu.


PANTAI Remis gamat dengan kehadiran peserta dalam dan luar negara pada program Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2019.

Tidak hairanlah baru-baru ini, lokasi berkenaan menjadi destinasi pilihan Tourism Malaysia dan Wak Jali Event Management menganjurkan Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2019 baru-baru ini.

Menariknya, ia terpilih sebagai lokasi ketiga selepas Melaka dan Kelantan yang menawarkan hadiah tunai RM70,000 kepada pemenang utama.

Bagi penulis yang julung kali hadir dalam acara sedemikian menyifatkan, kunjungan kali ini bersama rakan media yang menyertai kempen sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 di lokasi sama begitu teruja dengan ribuan joran berwarna-warni terpacak di jajaran pantai sejauh 1.8 kilometer itu.

Tidak memadai hanya joran, tapak riadah selama ini tenang bertukar wajah menjadi temasya sungguh meriah sekali gus membuatkan kawasan perkampungan nelayan itu gamat dengan kehadiran kaki pancing dari seluruh negara mahupun peserta luar.


PEMANCING sanggup mengharungi empat jam dalam bahang cuaca panas.

Menurut Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Acara dan Domestik Tourism Malaysia, Mohd Nasir Kushairi, meskipun julung kali Tourism Malaysia menganjurkan acara seumpama ini, kemeriahan dan impak diterima setiap kali ia berlangsung cukup hebat.

“Memang saya menjangkakan program Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2019 boleh memberi impak serta-merta selain menggalakkan industri pelancongan dalam kalangan pengunjung domestik menerusi aktiviti memancing.

“Meskipun ketika ini belum ada rekod sah menyatakan kita menggandakan peningkatan pelancongan domestik ke lokasi berkenaan kerana baru saja dianjurkan, kehadiran 1,578 peserta dengan mengambil kira kunjungan mereka bersama keluarga, kita jangkakan ia berjaya menggalakkan aktiviti pelancongan domestik.


Pemancing berjaya membawa naik ikan sambil diperhatikan Mohd Nasir (kanan).

“Selain itu, acara ini membantu menjana pendapatan untuk masyarakat setempat yang terdiri daripada peniaga dan pengusaha kecil termasuk mereka yang menjual umpan daripada kereta atau gerai makanan.

“Saya turut diberitahu kira-kira 1,000 bilik percutian sudah ditempah pengunjung bagi memeriahkan acara ini,” katanya.

Kata Mohd Nasir, meskipun destinasi pantai itu tidak 'sepopular' lokasi pantai lain di Selangor seperti Pantai Morib mahupun Bagan Lalang, usaha mempromosi selain penambahbaikan beberapa fasiliti dapat membantu meningkatkan tarikan lokasi itu dalam kalangan pelancong tempatan.

Sementara itu, Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2019 turut menobatkan pemandu lori dari Bestari Jaya, Mat Yasin Arbaaim sebagai penerima hadiah utama selepas berjaya membawa naik ikan belukang yang beratnya lebih satu kilogram hasil tangkapan pertama beliau pada hari berkenaan.

Seterusnya, Setiausaha Majlis Daerah Kuala Selangor Azman Dahlan berkata, ketika ini pihaknya berusaha membuat beberapa penambahbaikan dalam meningkatkan kemudahan kawasan tarikan pelancongan itu dalam memberi keselesaan kepada pengunjung.

“Ketika ini kita dalam perancangan pembinaan beberapa fasiliti termasuk memperluaskan taman rekreasi untuk kanak-kanak selain kemudahan bermalam dan sebagainya.


MENAIKI tram antara pengalaman unik boleh dialami pengunjung di Kuala Selangor.

“Perancangan sudah ada dan ketika ini masih menilai beberapa aspek sebelum menanti kelulusan kerajaan negeri termasuk dana bagi menaik taraf pantai ini.

“Maklumlah kualiti air di sini tidak sesuai untuk rekreasi air dan lebih fokus kepada aktiviti bersantai seperti berkelah, menikmati pemandangan matahari terbenam, bermain layang-layang atau menikmati hidangan makanan laut di restoran berdekatan.

“Antara lain, pengunjung lokasi boleh turun pada hari minggu untuk membeli-belah kerana setiap Sabtu, lokasi ini ada bazar yang menjual produk kampung dan pendapatan hasil nelayan,” katanya.

Kata Azman, pengunjung tidak akan bosan untuk bercuti ke sini kerana lokasi strategiknya iaitu berdekatan dengan tarikan lain seperti Sky Mirror, Blue Tears mahupun Taman Kelip-kelip Kampung Kuantan.

Bagaimanapun, kunjungan media tidak hanya melewati kawasan sekitar Pantai Remis semata-mata, tetapi dibawa melawat destinasi tarikan lain seperti Bukit Melawati dan menikmati makanan tempatan seperti mee udang.

Menaiki tram selain memberi makan kepada lotong hitam antara pengalaman unik yang anda boleh rasai sepanjang berada di destinasi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 9:31 AM