SUKA berendam. FOTO Rohanis Shukri
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


SELAIN zoo, satu lagi pusat yang wajib dikunjungi peminat haiwan ialah pusat perlindungan seperti Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Kuala Gandah, Pahang.

Pusat berkenaan yang dibuka sejak 1989 itu terletak di Lanchang, Pahang memerlukan pemanduan dua jam dari Kuala Lumpur melalui Lebuh Raya Pantai Timur dan keluar melalui persimpangan Lanchang.

Meskipun sudah tiga dekad pusat itu beroperasi, destinasi itu julung kali dikunjungi penulis sebaik menyertai Siri Jelajah FTRoadPedia Zon Timur 2.0 tahun 2019 bersama Kementerian Kerja Raya, baru-baru ini.

Dalam legasi KKM bersama media itu turut dihadiri Menteri Baru Bian dan Timbalannya Mohd Anuar Mohd Tahir dimulakan dengan tayangan video memaparkan usaha pegawai konservasi pusat itu dalam menjalankan kerja menyelamat gajah tercedera.

Menariknya kaedah menggunakan gajah dipelihara untuk menjinakkan gajah liar antara kaedah diketengahkan pusat berkenaan dalam memastikan setiap usaha membawa pulang gajah tercedera dirawat sebelum dilepaskan semula ke habitatnya.


GELAGAT pengunjung ketika interaksi bersama gajah. FOTO Rohanis Shukri

Begitu juga dalam operasi menangkap gajah yang tersesat dalam ladang manusia, gajah yang dilatih di pusat konservasi itu banyak menjayakan misi menyelamat termasuk mengurangkan risiko ‘amuk’ gajah liar.

Sebalik realiti haiwan ini antara terbesar di darat, ia diancam keganasan apabila dianggarkan hanya kurang daripada 1,200 masih hidup sementara pusat itu sudah menyelamatkan lebih 700 gajah sepanjang ia beroperasi.

Lokasi pusat berkenaan terletak jauh ke dalam dan dikelilingi hutan membuatkan destinasi ini begitu menenangkan dan pastinya ia satu pusat pendidikan baik untuk bawa anak serta keluarga.

Bagi pengunjung, biasanya mereka perlu menggunakan perkhidmatan pemandu pelancong yang dilantik dengan yuran dikenakan RM50 bagi maksimum 12 pelawat. Biasanya akan diberi pelekat khas sebagai permit untuk melawat ke kawasan konservasi itu.

Disarankan yang pengunjung hadir dalam kumpulan besar membuat tempahan terlebih dulu menerusi sistem e-Tiket mahupun surat bagi memastikan mereka tidak perlu menunggu lama.


GELAGAT gajah yang mencuit hati ketika dimandikan penjaga atau pegawai konservasi. FOTO Rohanis Shukri

Lebih mengujakan, penulis dapat melihat sendiri bagaimana haiwan ini dimandikan penjaga masing-masing.

Gelagat gajah yang manja pasti mencuit hati sesiapa sahaja yang menyaksikannya. Malah, penulis sendiri akui ‘ralit’ memerhati gerak-geri haiwan berkenaan sesekali beraksi manja dengan penjaganya.

Satu lagi pengisian yang mesti dicuba pengunjung pusat konservasi ini ialah pengalaman memberi makan kepada gajah.

Tebu yang sudah dipotong akan digapai dengan belalai dan ketika ini anda dapat membelai dan berasakan dekat dengan haiwan berkenaan.

Anda juga tidak seharusnya melepaskan peluang menyaksikan persembahan gajah dewasa dan keletah bersama penjaga masing-masing.

Bagaimanapun, penulis sedikit terkesan ketika melihat gajah yang tercedera termasuk ekor dan kaki kudung akibat terkena jerat manusia.

Gajah berkenaan diselamatkan dari hutan dan ladang serata negara termasuk Pahang, Kelantan serta Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 8:25 AM