PENULIS berada di Pahang dalam kayuhan tiga negeri.
Haziq Wafiy Mohd Azman
rencana@mediaprima.com.my

BAGI penggemar aktiviti kembara berbasikal, laluan jalan Simpang Pulai, Perak ke Lojing, Gua Musang, Kelantan kerap menjadi pilihan kala menyusuri Lebuhraya Simpang Pulai-Lojing.

Jalan lama yang menghidangkan pengalaman kembara berbasikal sambil menikmati keindahan panorama Banjaran Titiwangsa menjadi faktor ia sering dimasukkan sebagai laluan utama pengembara berbasikal untuk menamatkan kayuhan sejauh 58 kilometer yang berakhir berhampiran pekan Lojing.

Bagi penulis sendiri, itulah kali pertama penulis mengadakan misi berbasikal merentasi tiga negeri selepas membaca banyak coretan menarik peminat berbasikal menceritakan pengalaman mereka menggunakan laluan itu.

Paling tidak, ada juga antara peminat berbasikal menjadikan laluan itu sebagai tempat untuk menguji kemampuan mereka menguasai teknik kayuhan. Apatah lagi laluannya agak mencabar dan boleh dilakukan tanpa perlu bermalam.


PENULIS merakam memori di hadapan mercu tanda Lojing.

Ternyata apa yang dikhabarkan kepada penulis adalah benar kerana kayuhan di sana agak menarik dan mengujakan.

Sabtu baru-baru ini, seawal jam 7 pagi penulis bersiap sedia dengan basikal kembara yang rasanya sudah lama tidak dikayuh. Apatah lagi, kali ini sengaja untuk melalui laluan itu secara solo. Maka, persediaan dan memulakan kayuhan awal amat penting.

Sekitar 15 kilometer yang pertama, ia adalah sesi memanaskan badan kerana di sini terdapatnya laluan ‘dragonback’ yang menjadi cabaran berbasikal untuk mendaki dan ia sudah pasti menggoyah emosi.

Memandangkan jalan ini menjadi pilihan laluan kebanyakan kenderaan berat seperti lori, penulis perlu berhati-hati bagi memastikan tidak berlaku kemalangan. Khuatir juga jika pemandunya tidak perasan dengan kehadiran penulis yang sedang berbasikal terutama di kawasan berbukit.

Dalam perjalanan itu juga, penulis berhenti di beberapa lokasi untuk mengisi air. Di laluan ini tidak perlu risau kehabisan bekalan kerana terdapat beberapa lokasi yang membolehkan anda mengisi air seperti di Kilometer 43 terdapat warung milik Orang Asli.


SUASANA hijau sepanjang laluan menjadi tarikan ramai peminat berbasikal di kawasan berkenaan.

Ketika mengayuh, baru penulis faham mengapa lokasi ini menjadi pilihan ramai untuk berlatih. Dari awal sehingga separuh kayuhan, laluannya sentiasa berbukit! Malah, tidak dapat dinafikan rasa semput untuk menghabiskan separuh kayuhan terutama di sempadan Pahang-Perak.

Namun, pemandangan sepanjang laluan dan udara pagi itu agak sejuk memujuk sedikit emosi untuk melupakan rasa penat. Apatah lagi, di beberapa laluan terdapat pokok yang menjadi kanopi. Beberapa kali juga penulis berhenti untuk menikmati keindahan tulang belakang Malaysia itu.

Melayan beberapa selekoh di jalan lama itu juga agak menarik kerana setiap kali melepasinya pasti kelihatan pemandangan serba hijau yang memukau pandangan walaupun terasa keletihan melayan beberapa lokasi yang mencanak.


AIR terjun yang boleh dilihat berhampiran dengan warung Orang Asli.

Selepas hampir empat jam berkayuh dan menikmati perjalanan Simpang Pulai-Lojing, akhirnya penulis tiba di sempadan Pahang-Kelantan yang berhampiran dengan pekan Lojing, terletak sekitar 12 kilometer dari kawasan penulis menamatkan kayuhan itu.

Lokasi berkenaan terletak di kawasan tinggi dan pembangunannya agak ringkas seperti adanya masjid dan juga kedai makan untuk mengisi perut.

Meskipun laluan kayuhan ini tidak begitu panjang, bagi penulis ia cukup menguji ketahanan mental dan fizikal. Namun, panorama yang menarik sepanjang laluan pastinya memberi ketenangan untuk mereka yang gemarkan alam semula jadi sambil berbasikal.


LALUAN selekoh yang menawarkan pemandangan menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 9:37 AM